Saturday, July 26, 2008

MEMPERTEGUHKAN EKONOMI UMMAH

(*Artikel ini telah ditulis sekian lama. Oleh itu, mungkin fakta di dalamnya tidak terkini)

Ekonomi adalah antara bidang utama yang mesti diberi penekanan oleh umat Islam hari ini. Selain daripada penguasaan dalam bidang saqofah, teknologi dan maklumat, penguasaan ekonomi juga merupakan syarat utama -dari segi kemajuan material- yang dapat meninggikan martabat umat dan meneguhkan kedudukan mereka di tengah-tengah persaingan antara negara atau bangsa yang semakin hebat pada masa ini. Hakikat ini sememangnya disedari oleh para mufakkir Islam di antaranya Syeikh Said Hawa di mana beliau meletakkan "Ekonomi" antara planing/perancangan utama yang mesti difikirkan oleh para pekerja Islam dalam kitabnya Jundullah Takhtitan.

Menjadi hakikat yang tidak dapat dinafikan pada hari ini bahawa umat atau negara Islam kalau dilihat dari segi ekonomi -bahkan bidang-bidang yang lain- jauh ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa atau negara yang lain. Aktiviti pengeluaran umpamanya (kenderaan, alat elektronik, idea, senjata dsbnya) yang merupakan topik utama dalam perbicaraan ekonomi hari ini ternyata dikuasai oleh negara-negara seperti Jepun, Korea, Amerika dan negara-negara Eropah sedangkan negara-negara umat Islam hanya mampu menjadi pengguna sahaja.

Masalah hutang luar merupakan antara krisis yang paling rumit yang dihadapi oleh ekonomi dunia pada hari ini. Negara-negara umat Islam tidak terlepas daripada krisis ini. Dalam bancian yang dibuat oleh Bank Dunia, negara-negara yang menghadapi bebanan hutang yang teruk termasuklah beberapa negara Arab Islam iaitu Sudan, Mauritania, Somalia, Maghrib dan Mesir. (m.s 45, Iktisad Alami, Dr.Said Najjar).

Kalau dilihat kepada skop yang lebih kecil lagi iaitu dalam negara kita Malaysia, ekonomi dikuasai oleh bangsa bukan Islam iaitu Cina. Kalaulah tidak kerana kuasa politik yang masih berada di tangan kita nescaya bangsa Melayu sudah lama menjadi bangsa terbuang di tanah sendiri seperti mana yang telah terjadi kepada Red Indian di Amerika Syarikat dan Australia.

Menurut laporan akhbar Berita Harian, sehingga Jun 1995 (*ketika artikel ini ditulis), Penguasaan ekonomi Bumiputera cuma 20.3 peratus.(Ini bermakna 79.7% lagi dikuasai oleh bangsa yang lain sama ada Cina,India dsbnya.). Laporan ini sudah tentunya amat mengejutkan kita kerana kita selama ini terlalu kerap dipaparkan dengan berita mengenai pencapaian segelintir usahawan Bumiputera di bidang korporat sedangkan kedudukan dan nasib sebenar Bumiputera secara meluas tidak disingkap sepenuhnya.

Apakah punca disebalik kelemahan ini? Ada di kalangan umat Islam dan para Orentalis yang menyalahkan Islam di mana mereka meletakkan kelemahan umat Islam hari ini adalah berpunca daripada pegangan mereka kepada agama umumnya dan kepada Islam khususnya. Jadi untuk maju maka umat Islam mesti meninggalkan agama dan beralih kepada Ideologi yang dianuti oleh negara-negara maju seperti Jepun,Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah..
Bagi kita kenyataan/konklusi yang dibuat di atas adalah tidak tepat dan langsung tidak berlandaskan kepada ciri-ciri ilmiah. Ia dibuat semata-mata berdasarkan waham tanpa didahului analisis dan pembuktian terlebih dulu. Persoalan nya; bilakah Islam -khususnya dari aspek ekonomi- telah diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya pada zaman mutakhir in sehingga ia boleh dihukum sebagai mazhab/pegangan yang bertanggungjawab kepada kelemahan umat.

Sememangnya Islam bukan suatu yang baru kemunculannnya. Ia merupakan kakikat yang lama yang telahpun membuktikan kemampuannya untuk memimpin dan membentuk masyarakat yang sejahtera selama beratus-ratus tahun lamanya. Cuma sejak kejatuhannya di zaman mutaakhirin ini (kerana kedengkian musuhnya dan kelalaian penganut-penganutnya sendiri) ia belum lagi diberi peluang oleh manusia untuk memimpin dan membentuk masyarakat termasuklah dalam bidang ekonomi. Ini berbeza dengan teori ekonomi Kapitalis dan teori Sosialis yang telah diberi peluang secukupnya oleh manusia zaman ini di mana keduanya telah dilaksanakan dengan meluas oleh negara-negara di dunia hari ini termasuklah negara-negara Islam sendiri.

Kita berkeyakinan bahawa sebab-sebab kelemahan umat Islam dalam bidang Ekonomi dan juga bidang-bidang yang lain bukanlah kerana Islam. Sebab utama ialah sikap umat sendiri yang tidak yakin dengan doktrin/pegangan Islam yang mereka miliki dan tidak berkomitmen serta tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ta'alim/pengajaran Islam dalam kehidupan mereka. Bangsa Jepun,Cina,Eropah dsbnya yang menganut Ideologi Kapitalis atau Sosialis, mereka boleh maju kerana mereka yakin dengan ideologi yang mereka anuti dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya dalam kehidupan. Adapun umat Islam hari ini, mereka terus menerus dilanda krisis ketidakyakinan terhadap pegangan mereka. Mereka hilang keyakinan terhadap Islam dan lantaran itulah mereka cuba beralih kepada Ideologi - dari satu ideologi ke satu ideologi- dengan harapan dapat membina kemajuan tetapi ternyata bahawa ideologi-ideologi ini telah membawa kemusnahan dan kerosakan yang lebih teruk lagi kepada mereka. Hal ini disebut oleh penulis Akhbar, Ahmad Bahjah dalam bukunya "يقظة النمر الآسيوي" (Kebangkitan Harimau Asia) ;"Dunia Islam dan juga Dunia Arab telah mencuba preskripsi daripada blok Sosialis dan juga daripada blok kapitalis. Ternyata bahawa preskripsi-preskripsi ini telah memarahkan lagi kesakitan dan nenambahkan lagi kelemahan dan kemunduran" (m.s 8).

Kekuatan umat Islam terletak pada Islam. Ia merupakan kekuatan asal mereka yang telah bertanggangjawab membina kegemilangan bagi nenek moyang mereka dahulu. Untuk membina kembali kemajuan pada hari ini sama ada dari aspek ekonomi atau lainnya,umat Islam mesti kembali kepada Islam dimana Imam Malik pernah berkata; “لا يصلح أمر هذه الأمة إلا ما صلح به أولها” (Tidak akan baik urusan umat ini melainkan dengan apa yang menjadikan umat awalnya baik).

Di samping itu, mereka perlu mengubah sikap menjadi umat yang berkeyakinan, berkomitmen dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pegangan/doktrin yang mereka anuti. Firman Allah; “إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم” (Sesungguh Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri mengubah keadaan diri mereka).

Setelah kekeliruan di atas diperjelaskan, satu perkara lagi yang penting untuk difikirkan ialah; Apakah khittah (perancangan) kita untuk menyelamat dan memperteguhkan ekonomi umat Islam pada hari ini terutama dalam konteks negara kita Malaysia yang hari ini menghadapi persaingan yang hebat dengan bangsa bukan Islam? Perancangan inilah yang perlu difikirkan bersungguh-sungguh oleh kita agar kita bukan hanya sekadar berteori sahaja.

Perancangan utama yang mesti dilakukan ialah memperkuatkan pegangan orang Melayu Islam terhadap prinsip-prinsip ekonomi Islam kerana inilah noktah bidayah kemajuan umat Islam dalam ekonomi. Kita maksudkan dengan prinsip-prinsip Ekonomi Islam ialah perkara-perkara dasar dalam ekonomi Islam seperti pengharaman riba, penipuan, gharar, meraikan halal dan haram, mengutamakan keadilan, saling reda meredai dan sebagainya yang banyak dihuraikan oleh ulamak dalam kitab-kitab karangan mereka. Tindakan praktikal yang mungkin dapat kita lakukan dalam suasana sekarang ini -di samping tindakan-tindakan yang lain- ialah menyeru bangsa melayu khususnya (kebanyakannya beragama Islam) supaya bermuamalah dengan institusi kewangan atau institusi ekonomi yang berciri/berlunaskan Islam dan membuat pemulauan sedapat mungkin terhadap institusi-institusi yang bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam. Dalam muamalah Bank kita menyeru mereka supaya menggunakan Bank Islam dan Syarikat-Syarikat Kewangan yang lain (spt. Tabung Haji) dan memulau bank-bank riba. Bagi orang Islam yang ingin terlibat dengan sekuriti, kita memberi galakan/berkempen supaya mereka hanya membeli sekuriti-sekuriti yang halal yang kini telah diambil inisiatif oleh Bank Islam dan juga Persatuan Ulamak untuk menyenaraikannya bagi pengetahuan umat Islam. Dalam muamalah Insuran pula, Syarikat Takaful merupakan arternatif terbaik yang boleh menggantikan syarikat-syarikat Insuran yang lain yang bercanggah dengan Islam.

Dalam usaha untuk memajukan Ekonomi ummah hari ini, penglibatan aktif dalam dunia perniagaan dan pengeluaran merupakan suatu kemestian yang tidak dapat dielakkan. Umat Islam mesti diberi galakan secukupnya untuk terlibat dengan perniagaan dan pengeluaran. Ada dua matlamat utama disebalik penglibatan aktif dalam dunia perniagaan dan pengeluaran ini iaitu;
1.Untuk memungkinkan wujudnya pasaran bersekutu antara umat Islam/orang Melayu.
2.Untuk membebaskan pergantungan umat Islam/orang Melayu terhadap bangsa asing.

Penglibatan aktif dan menyeluruh dalam dunia perniagaan bermakna setiap barangan atau perkhidmatan ada diperniagakan dan dikeluarkan oleh orang-orang Islam. Apabila suasana ini berlaku maka pasaran bersekutu antara umat Islam mungkin untuk diwujudkan dan sekaligus penggantungan terhadap bangsa asing dalam aspek ekonomi dapat dihapuskan.

Untuk melengkapkan khittah (perancangan) di atas(iaitu pasaran bersekutu dan pembebasan daripada pergantungan kepada bangsa asing), kesedaran tentang aulawiyyat (keutamaan) perlu ditanamkan di kalangan orang-orang Islam khususnya orang Melayu. Aulawiyyat yang kita maksudkan di sini ialah aulawiyyat dalam bermu'amalah dengan pengertian; dalam bermuamalah (jual beli, bersyarikat dan sebagainya) mereka hendaklah mengutamakan barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan atau diperniagakan oleh orang yang seagama dengan mereka. Mungkin ada di kalangan kita yang mempersoalkan; kenapa perlu menskopkan orang Islam sahaja sedangkan bermuamalah dengan orang bukan Islam dalam jual-beli dsbnya juga diharuskan oleh Islam? Ya, kita mengakui perkara ini namun apa yang kita bicarakan di sini bukan masalah boleh atau tidak boleh tetapi masalah keutamaan. Islam dan umat Islam pada hari ini perlukan perhatian dan pengutamaan. Kalau kita sendiri sebagai anak-anak Islam tidak memberi keutamaan kepada Islam dan orang-orang Islam siapakah lagi yang diharapkan akan memainkan peranan ini? Apatah lagi umat Islam pada masa ini berada dalam suasana persaingan yang hebat dengan bangsa-bangsa yang lain di samping menghadapi konfrantasi musuh dari segenap penjuru.

Perlu juga dipertegaskan disini bahawa kesedaran individu semata-mata tidak memadai dalam usaha untuk merealisasikan khittah (perancangan) di atas. Ia perlukan juga kepada kesedaran jamaie (secara berkelompok). Usaha untuk mewujudkan pasaran bersekutu dan usaha untuk memberi kesedaran aulawiyat seperti yang dijelaskan tadi perlu ditangani oleh institusi-instusi yang berpengaruh yang mampu menguasai minda masyarakat Islam seperti parti-parti politik, badan-badan dakwah dan sebagainya. Di samping itu badan-badan gabungan seperti Badan Gabungan Usahawan Islam, Badan Gabungan Peniaga-Peniaga Islam dan sebagainya perlu diwujudkan dan diberi perhatian secukupnya oleh institusi-institusi berpengaruh di atas ke arah memperkemas dan memantapkannya. Jika sekiranya bangsa Cina yang ternyata telah menguasai ekonomi negara pada masa ini merasa perlu untuk mewujudkan badan-badan gabungan mereka sendiri dengan menubuhkan Persatuan Peniaga-Peniaga Cina, Persatuan Tabib-Tabib Cina dan sebagainya, adakah kita (bangsa Melayu/Muslim) tidak merasa terpanggil untuk berbuat demikian?

Terdapat banyak lagi perancangan-perancangan yang telah dikemukakan oleh para ulamak dan Intelektual Muslim dalam usaha menigkat ekonomi umat Islam hari ini seperti penubuhan Bank Islam Sedunia, Bank Islam Asia (iaitu cadangan Dr. Ibrahim Ahmad, pensyarah Universiti Brunei dalam kertas kerjanya bertajuk “Bank Islam Asia”), mewujudkan Pasaran Bersekutu antara Negara-Negara Islam, memperkemaskan institusi zakat, menubuhkan Tabung Bantuan Usahawan Islam dan lain-lainnya.

Sebenarnya perancangan untuk memaju dan memantapkan ekonomi ummah ini perlu difikir dan dilaksanakan dari semasa ke semasa kerana ekonomi merupakan bidang yang tidak pernah berhenti pada satu tahap di mana ia meningkat dari masa ke masa, dari tahun ke tahun bersama dengan peningkatan pemikiran manusia itu sendiri. Berhenti berfikir untuk merancang dan bertindak dalam keadaan orang lain terus menerus berfikir bermakna membenarkan orang lain berterusan mengatasi kita. Dengan sebab itulah, mengikut Syeikh Said Hawa dalam kitabnya “Jundullah Takhtitan”; umat Islam hari ini memerlukan kepada ulamak, intelek dan duat yang mempunyai “العقل المخطط” (aqal perancang). Ini kerana, hanya Muslim yang mempunyai aqal perancang sahaja yang dapat mengatur strategi dan langkah-langkah untuk memaju dan meningkatkan kemampuan umat Islam meliputi segenap bidangnya termasuklah ekonomi.

(Artikel ini ditulis ketika penulis di Mesir (1992-1997). Tarikh mengikut komputer; 23 Rejab 1419H)

No comments: