Monday, September 22, 2008

ISLAM; KUKUH DAN DINAMIK

Islam bersifat kukuh dan dinamik. Kukuh kerana ia bertunjang di atas asas-asas yang tetap, kekal dan tidak berubah bila-bila pun, iaitu yang menyentuh tentang;
a) Matlamat dan tujuannya
b) Usul-usul dan prinsip-prinsip amnya
c) Nilai-nilai keagamaan dan akhlaknya

Dinamik kerana di samping bersifat tsabat (tetap dan kekal) tadi, Islam juga bersifat anjal (murunah), iaitu dalam hal yang berkait dengan;
a) Cara dan jalan untuk mencapai matlamat dan tujuannya
b) Cabang-cabang dan ranting-ranting bagi usul-usul dan prinsip-prinsip amnya
c) Urusan-urusan keduniaan, ‘uruf dan adat

Lebih jelas dapat dikatakan bahawa Islam merupakan persepakatan antara thabat (yakni hakikat yang tetap dan tidak akan berubah) dengan murunah/tatawwur (yakni perjalanan yang bersifat anjal, berubah dan meningkat dari masa ke semasa). Thabat dari sudut matlamat, aqidah, prinsip-prinsip dan nilai-nilainya dan murunah dari sudut huraian, perincian, pengecualian dan perlaksanaan terhadap matlamat, prinsip dan nilai-nilai yang tetap tadi, begitu juga dalam soal-soal keduniaan, adat dan kebiasaan hidup.

Matlamat Islam, akidahnya, prinsip-prinsip dan nilai-nilainya adalah bersifat universal, sejagat dan kolektif. Oleh itu, ia tidak tertakluk kepada pindaan dan perubahan mengikut perbezaan masa, zaman, tempat dan individu. Matlamat Islam tetap sama dari dulu hingga sekarang iaitu membina ikatan yang baik dengan Allah dan mencapai keredhaanNya, di samping memelihara maslahah manusia dan menyelamatkannya dari kesesatan dan mafsadah. Matlamat ini akan terus kekal di sepanjang zaman di mana ia tidak akan berubah bila-bila masapun.

Aqidah adalah ilmu dan pernyataan tentang hakikat kewujudan alam ini dan Tuhan yang menjadikannya, juga mengenai hal-hal ghaibiyyat yang berada di luar jangkauan pancaindera manusia. Ilmu dan pernyataan tentang akidah ini sepenuhnya datang dari Allah (yakni melalui wahyuNya), tidak sedikitpun membabitkan ijtihad atau analisis akal manusia. Maklumat dan fakta yang sepenuhnya dari Allah akan tetap kekal benar dan realistik pada bila-bila masa dan pada mana-mana zaman sekalipun pun kerana ilmu Allah adalah sempurna, suci dari sebarang kekurangan yang memerlukannya dinilai atau disemak semula. Di samping itu, hakikat kewujudan yang menjadi tajuk utama dalam ilmu akidah sifatnya adalah tetap di mana ia tidak akan berubah pada bila-bila masapun. Alam ini selama-lamanya akan kekal sebagai makhluk dan itulah hakikat kewujudannya. Adapun yang menjadikannya iaitu Allah akan kekal sebagai Tuhan.

Prinsip-prinsip Syari’at yang terdiri dari halal dan haram, kewajipan-kewajipan dan hukum-hakam agama yang sabit dengan nas yang qat’ie juga bersifat tetap, tidak akan berubah. Sebagai contoh; yang halal berdasarkan nas yang putus dari Syara’ tetap akan halal sampai hari kiamat, tiada siapa berhak menyatakannya sebagai haram. Yang diharam oleh Syara’ dengan nas yang putus tetap menjadi haram bila-bila masa pun. Ini kerana Syara’ (yakni Allah dan Rasul) tidak mewajibkan sesuatu melainkan ada manfaatnya untuk manusia dan tidak mengharamkan sesuatu melainkan ada mudarat atau mafsadahnya bagi manusia. Oleh kerana Islam adalah agama universal atau sejagat (untuk semua manusia) tanpa mengira kaum, tempat dan masa, maka manfaat dan mudarat yang diambil perkiraan oleh Islam dalam menetapkan peraturan, hukum-hakam dan undang-undangnya adalah dengan melihat kepada manusia secara umumnya, bukan kepada kelompok atau golongan tertentu di masa atau tempat tertentu.

Nilai-nilai akhlak juga bersifat tetap di dalam Islam. Suatu yang dikatakan baik oleh Syara’, tetap akan kekal sebagai akhlak dan nilai yang baik sampai bila-bila dan suatu yang dikatakan jahat oleh Syara’ tetap akan menjadi akhlak dan nilai yang buruk bila-bila pun. Sebagai contoh; bercakap benar akan terus dikira sebagai akhlak yang baik oleh Islam dan berdusta akan terus dianggap sebagai akhlak yang tidak baik oleh Islam. Tidak akan berlaku hal sebaliknya pada mana-mana zaman sekalipun kerana nilai-nilai akhlak merupakan suatu yang tetap di dalam Islam.

Adapun perincian, penghuraian, pengecualian (kerana dharurat semasa atau sebagainya) dan perlaksanaan bagi segala prinsip dan nilai di atas dan begitu juga dengan hal-hal keduniaan dan adat kebiasaan hidup, maka ia bergantung kepada suasana, keadaan, iklim, kemampuan dan kemajuan sesuatu tempat dan zaman. Kerana itu ia tertakluk kepada perubahan dan peningkatan dari masa ke semasa. Sebagai contoh; prinsip dan perintah syura. Syura adalah prinsip yang asas yang ditetapkan Syara’ dalam masyarakat Islam, yang tidak boleh dipinda atau dibatalkan oleh mana-mana pemerintah dan pemimpin. Namun dalam melaksanakan prinsip dan perintah ini, harus berlaku perbezaan antara satu tempat dengan tempat yang lain dan harus berlaku perubahan dan pemeringkatan dari satu zaman ke zaman yang lain. Kerana itu, bentuk Syura di kalangan sahabat semasa pengangkatan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah berbeza dengan bentuk Syura ketika pengangkatan Saidina Umar sebagai khalifah. Begitu juga, perlaksanaan Syura di zaman ini jauh berbeza dengan zaman-zaman yang lalu di mana pada hari ini dikhaskan satu institusi khas sebagai dewan syura yang dikenali dengan Parlimen. Perubahan dan pemeringkatan sebegini adalah harus kerana ia berada dalam daerah murunah dan tatawwur dalam Syari’at Islam, bukan daerah thabat.

Salah satu kaedah yang masyhur dalam Fiqh Islam ialah;

تَغَيُّرُ الأَحْكَاْمِ بـِتَغَيُّرِ الأَزْمَاْنِ
“Berlaku perubahan hukum-hakam kerana berubahnya zaman dan masa”.

Menurut ulama’; hukum-hakam yang mengalami perubahan apabila berlakunya perubahan zaman dan suasana ialah hukum-hakam yang terbina atas adat dan ‘uruf (kebiasaan). Ini kerana apabila berlakunya perubahan zaman dan masa, akan berubahlah hajat dan keperluan manusia. Rentetan dari itu, ‘uruf (kebiasaan) manusia juga akan berubah. Apabila berubahnya ‘uruf, maka hukum yang terbina di atas ‘uruf tersebut juga akan berubah. Adapun hukum-hakam yang bersandarkan kepada dalil-dalil Syara’, maka ia tidak berubah dengan berubahnya zaman dan masa. Contohnya ialah hukuman Qisas ke atas orang yang membunuh dengan sengaja. Hukuman ini terbina berdasarkan nas Syara’, bukan berdasarkan ‘uruf atau kebiasaan masyarakat setempat. Oleh itu, hukuman ini adalah tetap dan tidak akan berubah bila-bila masa pun bagi orang yang melakukan kesalahan yang tertakluk dengannya. (Rujuk: al-Madkhal Li Dirasati asy-Syari’ah al-Islamiyyah, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 87)

Dengan adanya ciri Thabat, maka Islam akan terus kekal kukuh dan teguh di sepanjang zaman. Ajaran, pegangan dan prinsip-prinsip Islam tidak pernah goyah dan terumbang-ambing menghadapi apa sahaja suasana dan cabaran zaman, tidak sepertimana yang biasa berlaku kepada ideolegi-ideologi dan sistem-sistem ciptaan manusia. Pada masa yang sama, ciri murunah dan tatawwur pula menjadikan Islam sebuah agama yang dinamik dan berdaya maju. Ciri ini mengelakkan Islam dari bersifat jumud dan beku tidak seperti mana agama-agama yang lain. Dengan itu Islam merupakan agama yang sesuai dan valid dengan kehidupan manusia yang sentiasa berubah dan meningkat dari masa ke masa.

Wallahu a'lam.

(*Dipetik dari buku "ISLAM; Pengenalan", karangan penulis sendiri (Us. Ahmad Adnan Fadzil), diterbitkan tahun 2004)

No comments: