Monday, September 15, 2008

SYIRIK (Huraian lengkap perkara-perkara yang mendatangkan Syirik)

Syirik adalah lawan kepada Tauhid. Syirik bermaksud menyengutukan Allah sama ada dari segi RububiyyahNya, UluhiyyahNya atau nama-nama dan sifat-sifatNya. Syirik merupakan antara dosa terbesar dari dosa-dosa paling besar yang disabdakan Rasulullah s.a.w.;

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَوْلُ الزُّورِ أَوْ قَالَ وَشَهَادَةُ الزُّورِ
“Dosa-dosa paling besar ialah;
1. Mensyirikkan Allah
2. Membunuh manusia
3. Menderhakai dua ibu-bapa
4. Memberi kesaksian palsu/dusta”.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dari Anas r.a.)

Bahkan orang yang mati dalam keadaan mensyirikkan Allah sekali-kali tidak akan mendapat keampunan Allah di akhirat sebagaimana firmanNya;

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar”. (an-Nisa’: 48)

Luqman dalam wasiatnya kepada anaknya telah berpesan;

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَابُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”. (Luqman: 13)

Sabda Rasulullah s.a.w.;

من مات وهو يدعو من دون الله ندا دخل النار
“Sesiapa mati dalam keadaan ia menyeru selain Allah sebagai sekutuNya (yakni mati dalam keadaan mensyirikkan Allah), maka ia akan masuk neraka”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu Mas’ud r.a.)

من مات لا يشرك بالله شيئاً دخل الجنة، ومن مات يشرك به شيئاً دخل النار
“Sesiapa bertemu Allah dalam keadaan tidak pernah mensyirikkanNya dengan sesuatu apapun akan masuk syurga. Sesiapa bertemu Allah dengan mensyirikkannya dengan sesuatu, akan masuk neraka”. (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)

Jenis-jenis Syirik

Terdapat dua jenis syirik melihat kepada kesannya kepada aqidah;[1]

1. Syirik Akbar (besar); iaitu syirik yang mengeluarkan seseorang itu dari iman (yakni murtad dari agama) dan di akhirat dosanya tidak akan diampunkan Allah dan ia tidak akan dapat masuk syurga selama-lamanya.

2. Syirik Asghar (kecil); iaitu syirik yang tidaklah mengeluarkan seseorang itu dari agama, namun ia tergolong dalam dosa-dosa besar (malah paling besar) dan dibimbangi orang yang melakukannya atau berterusan melakukannya akhirnya akan mati sebagai seorang kafir jika tidak diberi rahmat oleh Allah dengan taubat dan keampunanNya.

Syirik Akbar

Syirik Akbar (besar) melihat kepada bentuknya terbahagi pula kepada dua jenis;[2]

1. Syirik Dzahir Jali (terang dan nyata)

Iaitu syirik yang terang dan nyata, tanpa ada kesamaran di mana orang yang melakukannya jelas dianggap telah menyengutukan Allah. Syirik ini berlaku apabila seseorang itu menyembah selain Allah seperti menyembah matahari, patung-patung berhala, binatang (lembu dan sebagainya), manusia (seperti perbuatan penganut Kristian yang menyembah nabi Isa, penganut Budha yang menyembah patung Budha, orang-orang yang menyembah Fir’aun) dan sebagainya.

2. Syirik Bathin Khafi (tersembunyi)

Iaitu syirik yang dzahirnya tidak kelihatan seperti syirik, namun pada hakikatnya ia adalah syirik kerana terdapat padanya unsur yang jelas menyengutukan Allah. Antara syirik jenis ini ialah;

a) Berdoa kepada selain Allah

Antara jenis syirik besar yang tersembunyi ialah berdoa atau memohon pertolongan dari orang yang telah mati, kubur-kubur, makhluk-makhluk halus (hantu, jembalang dan sebagainya), pokok-pokok puaka, busut-busut dan sebagainya. Perbuatan berdoa kepada makhluk-makhluk ini oleh setengah orang Islam tidak dianggap sebagai syirik kerana bagi mereka doa bukanlah ibadah atau sembahan. Ibadah bagi mereka hanyalah sembahyang, puasa, zakat dan haji. Walhal dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah telah menyebutkan dengan jelas dan terang bahawa doa di dalam Islam termasuk dalam ibadah dan tidak harus dikemukakan melainkan kepada Allah sahaja. Antara dalil-dalil tersebut ialah ikrar yang selalu dilafazkan oleh setiap orang Islam tatkala membaca surah al-Fatihah;

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
“Engkau sahajalah (ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan”. (al-Fatihah: 5)

Begitu juga, sabda Rasulullah s.a.w.;

الدعاء هو العبادة
“Doa itu adalah ibadah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan Tirmizi dari Nu’man bin Basyir r.a.)

Selain itu, mereka juga berhujjah; ‘Sekalipun kami berdoa kepada benda-benda tersebut (kubur-kubur, makhluk-makhluk halus dan sebagainya tadi), namun kami tidak menganggap mereka sebagai Tuhan kami. Mereka tetap kami anggap sebagai makhluk, cuma kami berdoa atau memohon dari mereka hanya sebagai perantara antara kami dengan Allah’. Dengan alasan ini mereka merasakan dapat melepaskan tindakan mereka itu dari syirik. Namun mereka tidak sedar bahawa dengan alasan tersebut, mereka sebenarnya telah meletakkan diri mereka sama seperti golongan musyrikin zaman Rasulullah s.a.w. yang pernah berkata;

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى
“Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain Allah sebagai penolong dan pelindung mereka (telah berkata); ‘Kami tidak menyembah atau memuja mereka melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”. (az-Zumar: 3)

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ يَضُرُّهُمْ وَلاَ يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَـؤُلاء شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللّهِ
“Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat mereka dan mereka pula berkata; ‘Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat (pertolongan) kepada kami di sisi Allah”. (Yunus: 18)

b) Memberi hak atau kuasa kepada makhluk untuk membatal atau meminda hukum Allah.

Termasuk juga dalam syirik besar yang tersembunyi ialah memberikan hak kepada mana-mana makhluk untuk membatal atau meminda hukum atau undang-undang Allah, yakni menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah atau mengharamkan apa yang dihalalkan olehNya. Perbuatan tersebut termasuk dalam syirik (menyengutukan Allah) kerana orang yang melakukannya telah menduakan Allah dari segi kuasa yakni ia seolah-olah menganggap ada kuasa yang lain yang menyamai kuasa Allah atau lebih hebat darinya yang boleh membatal atau meminda hukum dan ketetapan Allah. Syirik jenis ini terdapat bukti yang jelas di dalam al-Quran iaitu firman Allah;

اتَّخَذُواْ أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ إِلَـهاً وَاحِداً لاَّ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka (yakni orang-orang Yahudi dan Nasrani) telah mengangkat pendita-pendita dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan-Tuhan selain dari Allah, dan (begitu juga mereka telah mengangkat sebagai Tuhan) al-Masih (Isa) anak Mariam, sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Tuhan yang esa (Allah), yang tiada Tuhan melainkan Dia, maha suci Ia (Allah) dari apa yang mereka sekutukan”. (at-Taubah: 31)

Rasulullah s.a.w. pernah mentafsirkan ayat ini kepada seorang sahabat bernama Adi bin Hatim at-Thoie. Adi pada zaman jahiliyah merupakan seorang penganut agama Nasrani (Kristian), kemudian ia memeluk Islam. Adi menceritakan; “Satu ketika aku datang berjumpa Rasulullah s.a.w.. Kebetulan di leherku ada rantai salib dari emas. Rasulullah berkata kepadaku; ‘Tanggalkan rantai di lehermu itu, wahai Adi’. Aku akur dan membuangnya. Ketika itu Rasulullah s.a.w. membaca surah al-Baraah (at-Taubah). Apabila Rasulullah sampai kepada ayat di atas dan selesai membacanya, aku lantas berkata kepada baginda; ‘Sesungguhnya kami (penganut Kristian) tidak pernah pun menyembah mereka (yakni pendita-pendita dan rahib-rahib kami)’. Rasulullah lalu menjawab;

أليس يحرمون ما أحل الله فتحرمونه ويحلون ما حرم الله فتستحلونه
“Bukankah mereka (yakni pendita-pendita dan rahib-rahib kamu dulu) telah mengharamkan apa yang telah dihalalkan Allah lalu kamu pun turut mengharamkannya, dan mereka juga telah menghalalkan apa yang Allah haramkan lalu kamu pun turut menghalalkannya (kerana mematuhi mereka)?”.

Adi menjawab; “Benar, ya Rasulullah”. Balas Rasulullah; “Itu maknanya kamu menyembah mereka”.
(Riwayat Imam at-Thabrani dari Adi bin Hatim)

Perhatikan dalam hadis di atas bagaimana Rasulullah s.a.w. telah melabelkan orang yang mematuhi orang yang meminda hukum Allah sebagai menyembahnya. Ini menunjukkan bahawa perbuatan tersebut jelas merupakan syirik atau tindakan menyengutukan Allah. Malah perbuatan syirik sebegini telah dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya;

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ
“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan undang-undang untuk mereka dari urusan agama yang tidak diizinkan oleh Allah”. (as-Syura: 21)

Syirik Asghar[3]

Syirik Asghar (kecil) tergolong dalam kumpulan dosa-dosa besar, malah paling besar dari dosa-dosa besar yang lain di sisi Allah. Bentuk-bentuk syirik kecil ini ialah;

a) Bersumpah dengan nama selain Allah

Seperti bersumpah dengan nama nabi, kaabah, wali-wali Allah, orang besar, dengan nama tanah-air/negara, nenek-moyang dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

من حلف بغير الله فقد أشرك
“Sesiapa bersumpah dengan nama selain Allah maka sesungguhnya dia telah mensyirikkan Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ibnu ‘Umar/al-Jami’ as-Saghir, no. 8642)

Dalam sumpah kita membesar dan mengagungkan sesuatu iaiu orang yang kita bersumpah dengan menyebut namanya. Kebesaran dan keagungan yang mutlak hanya khusus bagi Allah. Kerana itu kita dilarang bersumpah melainkan dengan menyebut nama Allah. Bersumpah dengan nama selain Allah menggambarkan seolah-olah ada zat yang lain yang lebih besar dan lebih agung dari Allah, maka kerana itu ia termasuk dalam syirik.

Menurut ulama’, orang yang bersumpah dengan menyebut nama selain Allah tidak wajib mengotakan sumpahnya dan tidak wajib membayar kaffarah (denda melanggar sumpah). Ini kerana perbuatannya itu adalah syirik dan syirik tidak ada kehormatan atau nilai baginya. Apa yang perlu ia lakukan ialah bertaubat dan beristigfar serta melafazkan kembali syahadahnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;

من حلف فقال في حلفه: واللات والعزى، فليقل: لا إله إلا الله
“Sesiapa bersumpah, lalu ia menyebutkan dalam sumpahnya; ‘Demi Lata dan ‘Uzza’, maka hendaklah ia (menginsafi dirinya dan) melafazkan; ‘لا إله إلا الله’”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

b) Menggantung tangkal

Menggantung tangkal –sama ada berupa tali, gelang, kalung atau sebagainya- adalah berdosa dan boleh menjatuhkan ke dalam syirik terutamanya tangkal yang bertulis perkataan-perkataan atau tulisan-tulisan yang menyesatkan atau yang tidak difahami maknanya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

من علق تميمة فقد أشرك
“Sesiapa menggantung tangkal sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin Amir r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8857)

Tamimah dalam hadis diatas menurut ulama’ bermaksud; tangkal di mana orang-orang Arab dahulunya menggantungkannya di tangan anak-anak mereka untuk menolak sihir ‘ain (yakni sihir dari pandangan mata).[4]

Sabda baginda juga;

من علق وَدَعة فلا ودع الله له، ومن علق تميمة فلا أتم الله له
“Sesiapa menggantung wada’ah (tangkal kulit siput), maka Allah tidak akan memberi ketenangan/ketenteraman kepadanya (yakni Allah tidak meringankan kebimangan yang menjadi penyebab ia memakai tangkal itu). Dan sesiapa yang menggantung tangkal pada badannya, maka Allah tidak akan menyempurnakan hajatnya”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin Amir r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8858)

Menurut ulama’; Wada’ah ialah satu benda yang diambil dari laut yang menyerupai kulit siput, dipakai sebagai pelindung dari sihir ‘ain mengikut kepercayaan orang Arab dahulu.[5]

Seorang sahabat Nabi s.a.w. bernama ‘Imran bin Hashin menceritakan; “Satu ketika seorang lelaki masuk menemui Rasulullah s.a.w. sedang di lengannya terdapat gelang tangkal diperbuat dari tembaga. Lalu baginda bertanya kepadanya; ‘Gelang apa ini?’ Ia menjawab; ‘Gelang tangkal untuk merawat wahinah (penyakit angin pada bahagian bahu dan lengan)’. Lantas baginda berkata kepadanya; ‘Tanggalkannya kerana ia tidak akan menambah kepadamu melainkan wahnan (lemah). Jika ditakdirkan kamu mati dan gelang itu masih berada di badan kamu, kamu tidak akan beruntung selama-lamanya’”. (Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah dan Thabrani dari ‘Imran bin Hashin r.a.)

Jika sekiranya pada tangkal itu tidak ada tulisan lain melainkan ayat al-Quran atau nama-nama Allah, maka para ulama’ berbeza pandangan. Ada yang mengharuskannya dan ada yang tetap mengharamkannya. Antara yang mengharuskannya ialah Imam Ibnu Hajar di mana ia berkata; “Maksud tegahan dalam hadis di atas ialah menggantungkan tangkal yang bukan bertulis ayat al-Quran dan seumpamanya (seperti nama-nama Allah dan doa-doa Rasulullah s.a.w.). Adapun tangkal yang tertulis sebutan nama Allah, maka tidaklah ditegah kerana tangkal sebegini dibuat untuk diambil berkat dan untuk memohon perlindungan dengan nama-nama Allah dan sebutannya…”.[6]

Walau bagaimanapun, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi lebih cenderung menyatakan ia sebagai haram dengan alasan/hujah seperti berikut;

1. Tegahan dalam hadis di atas adalah umum di mana ia tidak mengecualikan sebarang tangkal sama ada yang tertulis ayat al-Quran dan nama-nama Allah atau yang tertulis perkataan-perkataan lainnya.

2. Menutup jalan kepada tangkal-tangkal yang lain (yang bukan bertulis ayat al-Quran atau nama-nama Allah), kerana memberi kelonggaran kepada manusia untuk menggantung tangkal yang tertulis ayat al-Quran atau nama-nama Allah akan membuka jalan kepada mereka untuk menggantung tangkal-tangkal lainnya. Pintu kejahatan apabila sudah mula dibuka, sukar ditutup/disekat.

3. Akan mendedahkan al-Quran dan nama-nama Allah kepada penghinaan di mana orang yang memakainya mungkin membawanya ke tempat-tempat najis (tandas atau sebagainya) atau memakainya ketika ia dalam haid atau junub dan sebagainya.

4. Perbuatan itu boleh menjatuhkan nilai al-Quran di samping menyalahi tujuan al-Quran itu sendiri kerana al-Quran diturunkan untuk dibaca dan diambil panduan, bukan untuk digantung sebagai tangkai.[7]

c) Berjampi menggunakan kalimah-kalimah syirik atau yang tidak diketahui maknanya

Sabda Rasulullah s.a.w.;

إِنَّ الرُّقَي وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
“Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 2002)
(At-Tiwalah ialah sejenis sihir pengasih iaitu yang digunakan untuk menjadikan seorang perempuan dikasihi oleh seorang lelaki. Lihat Faidhul Qadier, hadis no. 2002)

Jampi yang dilarang dalam hadis di atas dan dianggap sebagai syirik ialah yang terkandung doa atau pemujaan kepada selain Allah, atau yang menggunakan bahasa selain Arab atau bahasa yang tidak difahami yang besar kemungkinan mengandungi kalimah-kalimah kufur atau unsur-unsur syirik. Adapun jampi-jampi menggunakan ayat al-Quran dan doa-doa Rasulullah s.a.w., maka tidaklah dilarang. Lebih jelas lagi, menurut Imam Suyuti; para ulama’ sepakat mengharuskan jampi-jampi jika memenuhi tiga syarat;
a) Menggunakan kalam Allah, nama-nama atau sifat-sifatNya.
b) Menggunakan bahasa Arab dan bahasa yang difahami maksudnya.
c) Dengan iktikad bahawa bukan jampi-jampi itu yang menyembuhkan (atau memberi kesan) tetapi Allah.[8]

Berkata Imam Muhammad bin al-Hasan; “Diharuskan berjampi dengan jampi yang terdapat di dalam al-Quran dan yang menyebut nama Allah. Adapun dengan perkataan yang tidak diketahui (makna atau asal-usulnya), maka tidak harus berjampi dengannya”. (Lihat al-Muwattha’, bab ar-Ruqa).

Seorang sahabat nabi bernama ‘Auf bin Malik al-Asyja’ie r.a. menceritakan; ‘Kami biasa berjampi pada zaman jahiliyah. Lalu (apabila datangnya Islam) kami bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah s.a.w., apa pandangan kamu tentang jampi?’. Rasulullah s.a.w. menjawab;

اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُم، لا بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيْهَا شَيء
“Tunjukkan kepadaku jampi-jampi kamu. Tidak mengapa dengan jampi-jampi selagi tidak ada syirik padanya”. (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari ‘Auf bin Malik r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 1152)

Terdapat riwayat menceritakan bahawa Abdullah bin Mas’ud suatu hari melihat di leher isterinya terdapat tangkal benang. Lalu ia bertanya isterinya; ‘Apa ini?’. Jawab isterinya; ‘Tangkal yang dijampi untuk berlindung dari demam/rasa panas’. Lantas Abdullah merentap tangkal tersebut dan membuangnya. Kemudian ia berkata kepada isterinya; ‘Sesungguhnya ahli keluarga Abdullah bebas dari syirik. Aku dengar Rasulullah bersabda; ‘Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik’. Isteri Abdullah lalu menceritakan kepadanya; ‘Suatu suatu hari aku keluar dari rumah. Aku terserempak dengan seorang lelaki yang melihat aku dengan matanya (yakni menyihir aku dengan matanya) menyebabkan mataku sentiasa berair/mengalir air mata. Maka aku pergi kepada seorang yahudi dan ia mengajar kepadaku satu jampi. Apabila aku membaca jampi itu, mataku pun berhenti berair. Namun apabila aku meninggalkan jampi itu, mataku kembali berair’. Abdullah berkata -memberi penjelasan kepada isterinya-; ‘Itulah mainan syaitan (untuk menyesatkan kamu). Apabila kamu taatinya (yakni dengan membaca jampi itu) ia biarkan kamu (yakni ia tidak menyakiti kamu), dan apabila kamu engkarinya (yakni dengan meninggalkan jampi itu), ia mencucuk mata kamu dengan jari-jarinya’. Abdullah berkata lagi; ‘Jika kamu melakukan sebagaimana yang diajar Rasulullah s.a.w. adalah lebih baik dan lebih mudah sembuh iaitu kamu merenjiskan air ke matamu sambil membaca doa;

أَذْهِبِ الْبَاسْ. رَبَّ النَّاسْ. اِشْفِ، أَنْتَ الشَّافِي. لاَشِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَيُغَادِرُ سَقَماً
“Jauhilah penyakit wahai Tuhan manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Tuhan yang maha menyembuhkan. Tidak ada sembuhan melainkan sembuhan Engkau, sembuhan yang tidak akan meninggalkan sebarang penyakit”.
(Riwayat Imam Ibnu Majah dari Zainab r.a.)

d) Sihir

Sihir adalah perbuatan yang mendatangkan syirik kepada Allah kerana ia melibatkan pemujaan dan permohonan kepada roh-roh jahat seperti iblis, syaitan, jin dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

من عقد عقدة ثم نفث فيها فقد سحر، ومن سحر فقد أشرك، ومن تعلق شيئا وكل إليه
“Sesiapa yang menyimpul satu ikatan, kemudian menghembus/meniup (dengan air ludahnya) padanya, maka sesungguhnya ia telah melakukan sihir dan sesiapa yang melakukan sihir, maka sesungguhnya dia telah syirik. Dan sesiapa menggantung sesuatu (tangkal), akan diserahkan urusannya kepada tangkal tersebut (yakni dia tidak akan mendapat bantuan Allah)”. (Riwayat Imam an-Nasai dari Abu Hurairah r.a.)

Di dalam al-Quran, Allah menyenaraikan sihir di antara kejahatan-kejahatan yang mesti dielak oleh manusia dengan memohon perlindungan Allah. Firman Allah;

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ، مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ، وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ، وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ، وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
“Katakanlah (wahai Muhammad); ‘Aku berlindung kepada Tuhan (yang mengatur) makhluk, daripada kejahatan makhlukNya, dan daripada kejahatan malam bila ia telah gelap, dan daripada kejahatan perempuan-perempuan tukang sihir yang meniup dengan air ludahnya pada simpulan tali, dan daripada kejahatan orang yang dengki bila ia melahirkan dengkinya”. (al-Falaq: 1-5)

Imam-imam salaf seperti Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam Ahmad menghukum sihir sebagai kufur dan orang-orang yang mengamalkannya sebagai kafir. Malah ada di kalangan sahabat Nabi s.a.w. memberi fatwa bahawa ahli sihir hendaklah dibunuh. Dalam soheh Bukhari, terdapat riwayat dari Bijalah bin ‘Abadah yang menceritakan; “Umar bin al-Khattab r.a. telah menulis surat perintah kepada kami; ‘Hendaklah kamu sekelian membunuh setiap ahli sihir lelaki dan perempuan’, lalu kami membunuh tiga orang ahli sihir”. Sebahagian ulama’ berpendapat; kufur atau tidaknya seorang ahli sihir itu bergantung kepada perbuatan sihirnya. Jika dalam perbuatan sihirnya itu terdapat pemujaan atau memohon pertolongan dengan suatu yang membawa kekufuran maka jatuh kafirlah ia. Jika tidak maka ia hanya fasiq sahaja.

Dosa sihir tidak hanya bagi orang yang melakukannya sahaja, bahkan orang yang mempercayainya juga turut berdosa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;

ثلاثة لا يدخلون الجنة: مدمن الخمر، وقاطع الرحم، ومصدق بالسحر
“Tidak manusia yang tidak akan masuk syurga; orang yang ketagihan arak, orang yang memutuskan silaturrahim dan orang yang mempercayai sihir”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari Abi Musa al-Asy’ari r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 3528)

Termasuk jenis sihir ialah at-tanjim dan at-tiwalah. At-tanjim ialah ilmu nujum iaitu meneka/meramal apa yang bakal berlaku masa depan dengan melihat dan menilik bintang-bintang. Mungkin dalam bahasa moden hari ini at-tanjim ini dikenali sebagai astrologi.[9] Sabda Rasulullah s.a.w.;

مَنِ اقْتَبَسَ عِلْماً مِنَ النَّجُومِ، اقْتَبَسَ شُعْبَةً مِنَ السَّحْرِ. زَادَ مَازَادَ
“Sesiapa mempelajari suatu ilmu dari ilmu-ilmu nujum, maka ia mempelajari satu cabang dari sihir. Bertambah sihirnya dengan bertambah ilmu nujumnya”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud dari Ibnu Abbas r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8500)

Adapun at-tiwalah, maka ia adalah sihir pengasih. Kita telahpun menerangkan tentangnya pada beberapa muka surat yang lalu.

e) al-Kahin dan al-‘Arraf (Tukang tilik, tukang ramal)

Al-Kahin ialah orang yang mendakwa dapat mengetahui rahsia-rahsia dan perkara-perkara ghaib. Al-‘Arraf pula bermaksud orang yang mendakwa mempunyai kemampuan untuk mendedahkan apa yang akan berlaku pada masa depan.[10] Dalam bahasa melayu, kedua-dua orang ini mungkin dapat diistilahkan sebagai tukang tilik, tukang tenung, tukang ramal atau ahli nujum.

Sabda Rasulullah s.a.w.;

من أتى عرافا فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة
“Sesiapa pergi kepada seorang ‘arraf (tukang tilik/tukang tenung) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, lalu mempercayainya, tidak akan diterima solatnya selama 40 hari”. (Riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim dari beberapa isteri Nabi s.a.w./al-Jami’ as-Saghir, no. 8284)

من أتى عرافا أو كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد
“Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)

Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa hanya Allah yang mengetahui perkara-perkara ghaib.

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
“Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (an-Naml: 65)

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَا إِلاَّ هُوَ
“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja”. (al-A’raf: 59)

Malah Nabi s.a.w. sendiri tidak mengetahui hal-hal ghaib melainkan yang diberitahu Allah kepadanya.

قُل لاَّ أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ ضَرّاً إِلاَّ مَا شَاء اللّهُ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاَسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَاْ إِلاَّ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
“Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188)

Jin-jin yang dipergunakan oleh ahli-ahli sihir dan tukang-tukang tilik atau tenung juga tidak memiliki kemampuan untuk mengetahui perkara ghaib. Ini dijelaskan oleh al-Quran tatkala mendedahkan tentang jin-jin nabi Sulaiman a.s yang tidak menyedari bahawa beliau telah wafat.

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَى مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ
“Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia (yakni nabi Sulaiman) tumbang, nyatalah kepada jin-jin itu bahawa jika sekiranya mereka sememangnya mengetahui hal yang ghaib, tentulah mereka tidak akan terus tinggal dalam azab (kerja berat) yang menghina itu”. (Saba’: 14)

f) Bernazar kepada selain Allah

Nazar bermaksud mewajibkan ke atas diri sendiri perkara kebaikan atau sunat yang asalnya tidak wajib dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Nazar di dalam Islam adalah ibadah. Oleh itu, ia tidak boleh dilakukan melainkan kerana Allah.

Bernazar kepada selain Allah adalah syirik (yakni menyengutukan Allah dengan beribadah kepada selaiNya). Oleh kerana ia adalah syirik, maka ia tergolong dalam maksiat. Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w., nazar yang berkait dengan maksiat tidak harus ditunaikan. Sabda baginda;

من نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصي الله فلا يعصه
“Sesiapa bernazar untuk melakukan perbuatan taat kepada Allah, maka ta’atlah kepadanya (dengan menunaikan apa yang ia nazarkan). Sesiapa yang bernazar untuk melakukan perkara maksiat kepada Allah, maka janganlah ia melakukan maksiat kepadaNya (yakni janganlah ia menunaikan nazar maksiatnya itu)”. (Riwayat Imam Muhammad, Bukhari dan beberapa lagi dari Aisyah r.a./al-Jami’as-Saghir, no. 9056)

g) Menyembelih untuk selain Allah

Antara perbuatan yang membawa syirik ialah menyembelih binatang atas nama selain Allah (seperti berhala, hantu-hantu, mahkluk-makhluk halus dan sebagainya) atau mengadakan sembelihan (korban, nazar dan sebagainya) untuk dipersembahkan kepada selainNya. Begitu juga, mempersembahkan makanan-makanan atau korban-korban untuk tujuan memuja selain Allah.

Menjadi adat orang-orang Arab jahiliyah mereka mendekatkan diri mereka kepada tuhan-tuhan dan berhala-berhala mereka dengan mengemukakan binatang-binatang sembelihan mereka. Begitu juga menjadi kebiasaan mereka ketika menyembelih binatang mereka menyebut nama berhala-berhala mereka. Lalu Allah mengharamkan perbuatan tersebut ke atas orang beriman dan memerintahkan mereka supaya tidak menyebut nama selain Allah ketika menyembelih dan tidak mengemukakan binatang sembelihan (untuk tujuan ibadah seperti korban, nazar dan sebagainya) melainkan untuk Allah. Tidak sekadar itu, Allah juga mengharamkan daging binatang-binatang yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah itu atau yang disembelih untuk dipersembahkan kepada selain Allah dari dimakan oleh orang beriman. Firman Allah;

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالْدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلاَّ مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُواْ بِالأَزْلاَمِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ
“Diharamkan ke atas kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih untuk selain Allah, dan yang mati kerana tercekik, terpukul, terjatuh, ditanduk oleh binatang lain dan yang dimakan binatang buas kecuali jika sempat kamu sembelih binatang tersebut, dan (juga binatang) yang disembelih atas nama berhala, dan (diharamkan juga) menilik nasib dengan undian anak-anak panah. Semua yang demikian itu adalah perbuatan fasik…”. (al-Maidah: 3)

Sabda Rasulullah s.a.w.;

لَعَنَ اللهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَهُ، وَلَعَنَ اللهُ مَنْ ذَبَحَ لِغَيْرِ اللهِ، وَلَعَنَ اللهُ مَنْ آوَىَ مُحْدِثاً، وَلَعَنَ اللهُ مَنْ غَيَّرَ مَنَارَ الأَرْضِ
“Allah melaknat orang yang melaknat dua ibu-bapanya. Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah. Allah melaknat orang yang melindungi pelaku bid’ah (atau orang yang membuat kerosakan di bumi[11]). Allah melaknat orang yang mengubah tanda-tanda batas tanah (yakni perenggan)”. (Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Nasai dari Ali r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 7282)

Menurut Imam Nawawi –dalam huraiannya terhadap hadis ini-; Yang dimaksudkan menyembelih untuk selain Allah ialah menyembelih dengan nama selainNya seperti seseorang menyembelih untuk berhala, untuk salib, untuk Musa, untuk Isa, untuk Kaabah dan seumpamanya. Semua yang demikian itu adalah haram dan tidak halal (untuk dimakan) binatang yang disembelih itu sama ada yang menyembelih tersebut orang Islam, orang Nasrani atau Yahudi. Ini sebagaimana pendapat yang dinaskan oleh Imam Syafi’ie dan disepakati oleh sekelian fuqaha’ Syafi’ie. Jika sekiranya ia (yakni orang yang menyembelih untuk selain Allah itu) berqasad (berniat/bercita-cita) semasa melakukan sembelihan itu untuk membesarkan orang/benda yang disembelih binatang untuknya itu atau berniat untuk beribadah kepadanya, maka perbuatannya itu adalah kufur. Jika dia seorang muslim, dengan sembelihannya itu jadilah ia seorang yang murtad dari agama…”. (Lihat Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi, jil. 13, hlm. 148)

h) Mempercayai sial burung (atau binatang-binatang lain atau sesuatu perkara/benda)

Antara perkara yang membawa kepada syirik ialah at-thiyarah (الطيَرَة) iaitu mempercayai sial sesuatu (yakni malang yang akan menimpa kerananya) seperti mempercayai sial burung, biawak dan sebagainya. Contohnya, seseorang keluar dari rumahnya untuk suatu urusan, tiba-tiba seekor biawak melintas di hadapannya, lalu ia berpatah balik (kerana menganggap hari itu adalah hari sial berdasarkan kepercayaan dirinya atau masyarakatnya), maka perbuatannya itu tergolong dalam syirik kerana bergantung hati kepada selain Allah dan tidak bertawakkal kepadaNya. Orang Arab Jahiliyah dahulu apabila keluar untuk suatu urusan, jika ia melihat burung terbang di sebelah kanannya, ia akan bersangka baik dan meneruskan urusannya. Jika ia melihat burung terbang di sebelah kirinya, maka ia akan bersangka buruk dan akan berpatah balik (yakni membatalkan urusannya kerana menganggap hari itu adalah hari sial). Adakalanya mereka pergi kepada burung yang sedang berada di tanah, lalu menyergahnya dan melihat ke arah mana burung itu terbang; ke arah kanan atau kiri. Jika ke kanan, mereka akan meneruskan niat mereka untuk keluar. Adapun jika ke kiri, mereka akan membatalkan niat mereka kerana takut ditimpa rugi atau sial. Bila datang Islam, Allah membatalkan kepercayaan orang Arab ini dan menjelaskan kepada mereka bahawa tidak ada yang boleh mendatangkan keuntungan/manfaat dan menolak kemudaratan/kerugian melainkan Allah.[12] Sabda Rasulullah s.a.w.;

من ردته الطيرة عن حاجته فقد أشرك
“Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah”.

Lalu para sahabat bertanya; ‘Bagaimana kami hendak menebusnya, Ya Rasulullah s.a.w. (yakni menebus dosa kerana melakukannya)’. Jawab Rasulullah; ‘Kamu ucapkanlah;

اللَّهُمّ لاَ طَيْرَ إِلاَّ طَيْرُك، وَلاَ خَيْرَ إِلاَّ خَيْرُكَ ولا إله غيرك
“Ya Allah, tidak ada sial melainkan sial yang datang dari Engkau dan tidak ada kebaikan melainkan kebaikan dari Engkau serta tidak ada Tuhan melainkan Engkau”.
(Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda;

لا عدوى ولا طيرة، ويعجبني الفأل
“Tidak ada jangkitan penyakit (tanpa kehendak dari Allah) dan tidak ada sial sesuatu, akan tetapi menyukaiku al-fa’l”.

Para sahabat bertanya: ‘Apa itu al-Fa’l, ya Rasulullah?’. Jawab baginda;
كلمة طيبة
“Kalimah/ucapan yang baik”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.)

Al-Fa’l (الفأل) menurut ulama’ bermaksud seseorang mendengar atau terdengar suatu ucapan yang baik, lalu ia mengharap keberkatan atau kurniaan Allah dengan ucapan itu. Contohnya; seorang sakit, lalu kawannya datang untuk menziarahinya. Ketika hendak masuk kepadanya, kawannya itu berkata kepadanya; ‘Ya Salim’ (يا سالم) (yang bermaksud; ‘Wahai orang yang sihat/selamat’), lalu dengan panggilan itu ia menaruh keyakinan dalam hatinya bahawa ia akan sihat atau selamat. Menaruh keyakinan atau harapan sebegini dinamakan al-Fa’l atau at-Tafa’ul.[13]

Rasulullah s.a.w. melarang at-Thiyarah dan mengharuskan at-Fa’l kerana antara keduanya ada perbezaan. Menurut Imam al-Halimi; Rasulullah membenarkan al-Fa’l atau at-Tafaul kerana ia adalah bersangka baik (husnu dzan) kepada Allah atau menaruh harapan kepadaNya di mana setiap mukmin diperintahkan supaya sentiasa bersangka baik kepada Allah pada setiap ketika. Adapun at-Thiyarah maka ia adalah bersangka buruk kepada Allah tanpa sebab yang pasti.[14]

i) Riyak

Riyak bermaksud melakukan suatu amalan, ibadah atau kebaikan tidak ikhlas semata-mata kerana Allah tetapi untuk dilihat sama oleh manusia supaya mendapat pujian atau perhatian mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.;

إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الأصغر
“Sesungguhnya suatu yang paling aku bimbangi terhadap kamu ialah syirik paling kecil”.

Para sahabat bertanya; “Apa itu syirik paling kecil, ya Rasulullah?”. Jawab Rasulullah;

الرياء
“Iaitulah riyak”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Mahmud Ibn Lubaid r.a.)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda dari Allah (yakni hadis qudsi) bahawa Ia berfirman;

أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ. فَمَنْ عَمِلَ لِي عَمَلاً أَشْرَكَ فِيهِ غَيْرِي. تَرَكْتُهُ وَشِرْكَه (و في رواية ابن ماجه: فَأَنَا مِنْهُ بَرِيٌ. وَهُوَ لِلَّذِي أَشْرَكَ)
“Aku adalah sekutu yang paling tidak memerlukan penyengutuan. Oleh itu, sesiapa melakukan amalan dengan menyengutukanKu dengan selainKu dalam amalannya itu, maka Aku tinggalkan dia bersama sekutunya itu”. (Riwayat Imam Muslim dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 6031)

Menurut Imam Nawawi; hadis di atas menunjukkan bahawa amalan orang yang riyak adalah batil, tidak ada pahala dan berdosa.[15]

j) Berkata; “Jika di kehendaki Allah dan dikehendaki kamu”.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa seorang lelaki pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; “ما شاء الله وشئت” (maksudnya; Apa yang Allah kehendaki dan apa yang kamu kehendaki). Lalu Rasulullah berkata kepadanya;

أجعلتني لله ندا
“Apakah kamu mahu menjadikan aku sekutu bagi Allah? (Janganlah kamu menyebutkan begitu),akan tetapi sebutlah; ‘Apa yang dikehendaki Allah sahaja’.
(Riwayat Imam Ahmad dari Ibnu ‘Abbas r.a.)[16]

Sabda Rasulullah s.a.w.;

إذا حلف أحدكم فلا يقل: ما شاء اللَّه وشئت. ولكن ليقل: ما شاء اللَّه ثم شئت
“Jika sesiapa di kalangan kamu bersumpah, maka janganlah ia berkata; ‘Apa yang dikehendaki Allah dan yang dikehendaki kamu’. Akan tetapi katalah; ‘Apa yang dikehendaki Allah, kemudian yang dikehendaki kamu’. (Riwayat Ibnu Majah dari Yazid bin al-Asham (الأصم) r.a.)

***Selesai huraian tentang Syirik, al-Hamdulillah***

Nota Kaki;

[1] Haqiqatu at-Tauhid, hlm. 35.
[2] Haqiqatu at-Tauhid, hlm. 35-40.
[3] Dalam menghurai tentang Syirik Kecil ini, kitab-kitab yang dirujuk ialah; Haqiqatu at-Tauhid, oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Fathul-Majid syarah Kitabut-Tauhid, oleh Syeikh Abdurrahman Ali Syeikh.
[4] Fathul Majid, hlm. 115.
[5] Fathul Majid, hlm. 115.
[6] Lihat Imam al-Minawi, Faidhul Qadier syarh al-Jami’ as-Saghir, hadis no. 8857 dan 8858.
[7] Haqiqatu at-Tauhid, hlm. 44.
[8] Haqiqatu at-Tauhid, hlm. 46.
[9] Menurut kamus dewan, astrologi bermaksud; ilmu nujum (ilmu peramalan sesuatu berdasarkan kajian bintang-bintang).
[10] Menurut Imam an-Nawawi, perbezaan antara al-Kahin dan al-‘Arraf ialah; al-Kahin ialah orang yang menilik atau meramal perkara-perkara yang akan berlaku masa depan dan ia mendakwa mengetahui perkara-perkara rahsia atau ghaib. Al-‘Arraf pula ialah orang yang menilik barang yang dicuri, tempat kehilangan barang atau seumpamanya. (Lihat Faidhul Qadier, Imam al-Minawi, hadis no. 8284)
[11] Sebagaimana tafsiran Imam Nawawi (lihat Syarah Muslim, jil. 13).
[12] Rujuk al-Misbahul Munir oleh Imam Ahmad bin Muhammad al-Fayyumi, Fathul Majid (hlm. 292-293), Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi, jil. 14, hlm. 230 dan Raudhatul Muttaqien syarah Riyadhus Salihin, oleh Syeikh Abdul Qadier ‘Irfan ad-Dimasyqi, jil. 4, hlm. 182-183.
[13] Rujuk al-Misbahul Munir oleh Imam Ahmad bin Muhammad al-Fayyumi dan Fathul Majid (hlm. 298)
[14] Fathul Majid, hlm. 299. (Lihat juga Raudhatul Muttaqien syarah Riyadhus Salihin, oleh Syeikh Abdul Qadier ‘Irfan ad-Dimasyqi, jil. 4, hlm. 182-183).
[15] Imam an-Nawawi, Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi, jil. 18, hlm. 109.
[16] Lihat hadis ini dalam Kitab fathul Majid, hlm. 74.

No comments: