Wednesday, June 24, 2009

FIQH AQIQAH

Pengertian Aqiqah

Al-‘Aqiqah berasal dari perkataan al-‘Aq (العقّ) yang bermaksud al-Qat’u (القطع) iaitu memotong. Aqiqah pada asalnya ialah rambut yang berada di kepala bayi ketika dilahirkan dan dinamakan kambing yang disembelih untuk bayi sebagai aqiqah adalah kerana rambut tersebut dicukur ketika sembelihan itu dilakukan. Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis;

الغلام مرتهن بعقيقته: فأهريقوا عنه الدم، وأميطوا عنه الأذى
“Anak kecil itu dipertaruhkan dengan aqiqahnya[1], maka tumpahkanlah darah untuknya (yakni lalukanlah aqiqah untuknya) dan singkirkanlah kotoran darinya”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dari Salman bin ‘Amir r.a.)

Yang dimaksudkan dengan kotoran (الأذي) dalam hadis ini ialah rambut yang dicukur dari anak kecil tersebut.[2]

Adapun dari sudut Syara’, Aqiqah bermaksud; binatang yang disembelih untuk bayi yang dilahirkan.[3] Disunatkan memanggilnya dengan nama nasikah (نسيكة) atau zabihah (ذبيحة).[4]

Dalil pensyari’atan aqiqah ialah hadis Buraidah r.a. yang menceritakan;

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم عق عن الحسن والحسين
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melakukan aqidah untuk Hasan dan Husin”. (Riwayat Imam an-Nasai)

Hukum Aqiqah

Aqiqah hukumnya adalah sunat muakkad.[5] Dalil sunatnya aqiqah ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin ‘Amir r.a. tadi.[6]

Melakukan aqiqah tidaklah wajib kerana Abdurrahman bin Abi Sa’id meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. ditanya berkenaan dengan aqiqah? Lalu baginda bersabda;

لا أحب العقوق ومن ولد له ولد فأحب أن ينسك له فليفعل
“Aku tidak al-‘Aquq.[7] Sesiapa yang memperolehi anak kecil, lalu ia suka untuk menyembelih (aqiqah) untuknya, maka lakukanlah”. (Riwayat Imam Abu Daud).

Dalam hadis di atas Rasulullah mengikat sembelihan aqiqah tersebut dengan “ia suka”. Maka ini menunjukkan bahawa aqiqah tidak wajib. Selain itu, aqiqah adalah darah yang ditumpahkan (yakni sembelihan yang dilakukan) tanpa disebabkan oleh sebarang jenayah dan juga nazar, maka oleh itu ia tidaklah wajib sebagaimana korban.[8]

Siapa yang dituntut melakukan aqiqah?

Orang yang disunatkan melakukan aqiqah bagi seorang bayi ialah orang yang berkewajipan menanggung nafkahnya. Kerana itu, harga aqiqah dibebankan kepadanya, bukan kepada bayi. Jika ia melakukan aqiqah dengan mengambil dari harta/wang bayi, maka wajib diganti. Ini kerana aqiqah itu tergolong dalam tabarru’ (derma) dan ditegah wali/penjaga melakukan tabarru’ (derma) dengan harta anak di bawah jagaannya. [9]

Disunatkan mengaqiqahi anak apabila mampu. Ukuran kemampuan ialah sebelum tamat tempoh nifas yang terpanjang bagi ibu yang melahirkan bayi tersebut. Jadi, jika seorang wali/penjaga yang menanggung nafkah bayi tidak ada kemampuan untuk melakukan aqiqah semasa anak dilahirkan, namun jika sebelum tamat tempoh nifas terpanjang itu ia mendapat kesenangan dan mampu melakukan aqiqah, maka sunat aqiqah itu masih dituntut ke atasnya.[10] Namun jika sepanjang tempoh nifas tersebut ia masih susah (yakni masih tidak mampu), maka gugurlah tuntutan aqiqah itu darinya.[11]

Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari; jika ayah dari anak yang lahir dalam keadaan tidak mampu, maka sunat bagi datuknya yang mampu melaksanakan aqiqah cucunya sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. ke atas cucunya Hasan dan Husin kerana yang memberikan nafkah kepada keduanya adalah Rasulullah kerana orang tuanya tidak mampu….[12]

Ibu tidak sunat mengaqiqahi anaknya kecuali apabila ayah tidak mampu. Anak zina yang wajib memberi nafkahnya adalah ibunya, maka sunat bagi ibu mengaqiqahi anaknya. Ini adalah Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli. Adapun Syeikh Khatib Syarbini berpendapat; tidak sunat bagi ibu mengaqiqahi anak yang dilahirkan kerana zina sekalipun ia wajib menaggung nafkahnya kerana melaksanakan aqiqah akan menambah malu kepada anak itu.[13]

Binatang yang sunat diaqiqahkan

Terhasil sunat aqiqah apabila wali menyembelih untuk anaknya seekor kambing sama ada anak itu lelaki atau perempuan.[14] Terdapat riwayat di mana Saidina Ali menceritakan;

عقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم عن الحسنِ بشاةٍ وقال يا فاطمةُ احلقي رأسهُ وتصدَّقي بزنِةِ شعرهِ فضَّةً فوزنتهُ فكانَ وزنهُ درهما أو بعضَ درهمٍ
“Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah bagi Hasan dengan seekor kambing dan baginda berkata kepada Fatimah; ‘Cukurlah rambutnya, kemudian sedekahkanlah seberat timbangan rambutnya itu perak’. Ali berkata; Lalu aku menimbangnya, maka beratnya ialah satu dirham atau beberapa dirham”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Begitu juga, riwayat dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;

أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- عقَّ عن الحسن والحسين -رضي الله عنهما- كبشاً كبشاً
“Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)”. (Riwayat Imam Abu Daud)

Namun yang afdhal (yakni yang paling baik) bagi anak lelaki ialah dua ekor kambing. Ini berdasarkan riwayat Ummu Kurzin yang menceritakan; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (berkenaan Aqiqah);

عن الغلام شاتان مكافئتان، وعن الجارية شاةٌ
“Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing”. (Riwayat Abu Daud)

Sembelihan aqiqah disyari’atkan untuk menzahirkan kegembiraan terhadap kelahiran anak dan kegembiraan dengan lahirnya anak lelaki biasanya lebih besar, oleh itu sembelihan juga digalakkan lebih banyak dari kepada anak perempuan.[15]

Apakah harus beraqiqah dengan unta dan lembu? Jawapannya adalah harus di mana 1/7 bahagian unta atau lembu menyamai seekor kambing. Oleh itu, seekor unta atau lembu boleh dijadikan aqiqah untuk tujuh orang anak. Dan harus seorang yang ingin melakukan aqiqah berkongsi lembu atau unta dengan orang lain yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk dagingnya sahaja. Hukum ini sama sebagaimana yang disentuh dalam bab Korban terdahulu.[16]

Seekor kambing atau 1/7 bahagian lembu/unta hanya bagi seorang anak sahaja. Oleh demikian, jika seorang itu dilahirkan dua orang anak untuknya, kemudian ia hanya menyembelih seekor kambing sahaja untuk mereka berdua, tidak terhasil ibadah aqiqah untuknya. Ini termasuklah jika dua anak itu adalah anak kembarnya. Kesimpulannya, aqiqah hendaklah dilakukan mengikut bilangan anak. Bagi seorang anak seekor kambing. Jika dua orang, maka dua ekor kambing dan begitulah seterusnya. Hukum ini adalah berdasarkan hadis riwayat Ibnu ‘Abbas tadi yang menceritakan; “Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)”.

Syarat-syarat binatang yang hendak diaqiqahkan

Hukum aqiqah sama seperti hukum korban iaitu sunat muakkad. Oleh itu, syarat binatang aqiqah sama seperti yang disyaratkan untuk ibadah korban dari segi jenisnya, umurnya dan bebasnya dari kecacatan yang menyebabkan kurang daging.[17] Begitu juga, ia menjadi wajib apabila dinazar atau ditentukan.[18] Sila rujuk huraian terperinci mengenainya dalam tajuk korban yang lalu.

Masa aqiqah[19]

Bermula masa/waktu melakukan aqiqah ialah apabila bayi telah sempurna lahir dari perut ibunya. Maka jika dilakukan sembelihan sebelum bayi lahir dengan sempurna, tidak dikira sebagai aqiqah. Ia hanya menjadi sembelihan untuk daging dan tidak akan mendapat sunat aqiqah.

Waktu aqiqah itu berterusan hinggalah bayi yang dilahirkan itu sampai umur baligh.[20] Apabila ia telah baligh, gugurlah tuntutan aqiqah dari penjaganya (seperti bapanya atau sebagainya) jika belum melaksanakannya. Namun digalakkan orang yang tidak diaqiqahkan sebelum balighnya melakukan sendiri aqiqahnya.

Walaupun harus dilakukan aqiqah sebaik saja bayi sempurna lahir, namun disunatkan ia dilakukan pada hari yang ketujuh kelahirannya bersama dengan memberi nama dan mencukur kepala yang juga disunatkan pada hari tersebut. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.;

كُلُّ غُلاَمٍ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ. تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ، وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ، وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan aqiqahnya; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Samurah r.a.)

Begitu juga, Saidatina Aisyah r.a. menceritakan;

عق رسول الله -صلَّى الله عليه وسلَّم- عن الحسن والحسين يوم السابع، وسماهما، وأمر أن يماط عن رؤوسهما الأذى
“Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi)[21]

Adakah hari ketujuh itu dikira dari hari lahir atau hari berikutnya? Menurut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; hari lahir adalah terhitung sebagai hari pertama. Ini bermakna hari ketujuh dikira bermula dari hari lahir, bukan dari hari selepasnya. Namun jika bayi dilahirkan pada waktu malam, dihitung hari berikutnya sebagai hari pertama.

Jika tidak dapat disembelih pada hari ketujuh, disunatkan menyembelih pada hari ke 14 (iaitu seminggu selepasnya). Jika tidak dapat pada hari ke 14, disunatkan pada hari ke 21 dan begitulah seterusnya (seminggu demi seminggu) hinggalah kepada umur baligh. Jika selepas baligh belum juga bayi diaqiqahkan, tidak dituntut lagi sunat aqiqah itu dari wali/penjaganya, akan tetapi digalakkan ia sendiri yang melakukan aqiqah untuk dirinya.[22]

Jika bayi ditakdirkan mati selepas dilahirkan, apakah sunat juga diaqiqahkan? Ya, sunat dilakukan juga aqiqah bagi bayi yang mati sama ada mati sebelum hari yang ke tujuh atau selepasnya dengan syarat bapa/penjaga telah berpeluang melakukan aqiqah ketika berlakunya kematian bayinya (yakni ada kemampuan untuk melakukan aqiqah, namun ditangguhnya hinggalah ke saat bayinya mati).[23]

Menyembelih dan melapah binatang aqiqah

Disyaratkan orang yang beraqiqah meniatkan ketika melakukan sembelihan bahawa binatang yang disembelihnya itu adalah aqiqah. Ini sebagaimana yang disyaratkan dalam korban.[24]

Disunatkan sembelihan aqiqah dilakukan pada awal hari (yakni waktu pagi).[25] Menurut Syeikh Taqiyyuddin Abu Bakar al-Husni; disunatkan menyembelihnya ketika terbit matahari.[26] Ketika menyembelih disunatkan membaca Bismillah, bertakbir dan melafazkan;

اللهم لك وإليك، هذه عقيقة _____
“Ya Allah, untukMu dan kepadaMu. Inilah aqiqah untuk _______ (sebutkan nama bayi yang diaqiqahkan untuknya)”.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;

أن النبي صلى الله عليه وسلم عق عن الحسن والحسين وقال: قولوا بسم الله والله أكبر، اللهم لك وإليك، هذه عقيقة فلان
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin dan baginda bersabda; kamu ucapkanlah (ketika menyembelih aqiqah kamu);

بسم الله والله أكبر، اللهم لك وإليك، هذه عقيقة فلان
“Dengan nama Allah. Allah Tuhan Yang Maha Besar. Ya Allah, untukMu dan kepadaMu. Inilah aqiqah fulan_____”.
(Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang hasan)[27]

Ketika melapah daging aqiqah, disunatkan tidak mematah atau memecahkan tulang-tulangnya, akan tetapi memotong atau memisahkan tulang-tulang dari sendi-sendinya. Ini sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan yang baik) bagi keselamatan anggota-anggota bayi yang dilahirkan itu.[28]

Penggunaan/Pengagihan daging aqiqah

Di sisi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie –sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Nawawi-; hukum aqiqah dalam masalah bersedekah dengannya, memakannya, memberi hadiah, menyimpannya, kadar yang dimakan dan tegahan menjualnya sama sebagaimana yang disebutkan dalam bab korban, tidak ada perbezaan.[29] Jadi pengagihan daging aqiqah sunat merangkumi tiga iaitu; dimakan oleh orang yang melakukan aqiqah dan keluarganya, disedekahkan kepada fakir miskin dan dihadiahkan kepada jiran atau sahabat-handai.[30]

Namun demikian, di sana ada sedikit perbezaan dalam cara pengagihan daging aqiqah dan daging korban. Daging aqiqah sunat dimasak[31] iaitu disedekahkan (atau dihadiahkan) dalam keadaan telah dimasak, bukan dalam keadaan mentah sebagaimana dalam korban. Masakan pula disunatkan yang manis sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan baik) agar bayi yang dilahirkan itu akan manis/elok akhlaknya. Harus sama ada hendak menghantar daging yang dimasak itu ke rumah fakir miskin atau menjemput mereka memakannya di rumah. Namun menghantar masakan kepada mereka lebih afdhal dari memanggil/menjemput mereka ke rumah.[32]

Namun dikecualikan dari dimasak itu kaki binatang korban[33] di mana ia sunat diberikan kepada bidan yang menyambut bayi (القابلة) dalam keadaan mentah (yakni sebelum dimasak).[34] Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a. yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyuruh Fatimah r.a. di mana baginda bersabda;

زني شعر الحسين، وتصدقي بوزنه فضة، وأعطي القابلة رجل العقيقة
“Timbanglah rambut Husin dan bersedekahlah seberat timbangannya akan perak. Dan kamu berilah kepada bidan yang menyambutnya akan kaki binatang aqiqah”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim/al-Jami’ as-Saghir, hadis no. 4567. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh).

***والله أعلم بالصواب***

Nota Hujung

[1] Maksud “dipertaruhkan dengan aqiqahnya” ialah; pertumbuhan yang baik dan penjagaan yang sempurna bagi bayi itu dipertaruhkan dengan binatang yang disembelih untuknya. Ada pendapat menyatakan maknanya; bayi itu tidak akan memberi syafaat kepada dua ibu-bapanya jika ia tidak diaqiqahkan. (al-Fiqhul-Manhaji, jil. 4, hlm. 56)
[2] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[3] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[4] Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55.
[5] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.
[6] Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55.
[7] Yakni baginda tidak menyukai nama al-‘Aquq, maka kerana itu baginda menamakannya nasikah (نسيكة) yang dapat difahami dari kata baginda; (فأحب أن ينسك). (Rujuk: al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321).
[8] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[9] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324. Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55. Fiqh Sunnah, jil. 2, hlm. 40. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 369. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[10] Tutuntan aqiqah tidak akan luput dari wali/penjaga yang mampu sehingga bayinya mencapai umur baligh. Selepas itu tidak dituntut lagi ke atas wali melakukan aqiqah, akan tetapi digalakkan bayi itu sendiri melakukan aqiqah bagi dirinya bagi melaksanakan apa yang telah luput darinya. (Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[11] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 828.
[12] Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[13] Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[14] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 57. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321. al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[15] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[16] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 56. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.
[17] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 88-89.
Termasuk juga yang sama ialah dari sudut binatang yang afdha. Maka binatang yang paling afdhal dibuat aqiqah ialah unta, kemudian lembu, kemudian biri-biri (ad-Dha’nu) dan akhirnya kambing biasa (al-Ma’az). (al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321)
[18] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[19] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 323.
[20] Sebaik-baiknya aqiqah dilakukan pada hari yang ke tujuh. Jika tidak dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).
[21] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 843. al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[22] Berkata Imam al-Buwaiti; “Tidak diaqiqahkan untuk orang dewasa”. Maksud ungkapan ini –menurut Imam Nawawi- ialah; orang dewasa tidak disunatkan diaqiqahkan oleh orang lain, tetapi disunatkan untuk diaqiqahkan oleh dirinya sendiri. (al-Majmu’, jil. 8, hlm. 323).
[23] Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370.
Dalam Sabilal-Muhtadien dinyatakan; “Sunat mengaqiqahkan anak yang mati yang sempat hidup sekadar cukup waktu menyembelih aqiqah sekalipun meninggal sebelum hari ketujuh”. (Hlm. 913).
[24] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[25] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[26] Kifayatul-Akhyar, hlm. 535.
[27] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[28] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 59.
[29] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[30] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[31] Termasuklah daging aqiqah nazar; sunat dimasak terlebih dahulu, kemudian barulah disedekahkan kepada fakir miskin. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[32] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[33] Dalam kitab Sabilal-Muhtadin disebutkan; “…kaki kanan sampai ke batang paha binatang aqiqah…”. (Hlm. 915)
[34] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.

PRODUK HALAL: SUATU TUNTUTAN SYARAK

HALAL bermaksud dibenar dan tidak dilarang oleh Allah. Ia bukan sahaja berkait dengan makanan dan minuman, tetapi juga berkait dengan pakaian, alat-alat perhiasan, kosmetik dan sebagainya. Namun penggunaan istilah HALAL paling kerap digunakan pada makanan dan minuman.

Mengguna atau menikmati makanan dan barangan HALAL adalah tuntutan Allah ke atas manusia terutama kaum muslimin. Allah berfirman di dalam al-Quran;

“Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang HALAL lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu”. (al-Baqarah: 168)

“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, Iaitu yang HALAL lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah Yang kepadanya sahaja kamu beriman”. (al-Maidah: 88)

Terdapat riwayat dari Rasulullah s.a.w. yang menegaskan;

طَلَبُ الْحَلاَلِ وَاْجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Menuntut (mencari) yang HALAL adalah wajib ke atas setiap orang Islam”.
(Riwayat Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dari Anas r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini darjatnya hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5270).

طَلَبُ اْلحَلاَلِ جِهَادٌ
“Mencari yang HALAL adalah satu jihad”.
(Riwayat Imam al-Qadha’ie dari Ibnu ‘Abbas r.a. dan Ibnu Nu’aim dari Ibnu ‘Umar. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini dhaif. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5273)

Oleh kerana kewujudan makanan dan barang-barang di pasaran bergantung kepada pengeluaran, maka kewujudan syarikat-syarikat yang mengeluarkan makanan dan barang-barang HALAL merupakan tuntutan Syarak. Tuntutan ini tergolong di dalam fardhu Kifayah. Begitu juga, memperniagakan barang-barang HALAL juga merupakan fardhu kifayah.

Dengan kesedaran mengeluar dan memperniagakan barang-barang HALAL, umat Islam akan berupaya mewujudkan pasaran bersekutu sesama mereka yang menawarkan produk makanan dan barangan yang benar-benar bersih dan suci mengikut nilaian Islam iaitu produk makanan dan barangan HALAL.

KONSEP ASAS HALAL DAN HARAM DI DALAM ISLAM

Rasulullah s.a.w. menjelaskan konsep asas HALAL dan haram di dalam Islam dengan sabda baginda;

إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُما مُشْتَبِهاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهاتِ اسْتَبرأ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ في الشُّبُهاتِ وَقَعَ في الحَرَامِ، كالرَّاعي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أنْ يَرْتَعَ فِيهِ، ألاَ وإنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمىً، ألاَ وَإنَّ حِمَى اللَّهِ تَعالى مَحَارِمُهُ، ألا وَإنَّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ ألاَ وَهِيَ القَلْبُ" (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya; “Sesungguhnya yang HALAL itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (yakni samar-samar antara HALAL dan haram), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (sama ada HALAL atau haram). Oleh itu, sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, maka dikhuatiri binatang-binatang ternakannya akan masuk (dan makan rumput) di dalam kawasan larangan itu. Ketahuilah! Sesungguhnya bagi setiap raja ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah segala yang diharamkan olehNya. Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada seketul daging. Jika baik baik seketul daging itu, baiklah seluruh jasad dan jika rosak, maka akan rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah! Seketul daging yang aku maksudkan itu ialah hati”.
(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abi Abdillah an-Nu’man bin Basyir r.a.)

Dari hadis di atas kita dapat mengambil beberapa ketetapan hukum;

1. Yang HALAL dan yang haram adalah jelas di dalam Islam

Penetapan HALAL dan haram di dalam Islam adalah terang dan jelas. Setiap butiran yang HALAL dan yang haram terkandung di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah. Oleh demikian, setiap umat Islam wajib merujuk kepada para ulamak yang mengetahui ilmu al-Quran dan as-Sunnah untuk mengetahui apa yang HALAL dan apa yang haram. Lebih utama untuk melakukan rujukan tersebut ialah para pengeluar dan para peniaga kerana kesilapan mereka akan turut membabitkan orang lain dalam menikmati makanan atau barangan yang haram atau tidak HALAL.

Panduan mengenali makanan dan barangan HALAL

Menurut ulamak, HALAL atau tidaknya suatu makanan dan barangan itu bergantung kepada dua faktor;

a) Zat makanan dan barangan itu sendiri; hendaklah tidak tergolong dalam perkara yang disenarai-haramkan oleh Syarak.

b) Cara pemerolehan makanan dan barangan tersebut. Sekalipun zat suatu barang itu HALAL, namun jika diperolehi dengan jalan riba, penipuan dan sebagainya, maka ia adalah haram di sisi Syarak.

Lebih terperinci, semua makanan dan barangan yang hendak diisytiharkan HALAL hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut;

1. Ia tidak mendatangkan mudarat kepada akal dan badan.

2. Ia bebas dari najis

3. Ia bukan produk yang diperolehi dari sumber babi atau anjing.

4. Bagi produk yang diperolehi dari sumber binatang-binatang lain yang HALAL dimakan (khususnya binatang darat) hendaklah dipastikan ianya disembelih mengikut hukum Syarak.

5. Ia diperolehi melalui sumber yang diharuskan.

Oleh demikian, dalam pengeluaran barang-barang HALAL, para pengeluar hendaklah memastikan bahan mentah dan ramuan yang digunakan hendaklah HALAL. Binatang yang HALAL untuk dimakan seperti lembu, kambing dan sebagainya mestilah disembelih mengikut hukum Islam, di mana penyembelihannya itu dilakukan oleh orang Islam dengan memetuhi syarat-syarat penyembelihan yang ditetapkan. Bahan ramuan HALAL tidak boleh bercampur atau menyentuh bahan-bahan haram seperti produk daripada sumber babi atau anjing sewaktu menyimpan, mengangkut, memasak dan menghidangkannya.

Pada tahun 2001 umat Islam di Malaysia dan Indonesia digemparkan dengan berita mengenai enzim babi digunakan dalam pengeluaran bahan penambah perisa MSG. Bahan yang menimbulkan kontroversi itu ialah Bactosoytone iaitu nutrien yang digunakan untuk membiakkan bakteria yang akan digunakan sebagai medium pembiakan ibu dalam proses penapaian. Bactosoytone dihasilkan apabila protein soya diuraikan oleh enzim yang diekstrakkan daripada pankreas babi. Oleh itu, penggunaan Bactosoytone dalam pengeluaran MSG adalah haram kerana ia dihasilkan daripada sumber yang haram.

2. Jauhi yang syubhat

Di persimpangan antara yang HALAL dan yang haram tersebut terdapat yang samar-samar yang belum dipasti statusnya; apakah ianya HALAL atau haram, iaitulah perkara-perkara syubhat. Perkara syubhat ialah perkara yang diragui HALAL-haramnya. Langkah terbaik menurut Rasulullah ialah dengan meninggalkannya. Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam hadis di atas; “…sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram…”.

Sebagai contoh; penggunaan gelatin. Gelatin dihasilkan daripada kulit dan urat binatang seperti babi dan lembu. Namun sekalipun gelatin diperolehi daripada lembu, ini tidak bermakna ianya HALAL kerana kita tidak tahu sama ada lembu tersebut telah disembelih mengikut hukum Islam atau tidak. Di banyak negara bukan Islam, hanya terdapat segelintir rumah sembelihan yang memenuhi keperluan orang Islam. Tambahan pula, kebanyakan makanan bergelatin tidak menyatakan sama ada gelatin yang digunakan itu diperolehi dari sumber babi atau lembu. Jadi, gelatin secara umumnya termasuk dalam perkara syubhat. Oleh demikian, penggunakan bahan bergelatin perlu dielakkan oleh umat Islam kecuali yang benar-benar jelas pengesahan HALALnya oleh pihak yang dapat dipercayai.

3. Kaitan penjagaan HALAL dan haram dengan hati

Dihujung hadis, Rasulullah menyebutkan tentang hati dan pengaruhnya terhadap perlakuan manusia sama ada baik atau buruk. Apa kaitan hati dengan konsep HALAL dan haram yang disebut di awal hadis? Persoalan ini dapat dijelas dengan dua tafsiran;

Pertama; Kesedaran untuk menjaga HALAL dan haram bergantung kepada hati. Hanya orang yang memiliki hati bertakwa dan takutkan Allah akan memerhati makanan atau barangan yang digunanya; apakah HALAL atau haram? Adapun orang yang fasik dan memiliki hati kotor, baginya tidak penting sama ada rezki yang dinikmatinya HALAL atau tidak. Yang penting adalah memenuhi selera dan nafsunya.

Kedua; Bersih dan sucinya hati berkait dengan makanan dan penggunaan barangan yang HALAL. Jika seseorang itu sentiasa melazimi yang HALAL, akan terjagalah hatinya. Akan tetapi jika ia mula terlibat dengan yang haram, akan kotor dan rusaklah hatinya.

GUNAKAN PRODUK YANG BERSIH DAN SUCI

Islam amat mementingkan kebersihan. Kebersihan yang dituntut oleh Islam merangkumi kebersihan lahiriyah dan juga kebersihan rohaniyah. Kebersihan lahiriyah ialah dengan memastikan pakaian dan tubuh-badan sentiasa dalam keadaan bersih terutamanya untuk beribadah. Oleh demikian, umat Islam perlu memastikan produk yang mereka gunakan pada badan mereka sama ada berupa pakaian, minyak wangi, syampu, ubat gigi, kosmetik dan sebagainya dibuat dari bahan-bahan yang bersih dan tidak najis. Kewujudan produk najis di badan menghalang sahnya ibadah di samping pemakainya tidak disukai oleh Allah dan para malaikat. Allah berfirman;

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang sentiasa mensucikan diri (dari kekotoran dan najis)”. (al-Baqarah: 222)

Allah menjelaskan di dalam ayat di atas bahawa ia menyukai orang yang suka bertaubat dan membersihkan diri. Maka mafhum mukhalafah (yakni pemahaman sebaliknya) dari ayat tersebut ialah; orang yang banyak melakukan dosa dan tidak menjaga dirinya dari najis dan kekotoran, ia akan dibenci oleh Allah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan; “Tidak diterima solat tanpa bersuci” (Hadis riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah). Telah disepakati (atau diijmakkan) oleh para ulamak bahawa bersuci yang menjadi syarat sahnya solat itu merangkumi bersuci dari najis di samping bersuci dari hadas. Oleh demikian, memakai atau membawa produk-produk yang diperbuat dari najis atau yang mempunyai unsur-unsur bahan najis dalamnya akan menyebabkan tidak sahnya solat.

Bersuci batiniyah pula ialah dengan mengelak dari terjerumus dalam dosa termasuk dalam hal makan-minum. Menikmati makanan yang haram atau tidak HALAL merosakkan batin seseorang kerana ia telah melakukan dosa kepada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan;

أَيـُّمَا عَبْدٍ نَبَتَ لَحْمُهُ مِنَ السُّحْتِ وَالرِّبَا فَالنَّارُ أَوْلَى بـِهِ
“Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya”.
(Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari ‘Atak dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

15 MUDARAT DOSA

Salah satu mudarat dosa ialah ia menghalang keluasan rezki sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;

إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بـِالذَّنْبِ يُصِيْبُهُ
“Sesungguhnya seseorang itu akan terhalang dari rezki kerana dosa yang dilakukannya”. (Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, al-Hakim dari Thauban r.a./ Al-Jami’ as-Saghir, Imam as-Suyuti, hadis no. 1975.)

Seorang ulama’ Islam terkenal iaitu al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziyah telah menyenaraikan lebih 15 kemudaratan yang bakal menimpa manusia kerana dosa, iaitu;

1. Kurang mendapat petunjuk dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan akal fikiran
3. Terhijab diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di mata manusia lain
6. Waktu dalam kehidupan menjadi sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah menjadi renggang
9. Doa tidak akan dimakbulkan Allah
10. Hati menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina dan diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa sempit dan resah
16. Diuji oleh Allah dengan teman dan kawan yang jahat
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Rujuk kitab ‘al-Fawaid’, oleh al-Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziyah, hlm. 67)

MELAZIMI YANG HALAL AKAN DIMUSTAJABKAN DOA

Seorang sahabat bernama Saad bin Abi Waqqas r.a. pernah memohon kepada Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar aku dimustajabkan doa”. Lalu Rasulullah berkata kepadanya;

يا سعد أطب مطعمك تكن مستجاب الدعوة، والذي نفس محمد بيده إن الرجل ليقذف اللقمة الحرام في جوفه ما يتقبل منه أربعين يوماً، وأيّما عبد نبت لحمه من السحت والربا فالنار أولى به (رواه الحافظ ابن مردويه عن عطاء عن ابن عباس).
“Wahai Saad! Perelokkanlah makanan kamu, nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seorang itu apabila telah menyuapkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya (oleh Allah) selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya”.
(Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari ‘Atak dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. pernah bercerita tentang seorang lelaki yang kesusahan kerana jauh mengembara, rambutnya kusut-masai dan tubuh-badannya berdebu. Ia memhon kepada Allah dengan menyeru; ‘Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!’ sedang makanan (yang dimakan)nya adalah haram, minuman (yang diminum)nya juga haram serta pakaian (yang dipakai)nya juga haram, malah ia diberi makan dengan yang haram, maka bagaimana hendak diperkenankan (oleh Allah) doanya?”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

SIKAP UMAT AKHIR ZAMAN; TIDAK MENGHIRAUKAN HALAL DAN HARAM

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. telah meramalkan keadaan umat akhir zaman yang tidak mengambil berat soal halal dan haram, dosa dan pahala. Baginda bersabda;

ليأتين على الناس زمان لا يبالي المرء بما أخذ المال أمن حلال أم من حرام
“Akan tiba satu zaman di mana seseorang itu tidak menghiraukan dari mana datang hartanya; apakah dari yang HALAL atau dari yang haram”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan an-Nasai dari Abu Hurairah r.a.)

DOA RASULULLAH DI WAKTU PAGI

Menurut Ummu Salamah r.a. (salah seorang isteri Nabi s.a.w.); Nabi s.a.w. apabila berada di waktu pagi, baginda akan membaca doa;

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ عِلْماً نافعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
“Ya Allah, wahai Tuhanku! Aku memohon dari Engkau ilmu yang bermanfaat, rezki yang baik dan amal yang diterima”. (Riwayat Imam Ibnu Majah/Lihat: Al-Azkar, Imam an-Nawawi, bab Ma Yuqalu ‘Inda as-Shobah)

Waktu pagi adalah permulaan hidup kita. Pada waktu pagi manusia biasa merancang apa yang hendak dilakukanya pada hari yang bakal ia lalui. Dalam doa di atas, Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya memfokuskan tiga perkara untuk kita capai dalam perjalanan hidup kita seharian, salah satu darinya ialah rezki yang baik iaitu rezki yang bersih dan HALAL serta diberkati Allah.

Doa di atas bukan sahaja perlu dijadikan amalan harian, malah perlu menjadi motivasi kepada para pengeluar, pengusaha dan peniaga muslim untuk lebih menggiatkan usaha mengeluar dan memperniagakan produk-produk HALAL khususnya yang berkait dengan makanan dan barang-barang kegunaan harian kerana usaha tersebut membuka medan seluas-luasnya kepada kaum muslimin untuk dapat menikmati rezki yang baik (yang bersih, HALAL dan diredhai Allah) sehingga tidak ada alasan lagi untuk mereka terlibat dengan yang haram.

***والله أعلم بالصواب وهو يهدي السبيل***

Monday, June 22, 2009

HATI…Mengenali hati, cara menjaga dan merawatnya

Kenapa hati?

Hati adalah juzuk terpenting dalam diri manusia. Ia ibarat raja atau penguasa dalam diri. Hatilah yang menentukan arah-tuju hidup, adapun anggota-anggota yang lain hanya mengikut sahaja. Hakikat ini telah diperingatkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

ألا وَإنَّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ ألاَ وَهِيَ القَلْبُ
“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Dari hadis ini kita dapat faham bahawa perjalanan diri manusia bergantung kepada hatinya. Jika hatinya bersih, elok dan soleh, maka segala tindakan dan perlakuan yang lahir dari anggota-anggota jasadnya akan turut bersih, elok dan soleh; tangan akan hanya mengambil yang bersih dan elok, mata akan melihat kepada yang elok-elok, telinga juga akan mendengar hanya bunyi yang elok, kaki akan pergi ke tempat-tempat yang elok dan begitu lah seterusnya. Namun jika hati kotor, jahat dan fasiq, maka anggota-angota badan juga akan turut menjadi sepertinya.

Kerana itu, amat penting kita mempelajari tentang hati, memberi perhatian kepadanya dan memantau keadaan hati kita dari masa ke semasa. Perubahan dalam hidup kita bermula dari hati. Hati yang perlu diislahkan terlebih dahulu sebelum kita mengislahkan jasad kerana jasad hanya akan mengekori hati kita. Perubahan yang bermula dari zahir tanpa bermula dari batin (yakni hati), perubahan itu tidak akan kekal lama. Namun jika bermula dari hati, Insya Allah ia akan ia akan kekal buat selamanya selagi hati tidak berubah.

Jenis-jenis hati manusia

Hati yang kita maksudkan bukanlah hati zahir yang dapat dilihat oleh mata kasar apabila kita membedah dada manusia. Hati yang kita maksudkan ialah hati batin yang kewujudannya dapat dirasai oleh perasaan dalaman kita, iaitu hati yang darinya lahir iman atau kufur, ikhlas atau riyak, redha atau kecewa, tenang atau resah dan sebagainya lagi dari perasaan-perasaan dalaman.

Para ulamak Islam –hasil renungan mereka terhadap al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.-, mereka membahagikan hati manusia kepada tiga jenis;

Pertama; Hati yang bersih dan selamat (qalbun salim); iaitu hati orang mukmin yang taat kepada Allah dan RasulNya, benar-benar mengasihi keduaNya, mengutamakan Allah dan Rasul dari segala yang lain dan cita-citanya tidak lain hanya untuk mencapai keredhaan Allah. Hati jenis ini bersih sepenuhnya dari kufur dan syirik dan segala jenis penyakit hati sama ada penyakit syak (ragu-ragu), riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), hubbun-nafs (cintakan diri), hasad dan sebagainya. Hati inilah yang dikehendaki oleh Allah di mana di akhirat Dia tidak akan menerima melainkan hambanya yang mengadapNya dengan membawa hati jenis ini. Firman Allah;

“(Hari kebangkitan itu) ialah hari yang tidak akan memberi manfaat harta benda dan anak pinak, melainkan orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang salim (bersih dan selamat)”. (asy-Syu’arak: 88)

Berkata Imam Hasan al-Basri; “Ubatilah hati kamu kerana Allah hanya mengingini dari hamba-hambaNya hati yang baik dan soleh”. (al-Wafi, Dr. Wahbah az-Zuhaili, hlm. 40).

Kedua; Hati yang mati; iaitulah hati orang kafir dan munafik. Hati ini tidak mengenal Allah, tidak beriman kepadaNya dan tidak menyembahNya. Hati inilah yang paling keji di sisi Allah. Firman Allah;

“Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk pada pandangan Allah ialah orang-orang kafir, kerana mereka tidak beriman”. (al-Anfal: 55)

Ketiga; Hati yang sakit; iaitu hati orang beriman yang fasiq. Hati ini bebas dari kufur, tetapi masih terbelenggu dengan penyakit-penyakit hati (atau sebahagiannya) seperti riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), lupakan akhirat, sombong, takabbur dan sebagainya. Hati ini adalah hati yang dimiliki oleh kebanyakan orang beriman hari ini. Di dalam hati mereka ada perasaan cinta kepada Allah dan RasulNya, namun pada masa yang sama perasaan cintakan dunia dan hawa nafsu pun ada juga, menyebabkan hati mereka terumbang-ambing. Adakalanya, perasaan cintakan Allah dan RasulNya lebih kuat, maka ketika itu mereka mengutamakan akhirat ke atas dunia. Namun ada ketikanya, perasaan cintakan dunia dan hawa nafsu lebih kuat, maka ketika itu mereka mengutamakan dunia dan hawa nafsu. Hati jenis ini walaupun lebih baik jika dibandingkan dengan hati orang kafir (yakni hati yang yang mati tadi), namun ia tidak selamat kerana ia masih terbelenggu dengan penyakit-penyakit hati.

Dari ketiga-tiga jenis hati di atas, sudah tentu hati yang ingin kita miliki ialah hati yang pertama kerana hati itulah yang dikehendaki Allah dari kita.

Jenis penyakit hati

Penyakit hati ada dua jenis, iaitu;

1. Penyakit syubhah (syak dan ragu); terkandung di dalamnya penyakit kejahilan, ragu-ragu antara hak dan batil, antara hidayah dan kesesatan, antara jalan yang lurus dan jalan yang bengkok. Antara ayat Allah yang menyentuh tentang penyakit syubhah dalam hati manusia ialah firmanNya tentang orang munafik;

“Dalam hati mereka (orang-orang munafik) terdapat penyakit (syak dan ragu), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka”. (al-Baqarah: 10)

2. Penyakit syahwat; iaitu penyakit-penyakit yang lahir dalam hati kerana kecintaan kepada diri sendiri, dunia, harta dan wanita seperti penyakit riyak, ‘ujub, sombong, takabbur, gilakan pangkat dan kemasyhuran, bakhil, lupakan akhirat, hasad dan sebagainya. Antara ayat Allah yang menjelaskan tentang penyakit syahwat di dalam hati ialah;

“Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)”. (al-Ahzab: 32)

Penyakit hati di dalam ayat di atas menurut ulamak ialah penyakit syahwat khususnya nafsu kepada wanita.

Ubat bagi penyakit syubhah ialah ilmu. Sementara bagi penyakit syahwah pula ubatnya ialah taat. Apabila seseorang berilmu, akan hilang lah dari hatinya keraguan dan kejahilan terhadap Allah dan ajaranNya. Dan apabila dalam hidupnya ia mengutamakan ketaatan kepada Allah, akan hilang lah pula penyakit syahwat dari hatinya.

Al-Quran adalah penawar bagi penyakit hati

Kedua-dua penyakit di atas, penawar dan penyembuhnya ialah al-Quran. Al-Quran menjelaskan kepada manusia mana yang hak dan mana yang batil, mana jalan hidayah dan mana jalan kesesatan, maka dengan itu akan hilanglah penyakit syubhah (syak dan ragu) dari hati manusia. Begitu juga, al-Quran mendidik manusia agar mencintai Allah dan RasulNya, mengutamakan Allah dan Rasul dari keinginan duniawi dan mengutamakan akhirat yang kekal abadi dan dunia yang fana ini, di mana dengan itu akan hilang lah penyakit syahwat dari bersarang di dalam hati manusia.

Peranan al-Quran dalam merawat dan menyembuhkan penyakit-penyakit hati dinyatakan sendiri oleh Allah dengan firmanNya;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. (Yunus: 57)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “al-Quran adalah penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada manusia yang terdiri dari penyakit kejahilan dan juga penyakit kesesatan. Penyakit kejahilan ubatnya ialah ilmu dan hidayah. Sementara penyakit kesesatan pula, ubatnya ialah tuntunan Ilahi (ar-Rusyd). Kedua-dua penyakit ini telah dibersihkan Allah dari hati Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana firmanNya;

“Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar) dan ia juga tidak sesat”. (an-Najm: 1-2)
(Ighasah al-Lahfan, halaman 28).

Tanda-tanda hati yang berpenyakit dan hati yang salim

Setelah mengetahui jenis-jenis penyakit hati, perlu pula kita mengetahui tanda-tanda hati yang berpenyakit dan tanda-tanda hati yang sihat (bersih dan selamat). Tujuannya ialah supaya kita dapat memastikan; di mana kedudukan hati kita? Jika hati kita tergolong dalam kelompok hati yang sakit, maka hendaklah bersegera kita mengubatinya sebelum kita mati dan mengadap Allah dengan hati yang sakit itu yang tentunya kita tidak akan diizinkan untuk memasuki syurgaNya. Jika kita mendapati hati kita salim (bersih dan selamat) –alhamdulillah-, maka hendaklah kita menjaganya agar terus selamat hinggalah kita mati. Namun jika kita dapat hati kita mati –wal’iyazu billah-, maka hendaklah kita meyakini bahawa Allah berkuasa menghidupkan makhluknya yang mati;

“Ketahuilah bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya”. (al-Hadid: 17)

Tanda-tanda hati yang sakit

1. Hati yang sakit tidak membisikkan kepada tuannya untuk mencapai tujuan hidup iaitu untuk mengenali Allah, mencintaiNya, merindui untuk bertemu denganNya, kembali kepadaNya dan mengutamakanNya dari segala bentuk syahwat (yakni keinginan diri kepada dunia, keseronokan, harta dan wanita). Oleh itu, seorang hamba yang memiliki hati yang sakit, ia lebih mengutamakan kepentingan diri dan syahwatnya dari mentaati Allah dan menyintaiNya. Hidupnya adalah dengan bertuhankan hawa nafsunya sendiri sebagaimana firman Allah;

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Dapatkah engkau menjadi pelindungnya (dari kesesatan)?”. (al-Furqan; 43)

2. Orang yang mempunyai hati yang sakit, antara tandanya ialah ia tidak kisah dengan dosa dan maksiat. Apabila ia melakukan maksiat, ia tidak rasa berdosa, resah atau gelisah kerana melanggar perintah Allah. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih, hatinya akan berasa sakit dan pedih apabila tersilap atau tersengaja melakukan dosa, lalu ia segera kembali kepada Allah dan bertaubat kepadaNya. Firman Allah tentang sifat-sifat orang bertakwa;

“(Dan antara tanda orang bertakwa ialah) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali Imran: 135)

3. Orang yang mempunyai hati yang sakit, ia tidak kisah dengan kejahilan dirinya. Ia tidak berasa resah dan gelisah sekalipun menyedari diri jahil tentang kebenaran. Akibatnya, ia tidak berusaha mencari ilmu. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih. Ia tidak senang duduk apabila menyedari diri masih jahil. Ia akan berusaha menuntut ilmu bagi membuang kejahilannya. Berkata ulamak; “Tidak ada maksiat yang dilakukan oleh hamba yang lebih keji dari membiarkan diri dalam kejahilan”. Pernah ditanya kepada Imam Suhail; “Apakah perkara yang lebih buruk dari kejahilan?”. Ia menjawab; “Jahil tentang kejahilan diri sendiri”.

4. Antara tanda orang yang hatinya sakit ialah ia berpaling dari makanan-makanan yang memanfaatkan hatinya, sebaliknya ia cenderung kepada racun-racun yang merosakkan hatinya. Makanan-makanan hati ialah ilmu dan ibadah termasuklah solat, zikrullah, bacaan al-Quran dan sebagainya. Adapun racun bagi hati ialah dosa dan maksiat. Orang yang memiliki hati yang sakit, ia lebih suka mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan dari mendengar ayat-ayat al-Quran, majlis ilmu dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Baginya kelazatan melakukan maksiat lebih hebat dari kelazatan taqarrub kepada Allah. Padahal Nabi s.a.w. bersabda; “Akan merasai kelazatan iman sesiapa yang redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabinya”. (Riwayat Imam Muslim)

5. Orang yang hatinya sakit, ia menjadikan dunia sebagai watannya; ia redha dengan dunia dan berasa tenang dengan kehidupan di dunia, lalu ia tidak mengharapkan akhirat dan tidak melakukan persediaan untuk akhirat. Ia tidak mengambil sikap seperti yang dipesan oleh Nabi s.a.w.; “Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah kamu orang asing atau seorang pengembara”. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Tanda-tanda hati yang sihat

1. Hati yang sihat, tandanya yang pertama ialah cintakan Allah dan tanda kecintaannya kepada Allah ialah; tuannya banyak berzikir kepada Allah. Hati ibarat periuk dan lidah adalah senduknya. Senduk mengeluarkan apa yang di dalam periuk. Lidah pula mengeluarkan apa yang ada di dalam hati. Jika di dalam hati penuh dengan perasaan cintakan kepada Allah, maka akan lahirlah di lidah zikrullah. Namun jika di dalam hati penuh dengan kufur, fasiq dan maksiat, maka akan lahirlah di lidah umpatan, adu-domba, ucapan kotor dan mencarut.

2. Hati yang sihat sentiasa menyedarkan tuannya supaya kembali kepada Allah; bergantung harap pada Allah umpama seorang pencinta yang terdesak bergantung harap kepada orang yang dicintainya. Ia merasakan tidak ada kehidupan, tidak ada kejayaan, tidak ada kenikmatan dan tidak ada keseronokan kecuali dengan redha Allah dan hampirnya ia dengan Allah. Dengan Allah ia merasai tenang dan tenteram, kepada Allah ia berlindung dan bertawakkal, kepada Allah jua ia yakin dan percaya, menaruh harapan dan menyimpan rasa takut.

3. Di antara tanda hati yang sihat ialah jasad suka berbakti dan berkhidmat kepada Allah tanpa ada rasa jemu di hati. Rasulullah s.a.w. menunaikan solat hingga bengkak-bengkak kakinya. Apabila dipersoalkan kenapa beliau bersusah diri untuk beribadah hingga sedemikian rupa, beliau menjawab; “Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur” (Riwayat Imam al-Bukhari). Yahya bin Mu’az pernah berkata; “Sesiapa merasa seronok berkhidmat kepada Allah, nescaya segala benda seronok berkhidmat kepadanya. Sesiapa yang senang matanya melihat perkara yang diredhai Allah, nescaya semua orang senang melihat kepadanya”.

4. Antara tanda hati yang sihat ialah seseorang itu amat menjaga waktu dan hartanya dari dibazirkan kepada perkara-perkara di luar dari ketataan kepada Allah. Ia menyedari bahawa waktu dan harta adalah modal yang dikurniakan Allah untuknya bagi dilaburkan untuk mendapat keuntungan di akhirat. Kerana itu, setiap saat dari waktunya dan setiap sen dari hartanya akan digunakan untuk mentaati Allah bagi mendapatkan pahala dan keredhaan dariNya.

5. Antara tanda sihat dan bersihnya hati seseorang ialah perhatiannya terhadap kesahihan dan penerimanaan Allah terhadap amalannya lebih diutamakan dari amalan itu sendiri. Yang di ambil kira bukan banyaknya amalan, tetapi keelokan amalan dan penjagaannya dari perkara-perkara yang merosakkannya. Kerana itu, orang yang bersih hatinya sentiasa menjaga keikhlasan dan ikutan kepada as-Sunnah dalam setiap amalannya kerana ia mengetahui bahawa tanpa keikhlasan dan tanpa mengikuti petunjuk Nabi s.a.w., amalan yang dilakukannya tidak akan diterima Allah.

6. Di antara tanda sihatnya hati seseorang ialah apabila ia tertinggal wiridnya atau sesuatu dari amalan taat, ia rasa kecewa dan rugi lebih dari perasaan rugi yang dirasai oleh orang yang kehilangan harta dan keluarga. Ia menyedari bahawa tertinggal wirid dan amalan ketaatan itu merupakan kerugian di akhirat. Tidak ada apa-apa pada kerugian duniawi jika dibandingkan dengan kerugiaan di akhirat. Harta benda dunia akan musnah, adapun kenikmatan di sisi Allah di akhirat tidak akan musnah selamanya.

“Apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”. (an-Nahl: 96)

7. Seorang hamba yang hatinya sihat dan bersih, keinginannya hanya satu iaitu untuk mentaati Allah. Perasaan dalaman yang menggerakkannya ialah cintanya kepada Allah dan harapannya untuk merasai kelazatan melihat wajah Allah.

“Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun yang patut di balas, hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya yang maha tinggi”. (al-Lail: 17-20)

8. Seorang yang hatinya sihat dan bersih, kalam Allah adalah ucapan yang paling disukainya. Berkata Ibnu Mas’ud r.a.; “Sesiapa ingin mengetahui apakah ia kasih kepada Allah atau tidak, hadapkan dirinya kepada al-Quran. Jika ia kasih kepada al-Quran, itu maknanya ia kasih kepada Allah kerana al-Quran adalah Kalam Allah”. Diceritakan bahawa beliau (yakni Ibnu Mas’ud) mencium mushaf al-Quran dan berkata; “Kalam Tuhanku! Kalam TuhanKu”.

9. Antara tanda hati yang salim ialah mengutamakan akhirat dari dunia. Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; “Selagi hati selamat dari penyakitnya, ia akan berjalan menuju akhirat dan menghampirinya hingga menjadilah ia ahlul-akhirah (golongan yang beramal untuk akhirat). Namun apabila hati sakit, ia akan melebihkan dunia dan menjadikan dunia watannya hingga menjadilah ia alul-dunya (golongan yang beramal semata-mata untuk kepentingan duniawi”. (Ighasah al-Lahfan, halaman 94-95).

Punca hati menjadi sakit?

Hati manusia menjadi sakit berpunca dari dosa. Dosa menjauhkan hati dari Allah. Apabila hati jauh dari Allah, mudahlah ia ditimpa dengan bermacam-macam penyakit. Sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika ia melakukan suatu dosa, akan muncul lah satu titik hitam di dalam hatinya. Jika ia meninggalkan dosa itu, kemudian ia beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya meliputi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran yang disebut Allah dalam firmanNya;

“Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan”. (al-Mutoffifin; 14)
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)

Imam Abdullah bin al-Mubarak bermadah;

رَأيْتُ الذُنُوبَ تُمِيتُ الْقُلُوْبَ
وَقَدْ يُوْرِثُ الذُّلَّ إِدْمَانُهَا
وَتَرْكُ الذُّنُوْبِ حَيَاةُ الْقُلُوْبِ
وَخَيْرٌ لِنَفْسِكَ عِصْيَانُهَا
Aku lihat dosa-dosa itu mematikan hati,
Berterusan melakukannya mengakibatkan kehinaan,
Meninggalkan dosa pula menghidupkan hati,
Mengingkarinya membawa kebaikan kepada diri.

Empat punca dosa

Dosa-dosa dan maksiat ke semuanya adalah racun bagi hati. Kesan racun itu adakalanya menyebabkan hati sakit dan adakalanya sampai mematikannya. Punca dosa pula paling utama ada empat perkara;

1. Terlebih bercakap

Terlebih bercakap bermakna terlalu banyak bercakap (yang lain dari Zikrullah) sehingga terbit dari lidah ucapan-ucapan yang dimurkai Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berkata; “Tidak akan lurus iman seseorang sehingga hatinya lurus dan tidak akan lurus hatinya sehingga lidahnya lurus” (Riwayat Imam Ahmad dari Anas r.a.). Saidina ‘Umar r.a. berpesan; “Sesiapa banyak cakapnya akan banyaklah tergelincirnya, sesiapa yang banyak tergelincirnya akan banyaklah dosa-dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya maka api neraka paling utama baginya”.

“Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah ia bercakap yang baik-baik atau hendaklah ia senyap sahaja”. (Hadis Nabi s.a.w., riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

“Semua ucapan anak Adam akan menjadi bebanan ke atasnya bukan menjadi keuntungan baginya kecuali;
a. Menyeru kepada makruf
b. Mencegah dari munkar
c. Berzikir kepada Allah.
(Hadis Nabi s.a.w., riwayat Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Ummu Habibah r.a.)

2. Terlebih melihat

Terlebih melihat juga akan merosakkan hati. Maksud terlebih melihat ialah kita tidak menjaga pandangan kita dari melihat perkara-perkara haram yang boleh membangkitkan nafsu seperti memerhati wanita dengan tujuan berseronok, melihat aurat orang yang bukan mahram kita atau kita memerhati dan mengintai kekurangan orang lain untuk mendedahkan keaibannya. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang beriman agar menjaga pandangan mereka; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)….”. (an-Nur; 30) “…dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”. (an-Nur: 31)

Kesan pandangan kepada hati dijelaskan oleh Nabi dalam sabdanya;

اَلنَّظْرَةُ سَهْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيْس، مَنْ تَرَكَهَا مِنْ مَخَافَةِ اللهِ أَعْطَاهُ اللهُ إِيْمَانًا يَجِدُ حَلاَوَتَهُ فِي قَلْبِهِ.
“Pandangan adalah satu panahan dari panahan-panahan beracun Iblis. Sesiapa meninggalkan pandangannya (dari melihat kepada yang haram) kerana takutkan Allah, nescaya Allah akan kurniakan kepadanya iman yang ia rasainya kemanisannya di dalam hatinya”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Huzaifah r.a.)

Imam Ahmad meriwayat dari Abu Umamah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda;

مَاْ مِنْ مُسْلِمٍ يَنْظُرُ إِلَى مَحَاسِنِ امْرَأَةٍ ثُمَّ يَغُضُّ بَصَرَهُ إَلاَّ أَخْلَفَ اللّهُ لَهُ عِبَادَةَ يَجِدُ حَلاَوَتَهَا
“Tidak ada seorang muslim yang melihat kepada keelokan-keelokan seorang wanita, lalu ia menahan pandangannya (yakni ia berpaling dari melihatnya) kerana takutkan Allah, melainkan Allah akan menggantikan untuknya ibadah yang ia rasai kemanisannya”. (Lihat hadis ini dalam Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nur, ayat 30).

3. Terlebih makan

Makanan yang kita makan akan memberi kesan kepada hati kita. Elakkan dari makanan-makanan yang haram atau yang diperolehi dari jalan-jalan yang haram kerana ia boleh mematikan hati atau sekurang-kurangnya merosakkannya. Nabi Muhammad s.a.w. pernah meninggalkan pesan kepada sahabatnya bernama Sa’ad r.a.; “Wahai Saad! Perelokkanlah makanan kamu, nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seorang itu apabila telah menyuapkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya (oleh Allah) selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya”. (Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari ‘Atak dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Selain itu, makanlah dengan kadar yang sederhana. Janganlah berlebih-lebihan kerana Allah memerintahkan;

“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan (membazir)”. (al-A’raf: 31)

Mengikut sunnah Nabi s.a.w., kadar paling banyak kita makan ialah sekadar memenuhi 1/3 sahaja dari perut kita. Sabda Nabi s.a.w.; “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah seseorang anak Adam itu makan dengan kadar beberapa suapan sahaja untuk menegakkan tulang sulbinya. Jika tidak mampu, jadikanlah 1/3 dari bahagian perutnya untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk pernafasan”. (Riwayat Imam an-Nasai, Ibnu Majah dan at-Tirmizi dari al-Miqdam bin Ma’diyakrib r.a.)

Ibrahim bin Adham pernah berkata; “Sesiapa dapat menjaga perutnya, nescaya ia akan dapat menjaga agamanya. Sesiapa mampu berlapar, nescaya ia memiliki akhlak-akhlak yang soleh. Sesungguhnya maksiat jauh dari orang yang lapar dan hampir dengan orang yang kenyang”. Seorang ahli soleh pernah berkata; “Janganlah kamu makan banyak kerana nanti kamu akan minum banyak, lalu tidur kamu pun banyak dan akhirnya kerugian kamu pun banyak juga”.

4. Terlebih berkawan

Kawan juga mempunyai pengaruh terhadap hati kita. Jika kita berkawan dengan orang yang bersih hatinya, hati kita juga Insya-Allah akan turut bersih. Jika kita berkawan dengan orang-orang yang hatinya kotor, akhirnya hati kita juga akan turut menjadi kotor. Kerana itu Nabi s.a.w. berpesan; “Seseorang itu berada di atas agama temannya. Maka hendaklah setiap orang dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).

Para ulamak membahagikan jenis kawan kepada tiga;

a) Kawan yang diibaratkan seperti makanan; iaitu perlu selalu bergaul dan bersamanya sama seperti kita perlu mengambil makanan setiap hari untuk tubuh kita. Kawan seumpama ini ialah dari kalangan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh. Semakin banyak kita berkawan dengan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh, maka baik untuk hati kita.

b) Kawan yang diibaratkan seperti ubat; iaitu kita bergaul dengannya ketika perlu sahaja sama seperti kita mengambil ubat ketika kita sakit sahaja. Kawan jenis ini ialah dari kalangan orang-orang yang kita memerlukan mereka untuk urusan duniawi sahaja iaitu urusan kehidupan seperti jual-beli, perniagaan dan sebagainya. Kita tidak perlu terlalu rapat dan terlalu kerap bergaul dengan mereka kerana ia tidak memberi manfaat kepada kebaikan agama dan hati kita. Cukup kita bergaul dengan mereka dengan kadar yang dapat menyempurnakan urusan kita sahaja. Kecualilah jika mereka tergolong dalam kelompok orang berilmu dan soleh seperti di atas, maka haruslah kita bergaul rapat dengan mereka kerana di samping memenuhi tuntutan duniawi, dapat juga kita mengambil manfaat dari keilmuan dan kesolehan mereka.

c) Kawan yang diibaratkan seperti penyakit; iaitu kita perlu menjauhi mereka sejauh-jauhnya sama seperti kita menjauhi penyakit kerana takut menjangkiti kita. Kawan jenis ini dari kalangan orang-orang fasik, kaki maksiat dan ahli Bid’ah. Orang-orang dari jenis ini sekali-kali jangan kita berkawan dengan mereka kerana nanti sikap dan perilaku mereka akan merosakkan hati kita.

Bagaimana menghidupkan hati?

Hati menjadi hidup dengan iman. Iman bermaksud meyakini sepenuhnya dengan hati akan segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dari wahyu Allah yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Asas-asas iman iman keyakinan kepada rukun-rukun iman yang enam. Penyempurnaan bagi iman ialah dengan menyahut seruan Allah dan RasulNya iaitu dengan mentaati segala perintah keduanya. Apabila seseorang itu yakin kepada Allah dan RasulNya dan diikuti pula dengan ia menyahut seruan keduanya iaitu mentaati mereka, maka ketika itu barulah hatinya akan hidup sebagaimana yang dapat kita fahami dari seruan Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menghidupkan kamu. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”. (al-Anfal; 24)

Kalimah yang mengungkapkan iman ialah “Lailaha Illallah”. Kalimah ini digelar juga dengan kalimah Syahadah, kalimah at-Taqwa dan kalimah al-Ikhlas. Kalimah ini akan menghidupkan hati apabila diucapkan dengan ikhlas dan benar. Dengan mengulang-ulangkan kalimah ini, iman di dalam hati kita akan sentiasa baru dan segar. Di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. berpesan kepada sahabat-sahabatnya; “Hendaklah kamu sekelian memperbaharui iman-iman kamu”. Mereka bertanya beliau; “Ya Rasulullah! Bagaimana caranya kami hendak memperbaharui iman kami?”. Baginda menjawab; “Banyaklah menyebut Lailaha Illallah” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.).

Antara Tahlil yang banyak fadhilatnya

Tahlil bermaksud kita berzikir dengan menyebutkan Lailaha Illallah. Selain dari lafaz yang pendek itu, ada lagi lafaz tahlil yang panjang yang banyak kelebihannya, iaitu;

لا إلهَ إلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلى كُلّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Tiada sekutu bagiNya. Miliknya kerajaan dan milikNya jua segala pujian. Dial ah yang maha berkuasa ke atas segala perkara”.

Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berzikir dengan kalimat-kalimat di atas pada setiap hari sebanyak 100 kali maka ia menyamai dengan membebaskan sepuluh orang hamba, akan ditulis untuknya 100 kebaikan, akan dihapuskan darinya 100 dosa/kejahatan dan kalimat-kalimat itu akan menjadi benteng untuknya dari godaan syaitan pada hari tersebut hingga ke petangnya. Tidak ada seorang pun melakukan amalan lebih baik darinya kecuali orang yang berzikir dengan kalimat-kalimat itu lebih banyak darinya”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Bagaimana membersihkan hati?

Faktor hati kita menjadi kotor dan berpenyakit ialah kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan kepada Allah. Untuk membersihkan kembali hati kita yang kotor itu, tidak ada jalan lain melainkan dengan bertaubat kepada Allah.

“Wahai orang-orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. (at-Tahrim: 8)

Taubat bermaksud kita kembali ke pangkuan Allah dengan menyesali ketelanjuran kita dan memohon dari Allah agar Ia mengampunkan kita serta menerima semula kita sebagai hambaNya. Taubat tidak sempurna kecuali dengan menyempurnakan syarat-syaratnya, iaitu;
a) Meninggalkan maksiat dan dosa yang dilakukan
b) Menyesali ketelanjuran melakukan dosa dan maksiat tersebut
c) Berazam dengan sepenuh hati tidak akan kembali semula kepada maksiat dan dosa tersebut.
d) Jika dosa dan maksiat itu ada hubungan dengan manusia, hendaklah disusuli dengan memohon maaf dan memulangkan barang yang diambil atau minta halal dari tuannya.

Setelah bertaubat, kita hendaklah banyak beristighfar kepada Allah. Marilah kita mencontohi Nabi kita Muhammad s.a.w. di mana walaupun baginda bersih dari dosa, namun baginda lah yang paling banyak beristighfar kepada Allah. Baginda pernah berkata; “Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadaNya pada setiap hari lebih dari 70 kali” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.). Di dalam riwayat yang lain, baginda berkata; “Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah pada setiap hari lebih dari 100 kali” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Berkata Imam Hasan al-Basri; “Banyaklah beristighfar sama ada di rumah kamu, ketika kamu mengadap hidangan, ketika di jalan, ketika di pasar, ketika kamu berada di dalam majlis atau di mana saja kamu berada kerana kamu tahu bila akan turunnya keampunan Allah”.

Istighfar Nabi s.a.w.

Antara ucapan Istighfar yang pernah dibaca oleh Nabi s.a.w. ialah;

ربّ اغْفِرْ لي وَتُبْ عَلَيَّ إنَّكَ أنْتَ التَّوَّابُ الرَّحيمُ
“Tuhanku! Kurniakan lah keampunan untukku dan berilah taufik kepadaku untuk bertaubat. Sesungguhnya Engkau lah Tuhan pengampun dan penyayang”.

Menurut Ibnu ‘Umar r.a.; “Nabi s.a.w. pernah membaca istighfar di atas sebanyak 100 kali di dalam satu majlis”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)

Istighfar Nabi Adam a.s.

Di antara ucapan istighfar yang amat baik untuk kita amalkan ialah istighfar Adam dan Hawa, iaitu;

“Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampunkan kami dan mengasihi kami, pasti lah kami tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah al-A’raf, ayat 23).

Ucapan istighfar di atas adalah kalimah-kalimah untuk memohon ampun yang dipelajari Nabi Adam dari Allah setelah Ia dan isterinya Hawa melakukan kesalahan memakan buah dari pohon larangan. Apabila mereka berdua mengucapkan kalimah di atas, Allah lalu mengampunkan doa keduanya. Ini sebagaimana diceritakan Allah dalam firmanNya (yang bermaksud); “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (yakni kalimah taubat), lalu Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah, Dia lah yang maha pengampun (penerima taubat), lagi maha mengasihani” (al-Baqarah, ayat 37).

Moga-moga dengan mengucapkan istighfar di atas, dosa-dosa kita juga akan diampunkan Allah sebagaimana Dia mengampunkan dosa bapa kita Adam a.s..

Penghulu Istighfar

Lafaz istighfar yang paling baik ialah;

اللَّهُمَّ أنْتَ رَبّي لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وأنا عَبْدُكَ، وأنا على عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ مَا صَنَعْتُ، أبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عليَّ وأبُوءُ بِذَنْبي، فاغْفِرْ لي فإنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أنْتَ
“Ya Allah! Engkau lah Tuhanku. Tiada Tuhan kecuali Engkau. Engkau telah menjadikanku dan aku adalah hambaMu. Aku akan mengotakan taat-setia dan janjiku padaMu selama aku mampu. Aku berlindung denganMu dari akibat buruk dari perbuatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat yang Engkau curahkan kepadaku dan aku mengakui juga dosa-dosa yang aku lakukan. Oleh itu, kurniakan lah keampunan untukku. Sesungguhnya tidak ada yang boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau sahaja”.

Sabda Nabi s.a.w.; “Penghulu istighfar ialah; ….(kalimah di atas)…. Sesiapa membacanya di siang hari dengan penuh yakin, lalu ia mati pada hari itu sebelum tiba petangnya, maka ia tergolong dari ahli syurga. Sesiapa membacanya di malam hari dengan yakin, lalu ia mati di malamnya sebelum tiba paginya, maka ia tergolong dari ahli syurga”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Syaddad bin Aus r.a.)

Bagaimana menjaga hati?

Hati hendaklah sentiasa dijaga agar jangan mati atau ditimpa penyakit yang merosakkannya. Bagaimana caranya untuk kita menjaga hati? Menjaga hati tidak ada jalan lain melainkan dengan mendampingi Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. pernah berpesan; “Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Maksud menjaga Allah ialah menjaga hubungan dengan Allah. Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan menjaga dan memelihara kita termasuk lah menjaga dan memelihara hati kita.

Bagaimana caranya untuk kita mendampingi Allah? Jawapannya ialah dengan kita melazimi dua perkara;

a) Zikrullah; iaitu sentiasa mengingati Allah

b) Menjauhi segala yang mendatangkan kemurkaan Allah iaitu dosa dan maksiat.

Apa maksud Zikrullah?

Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Termasuk di dalam Zikrullah;
1. Menuntut ilmu; untuk mendalami al-Quran dan as-Sunnah, mengetahui perintah Allah, halal dan haram dan segala ilmu-ilmu lain yang berkait dengan agama.
2. Solat
3. Puasa
4. Zakat
5. Haji
6. Bersedekah dan Infak Fi Sabilillah
8. Membaca al-Quran
9. Berdakwah; mengajak orang lain kepada Islam
10. Menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar
11. Menyampaikan ilmu
12. Berjihad
13. Berdoa
14. Berzikir
15. Berselawat
16. Mengambil wudhuk, mandi dan bersuci
17. Menghidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan; makan dan minum, berpakaian, bergaul, tidur dan sebagainya.

Kesimpulannya, Zikrullah ialah kita berada di dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia ingat kepada Allah.

Faedah Zikrullah (mengingati Allah)

Orang yang sentiasa ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan menjaganya termasuk hatinya. Firman Allah;

“Maka ingatlah kepadaKu nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. (al-Baqarah: 152)

Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berpesan;

احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
“Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Zikrullah menguatkan hati dan menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram. Firman Allah;

“Ketahuilah bahawa dengan "zikrullah" itu, akan tenang tenteramlah hati-hati manusia”. (ar-Ra’du: 28)

Orang yang enggan berzikir (mengingati Allah) umpama orang yang mati. Sekalipun jasadnya hidup tetapi hati dan rohaninya telah mati. Sabda Rasulullah s.a.w.;

مَثَلُ الَّذي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذي لا يَذْكُرُهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir sama seperti orang hidup dan orang mati”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)

Kerana pentingnya mengingati Allah, maka al-Quran memperingatkan orang-orang beriman agar janganlah kesibukan menguruskan urusan-urusan duniawi melalaikan mereka dari Zikrullah. Firman Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”. (al-Munafiqun: 9)

Kesan zikrullah terhadap hati

Berkata Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah; “Peranan Zikrullah bagi hati sama seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan jika ia dikeluarkan dari air?”. Maksud beliau ialah; ikan akan mati jika dikeluarkan dari air, maka begitu juga dengan hati; hati akan mati jika ia tidak berada dalam zikrullah. Di dalam ungkapannya yang lain, beliau berkata; “Hati amat memerlukan kepada Allah dari dua aspek; (Pertama) dari aspek ibadah. (Kedua) dari aspek meminta pertolongan dan bertawakkal… (Dari aspek ibadah), hati manusia tidak akan menjadi baik, tidak akan berjaya, tidak akan merasai nikmat dan ketenangan melainkan dengan beribadah kepada Tuhannya, mengasihiNya dan dengan kembali ke pangkuanNya…”. (Risalah al-‘Ubudiyyah Fil-Islam)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah; “Hati hanya akan menjadi baik dan elok apabila ia mengenali Tuhan dan PenciptaNya (yakni Allah), mengetahui nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya dan mengetahui hukum-hakam Allah. Begitu juga dengan ia mengutamakan keredhaan Allah dan kecintaan kepadaNya serta menjauhi segala larangan dan kemurkaanNya. Hati selamnya tidak akan sihat dan tidak akan hidup melainkan dengan cara sedemikian..”. (Zadul-Ma’ad, 4/7).

Dosa

Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada mengabaikan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya” (Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 16). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mengabaikannya (yakni meninggalkannya). Dan Ia telah menetapkan beberapa hudud (batasan), maka janganlah kamu melampauinya. Dan Ia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarinya. Dan Ia juga telah diam dari beberapa perkara sebagai kelonggaran bagi kamu bukan kerana lupa, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya”. (Riwayat Imam Daruqutni dan lain-lainnya dari Abi Tha’labah Jurthum bin Nasyir al-Khusyani r.a.. Riyadhus Salihin, Imam an-Nawawi, bab al-Manthuraat Wa al-Mulah)

Dosa yang dilakukan manusia terbahagi kepada dua bentuk;

Pertama; Dosa dengan Allah; iaitu dosa antara hamba dengan Allah. Dosa ini ada dua jenis pula;
a) Dosa kerana meninggalkan kewajipan-kewajipan yang diwajibkan Allah ke atas kita seperti dosa meninggalkan solat, puasa, zakat dan sebagainya.
b) Dosa kerana mengerjakan perkara yang dilarang atau ditegah Allah seperti dosa minum arak, makan riba dan sebagainya.

Kedua; Dosa dengan makhluk; iaitu yang bersangkutan dengan hak-hak hamba Allah. Dosa dari kategori ini ada beberapa jenis pula;
a) Yang berkait dengan jiwa seperti dosa membunuh, mencederakan dan sebagainya.
b) Yang berkait dengan harta seperti dosa mencuri, merompak, merampas dan sebagai.
c) Yang berkait dengan kehormatan/harga diri seperti dosa mencerca, mengumpat, menuduh dengan tuduhan palsu dan sebagainya.
d) Yang berkait dengan agama seperti dosa mengkafirkan seseorang, membid’ahkannya, menyesatkannya dan sebagainya.
(Ihya’ Ulumiddin, jil. 4, hlm. 16 dan Minhajul ‘Abidin, Imam al-Ghazali, hlm. 11)

Kesan dosa kepada hati

Dosa akan memudaratkan hati. Bermula dengan merosakkan hati hingga lah kemuncaknya iaitu mematikan hati. Ini dapat kita fahami dari hadis yang telah kita kemukakan tadi dan kita ulangi semula di sini, iaitu sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika melakukan suatu dosa, akan muncullah satu titik hitam dalam hatinya. Jika ia menanggalkan dosa itu, kemudian beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya melitupi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran (الران) yang disebut Allah dalam firmanNya;

“Sebenarnya (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya), bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dengan sebab (perbuatan kufur dan dosa) yang mereka lakukan”. (al-Muthaffifin: 14)
(Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

Akibat dosa kepada kehidupan

Selain merosakkan hati, dosa juga akan memberi kesan kepada kehidupan secara keseluruhannya. Menurut Imam Ibnul-Qayyim; “Perbuatan dosa dan maksiat akan melahirkan beberapa kesan kepada diri dan kehidupan manusia iaitu;
1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Al-Fawaid, al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziah, hlm. 67.)

Melihat kepada kesan-kesan dosa di atas, marilah kita berazam untuk menjauhi dosa supaya hati kita sentiasa bersih dan hidup kita sentiasa selamat.

Hati mudah berbolak-balik

Hati amat mudah berubah dan berbolak-balik. Hari ini kita taat kepada Allah. Tidak mustahil esok kita engkar kepadaNya jika kita tidak menjaga hati kita. Rasulullah s.a.w. bersabda;

إِنَّمَا سُمِّيَ الْقَلْبُ مِنْ تَقَلُّبِهِ إِنَّمَا مَثَلُ الْقَلْبِ مِثْلُ رِيْشَةٍ بِالْفَلاَةِ تَعَلَّقَتْ فِي أَصْلِ شَجَرَةٍ يُقَلِّبُهَا الرِّيْحُ ظَهْرًا لِبَطْنٍ
“Sesungguhnya dinamakan (hati) dengan al-qalb kerana mudahnya ia berbolak-balik. Hati dapat diumpamakan seperti sebatang bulu (ayam/burung) di tengah padang yang tersangkut di pokok, lalu dibolak-balikkan oleh angin ke atas dan ke bawah”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abu Musa r.a.)

Oleh itu, hati mesti ditanamkan di dalamnya sifat Istiqamah. Istiqamah hati bermaksud keazamannya untuk terus kekal di atas jalan Allah iaitu jalan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w., tanpa berpaling darinya kepada kekufuran, dosa atau maksiat. Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.;

قُلْ آمَنْتُ باللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’.
(Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Doa agar diteguhkan hati oleh Allah

Selain menanamkan sifat istiqamah, kita juga perlu senantiasa memohon dari Allah agar Ia meneguhkan hati kita di atas jalanNya. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa hati-hati manusia keseluruhannya berada di antara dua jari dari jari-jari Tuhan yang maha rahman seumpama hati yang satu di mana Dia berkuasa mengubahnya ke mana yang Ia kehendaki. Kemudian Nabi berdoa;

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ، صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَىَ طَاعَتِكَ
“Ya Allah! Tuhan yang berkuasa memalingkan hati-hati. Palingkanlah hati-hati kami (dari kekufuran, dosa dan maksiat agar ia berada di atas) ketaatan kepadaMu”.
(Riwayat Imam Muslim dari ‘Amru bin al-‘As r.a.)

Nabi juga pernah berdoa;

يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ وَالأَبْصَارِ ثَبِّتْ قُلُوبَنا على دِينِكَ
“Wahai Tuhan yang berkuasa mengubah hati-hati dan pandangan-pandangan, teguhkanlah hati kami di atas agamaMu”. (Riwayat Imam Ibnu as-Sunni dari Ummu Salamah r.a.)

Baginda juga pernah berdoa;

يَاْ مُثَبِّتَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِيْنِكَ
“Wahai Tuhan yang meneguhkan hati-hati, teguhkan lah hati-hati kami di atas agamaMu”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari an-Nawwas bin Sam’an r.a.)

Amat baik sekali salah satu dari doa Nabi di atas kita jadikan amalan tetap kita pada setiap hari.

***والله أعلم بالصواب***

Selesai ditulis pada Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan September 2008. Semoga Alah memberkati tulisan ini dan mengurniakan keampunan untuk penulisnya. Amin, ya Rabbal-Alamin.

ISLAM LIBERAL: ANCAMAN KEPADA AQIDAH DAN JATI-DIRI UMMAH

Muqadimah

Tulisan ini bertujuan memperingatkan umat Islam agar menyedari satu ancaman baru yang bakal menggugat aqidah mereka dan masa depan agama mereka di Malaysia ketika ini. Ancaman yang pada hakikatnya lebih berbahaya dari dakyah Kristian, Hindu atau mana-mana agama yang lain kerana ia datang dari kalangan umat Islam sendiri. Ancaman yang kita maksudkan ialah kemunculan pemikiran muktazilah moden atau neo-muktazilah yang dikenali dengan Islam liberal. Dengan mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kelalaian pemimpin tertinggi negara yang beragama Islam ketika ini (yakni Perdana Menteri dan juga Menteri-Menterinya yang muslim) yang tidak sensitif dengan isu-isu agama dan tidak mampu bertegas dalam beberapa kes yang menggugat kepentingan Islam, golongan neo-muktazilah atau Islam liberal ini semakin galak dan semakin rancak menjaja dan mencanang gagasan pemikiran liberal mereka dengan berselindung di sebalik tuntutan kebebasan dan hak asasi. Ancaman ini jika tidak ditangani dengan cepat dan tegas oleh semua pihak di kalangan umat Islam, nescaya akan menghakis kefahaman agama yang soheh di kalangan umat Islam dengan amat pantas sekali. Dengan bercakap atas nama mereka sebagai seorang muslim dan di atas platfom pertubuhan yang memakai nama Islam (seperti Sistes In Islam dan sebagainya), golongan Islam liberal sememangnya lebih berbahaya dari pendakyah-pendakyah agama lain kerana suara mereka lebih mudah didengari oleh kaum muslimin. Mereka ibarat duri dalam daging atau musang berbulu ayam bagi umat Islam. Firman Allah;

8. Dan di antara manusia ada Yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
9. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang Yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
10. Dalam hati mereka (golongan Yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, Dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
11. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya Kami orang-orang Yang hanya membuat kebaikan".
12. Ketahuilah! Bahawa Sesungguhnya mereka itulah orang-orang Yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
(al-Baqarah)

Islam liberal; satu bentuk jahiliyah moden

Menjadi kewajipan umat Islam mengenali jahiliyah di samping mengenali Islam. Jika mengenali Islam bertujuan mengamalkannya, mengenali jahiliyah pula adalah untuk mengelak darinya dan agar tidak tertipu dengan pendakyah-pendakyahnya. Hal ini telah dinasihati oleh Saidina Umar dalam satu ucapannya;

لَتَنْقَضَّ عرى الإسلام عروة عروة من نشأ في الإسلام ولم يعرف الجاهلية
“Akan terungkailah ikatan Islam satu-persatu dari seorang yang lahir/membesar di dalam Islam tetapi tidak kenal jahiliyah”.

Islam Liberal adalah satu bentuk pemikiran jahiliyah baru/moden yang dianuti sebahagian cerdik pandai muslim hari ini khususnya yang berlatar-belakangkan pendidikan Barat. Pemikiran ini berasal dari ideologi Sekular-Liberal yang lahir di Barat, kemudian dibawa masuk ke dalam masyarakat umat Islam oleh gerakan Misionari Kritian dan Orientalis melalui penjajahan dan melalui pendidikan terhadap anak-anak orang Islam yang belajar di Barat. Melihat kepada tentangan yang amat hebat oleh ulamak Islam dan pendokong-pendokong gerakan Islam terhadap ideologi tersebut sejak dulu hingga sekarang, maka untuk meredakan tentangan tersebut dan untuk mengelabui mata umat Islam mereka meletakkan istilah Islam di depan istilah Liberal itu dan membentuk satu istilah baru yang dipanggil “Islam Liberal”. Pada hakikatnya pendokong pemikiran Islam Liberal adalah penganut-penganut ideologi Sekular-Liberal yang mana matlamat mereka ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam di kalangan penganut-penganutnya sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak sesuai lagi di zaman moden hari ini. Natijahnya umat Islam akan bersikap anti-Islam dan memusuhi ulamak-ulamaknya sebagaimana sikap orang-orang Barat hari ini terhadap agama Kristian dan paderi-paderi Kristian.

Ciri-ciri Jahiliyah Moden

Menurut Muhammad Qutb dalam bukunya Jahiliyah Abad Dua Puluh; “Semua kejahiliyahan tidak percaya kepada Allah secara benar. Ia merupakan ciri pokok yang ada pada setiap kejahiliyahan. Bahkan sesungguhnya dari situlah munculnya kejahiliyahan, yang kemudian berkembang menjadi bermacam-macam penyelewengan lainnya di bidang pemikiran dan perilaku…”. (halaman 56)

Menurut beliau juga; jahiliyah moden hari ini berbanding dengan jahiliyah dahulu; ada ciri-ciri kebersamaannya dan ada ciri-ciri perbezaannya. Adapun ciri-ciri kebersamaannya ialah;

1. Tidak adanya iman yang sesungguhnya kepada Allah dan tidak adanya sikap tunduk kepadaNya dalam setiap urusan iaitu sikap yang membuktikan kesatuan akidah dan syariat, tanpa pemisahan dalam hal apa pun.

2. Menuruti hawa nafsu iaitu ciri kedua yang muncul dari tidak adanya iman yang sesungguhnya kepada Allah dan dari tidak adanya penyerahan diri mutlak kepadaNya.

3. Adanya pelbagai taghut yang memujuk manusia supaya tidak beribadah dan tidak taat kepada Allah serta menolak hukum SyariatNya, kemudian mengalih pengibadatannya kepada taghut itu dan hukum-hakam yang dibuat menurut selera nafsunya.

4. Menjauhkan diri dari agama Allah.

Ciri-ciri tersebut jika diperhatikan akan ada pada semua jenis jahiliyah. Di samping ciri-ciri kebersamaan tersebut, masing-masing jahiliyah pada setiap zaman memiliki ciri-ciri khususnya tersendiri. Adapun ciri-ciri khusus jahiliyah moden ialah;

1. Kemajuan ilmu pengetahuan sedemikian tinggi yang dipergunakan antara lain untuk menyesatkan manusia dari tuntutan Ilahi dan menjerumuskan semua makhluk Allah ke dalam bahaya dan bencana.

2. Manusia bersikap sombong terhadap penciptanya (Allah) kerana silau melihat hasil-hasil yang dicapai di bidang ilmu pengetahuan dan kemajuan material. Manusia menganggap dirinya tidak berhajat kepada Tuhan atau merasa dirinya telah menjadi Tuhan.

3. Berbagai macam teori ilmiah yang menjerumuskan manusia kepada penyelewengan di bidang kemasyarakatan, ekonomi, psikologi dan bidang-bidang kehidupan lainnya.

4. Malapetaka akibat teori evolusi.

5. Kebebasan wanita.
(Jahiliyah Abad Dua Puluh, hlm. 71).

Sejarah Fahaman Liberal di Barat

Aliran liberalisme lahir di Barat adalah lanjutan daripada zaman Renaisans (kebangkitan) yang berlaku di Eropah. Ia adalah hasil daripada tindak balas kaum intelek Eropah terhadap penindasan gereja terhadap ilmu/sains dan juga teori-teori palsu ciptaan cendekiawan Yahudi untuk memusnahkan agama Kristian. Aliran pemikiran ini bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu. Sifat-sifat fahaman liberalisme ialah;

1. Kebebasan kepada individu tanpa sekatan atau dengan sekatan paling sedikit.

2. Ia mempunyai gagasan-gagasan pemikiran seperti berikut;

a) Individu lebih penting dari masyarakat.
b) Masyarakat wujud untuk individu.
c) Individu bebas dari ikatan agama.

Gerakan liberalisme dari sudut agama dipelopori oleh Martin Luther (1483-1546M) seorang tokoh Protestan disebabkan oleh penindasan dan keganasan gereja Katholik sebelum zaman Renaissance. Gerakan ini membebaskan penganut agama Kristian daripada kuasa gereja dari segi rohaniah ke atas individu dan membentuk mazhab baru bernama Protestan pada abad ke 16M. Antara prinsip penting bagi mazhab Protestan ialah; “Menjadi hak individu Kristian untuk membaca kitab suci dan mentafsirnya sendiri tanpa terikat dengan tafsiran paderi-paderi”.
(Islam, Al-Quran dan Ideologi Masa Kini, Penyelenggara; Sulaiman Nordin, halaman 170-172)

Pada abad ke 18M, Liberalisme Barat itu berkembang pula dalam bentuk aliran syak atau scepticism dan mewujudkan suasana yang kontroversi yang lebih hebat dengan agama-agama khususnya pada abad ke 19M. Seterusnya aliran yang menolak agama terus mengembangkan ideanya di German khususnya pada kurun ke 19M, melalui tulisan-tulisan seperti Feuerbach, Marx dan Nietzsche. Dari sinilah bermulanya satu fahaman yang terkenal iaitu ideologi Komunis.

Idea Liberalisme ini terus berkembang di Barat bersama dengan kemajuan sains dan pemodenan dalam pembangunan industri. Manusia bukan sahaja disogok dengan idea “keraguan” tentang Tuhan dan ajaran-ajaran agama tetapi juga menjadikan mereka bersikap materialistik dengan menjadikannya sebagai matlamat dari segala kehidupan. Sebagai contohnya David Hume (1711-1776) seorang ahli falsafah Scotish dalam tulisannya banyak sekali menghentam agamanya sendiri (Kristian). Ini terbukti dalam tulisan-tulisan beliau seperti “Dialogues Concerning Natural Religion” dan Essay on Miracles”. Berasaskan kepada idea pemikiran beliau yang menggunakan pendekatan “ragu” (scepticism) melalui teori ilmu yang didasarkan kepada persepsi akal dan indera maka sudah tentu ia mengatakan tuhan itu tidak ada.

Secara lansung atau tidak lansung idea seumpama ini telah mempengaruhi pemikiran generasi baru di Barat khususnya dan di Timur amnya. Fahaman ini berkeyakinan bahawa manusia dan akal fikirannya boleh menyelesaikan berbagai aspek yang berkaitan dengan kemanusiaan tanpa perlu merujuk kepada agama atau tuhan. Kalau manusia itu dalam kes-kes tertentu perlu kepada agama maka ia hanya bersifat keperluan individu semata-mata terutama dalam keadaan manusia yang tidak menentu emosi dan pemikiran serta perasaannya kerana ditimpa kemalangan, bencana alam dan sebagainya. Maka peranan agama dalam konteks ini tidak lebih dari sekadar menstabilkan emosi yang tidak tenteram.
(Gugatan Pemikiran Islam, Zulkarnain Yusuf, halaman 10).

Teras pemikiran Islam Liberal

Sebagaimana Ideologi Liberal atau Liberalisme di Barat yang terbina di atas kebebasan individu (dari cengkaman agama) dan perasaan syak atau ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam Liberal. Fahaman Islam Liberal berakar pada kebebasan akal tanpa batasan ditambah pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam. Bagi pendokong fahaman Islam Liberal, tidak ada di dalam agama suatu yang dianggap kudus dan suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai. Sepertimana muktazilah, golongan Islam Liberal meletakkan akal lebih tinggi dari wahyu. Kerana itu mereka layak digelar muktazilah moden atau neo-muktazilah. Bagi mereka, penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada penilaian akal dan rasional. Tidak ada yang dapat dikategorikan sebagai Qat’iyyat atau Musallamat iaitu ajaran-ajaran agama yang mesti diterima kebenarannya tanpa merujuk kepada akal terlebih dahulu (yakni diterima atas dasar iman dan keyakinan kepada Allah dan Rasul) sebagaimana yang menjadi pegangan umat Islam selama ini. Semua ajaran dalam agama bagi mereka adalah Dzanniyat (tidak pasti) dan Muhtamalat (mengandung pelbagai kemungkinan). Oleh demikian, ia tertakluk kepada penerimaan akal dan rasional.

Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari’at dan Fiqh. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama –termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulamak- termasuklah tafsiran dari Rasulullah s.a.w., para sahabat dan ulamak-ulamak mujtahid. Bagi mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi’ (realiti) semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas Syarak secara qat’ie (putus). Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Terhadap golongan ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi memperingatkan kita dalam tulisannya; “Di antara masalah paling penting yang sering saya peringatkan dalam beberapa buku yang saya tulis adalah berkenaan usaha musuh-musuh pemikiran Islam yang menciptakan keraguan terhadap ajaran-ajaran agama Islam yang sudah dapat diyakini kebenarannya tanpa ragu (musallamat), dan berusaha mengubah perkara-perkara yang diyakini kebenarannya dan pasti (yaqiniyat) menjadi perkara-perkara yang tidak pasti dan mengandung pelbagai kemungkinan (muhtamalat), yang dapat diambil atau ditolak, ditarik atau dilepas dan dapat mengikuti pendapat kanan atau kiri”. (Majalah I, keluaran Ogos 2006, hlm. 19).

Apabila dikaji satu-persatu bentuk dan kaedah pemikiran golongan Islam Liberal, kita akan mendapati bahawa mereka telah dibelenggu oleh roh atau semangat berfikir Barat yang menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas semangat berfikir Barat ini berdiri di atas lima sifat yang saling kait-mengait;

1. Kebergantungan semata-mata kepada akal manusia bagi memandu kehidupan di dunia.

2. Dualisme dalam memahami pelbagai realiti dan kebenaran. Contohnya; dualisme antara akal dan jasad, dan pemisahan antara kaedah rasionalisme dan empirisme.

3. Penekanan kepada unsur-unsur perubahan dalam kewujudan yang menayangkan pandangan alam (worldview) yang sekular.

4. Doktrin Humanisme iaitu jelmaan ideologi sekularisme yang memusatkan penilaian segala-galanya kepadafikiran manusia.

5. Konsep tragedi yang menyusup dalam setiap arena kehidupan baik falsafah, agama atau kesenian. Konsep ini mencerminkan jiwa tidak beriman kerana kecewa dengan agama. Konsep tragedi ini mengakibatkan mereka asyik berpandu kepada keraguan, dan dalam proses ini falsafah telah diiktiraf sebagai alat utama menuntut kebenaran yang tiada tercapai.
(Lihat; Wajah Peradaban Barat, Adian Husaini (bah. Pengantar) dan Penjelasan Budaya Ilmu, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, halaman 98).

Agenda tersembunyi kumpulan pemikiran bebas terhadap Islam dan umat Islam

Menurut Syeikh Abdullah Khatib dalam bukunya “هذا هو الإسلام: الرد على دعاة حرية الفكر” (Islam adalah penyelesaian; jawapan kepada pendakyah-pendakyah free-thinker); “Golongan pemikiran bebas mempunyai agenda-agenda tersendiri yang menjadi matlamat mereka, iaitu;

1. Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya dari masyarakat iaitu memisahkan agama dari pendidikan, menjauhkan Syari’at Islam dari kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas dasar Riba.

2. Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia dari setiap yang mempunyai kaitan dengan ruh, wahyu dan alam ghaib dan dari segala ikatan dengan akhlak, aqidah dan keimanan kepada Allah.

3. Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan (materialis) dan ilhad (ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan politik.
(Halaman 10).

Bercita-cita menghidupkan kembali pemikiran muktazilah

Golongan Islam Liberal mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menghidupkan kembali pemikiran muktazilah yang menurut mereka mewakili kumpulan Islam Rasional dalam sejarah peradaban Islam. Kerana itu, tokoh-tokoh Islam Liberal di Timur Tengah seperti Ahmad Amin, Thaha Husain dan sebagainya amat menyanjung Muktazilah dan memusuhi golongan Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah khususnya Asya’irah yang dituduh jumud, beku dan anti-rasional. Ahmad Amin pernah menulis; “Kaum muslimin lemah dan mundur kerana mereka tidak menggunakan cara berfikir muktazilah…”. (Lihat; al-Muamarat ‘Ala al-Islam, oleh Anuar al-Jundi, hlm. 19).

Tidak terkecuali dari kecenderungan sedemikian tokoh-tokoh Islam Liberal di Indonesia dan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kassim Ahmad (bapa Islam Liberal di Malaysia) dalam bukunya “Hadis; Jawapan Kepada Pengkritik”, telah menegaskan; “Untuk mengetahui di mana umat Islam telah tersilap bila mereka mendapati diri mereka terjebak dalam kemerosotan berpanjangan, kita harus mengesan langkah-langkah kita kembali ke dalam sejarah. Sebelum kaum teologi Assy’ariyyah menang mengatasi kaum rasional Muktazilah dalam abad-abad kesepuluh, kesebelas dan kedua belas, aliran saintifik dan rasional kuat dalam sains Islam, yang sememangnya telah menyebabkan terbina sains dan tamadun saintifik Islam yang agung. Di antara masalah-masalah yang hangat diperdebatkan di kalangan mereka ialah kebebasan dan tanggungjawab manusia di atas perbuatannya dan keadilan dan keesaan Ilahi. Dalam perbahasan ini, kaum muktazilah mewakili aliran fikiran saintifik dan rasional. Malangnya, keadaan di Timur pada masa itu tidak memihak kepada mereka, berbeza dengan keadaan di Barat. Kaum muktazilah tewas. Peristiwa bersejarah ini memberi laluan kepada kaum Assy’ariyyah berkuasa di seluruh Timur”. (Halaman 80).

Sama ada mereka mengakui atau tidak, golongan Islam Liberal di mana-mana negara umat Islam hari ini mereka sememangnya telah dipengaruhi oleh cara berfikir Orientalis. Anuar al-Jundi dalam bukunya al-Muamarat ‘Ala al-Islam menjelaskan; “Golongan Orientalis, penyeru-penyeru kepada pembaratan dan yang terlibat dengan serangan pemikiran, mereka amat mementingkan pemikiran muktazilah dan puak muktazilah. Para Orientalis dan penulis-penulis yang pro-pembaratan telah menyifatkan kaum Muktazilah sebagai tokoh-tokoh pemikiran Yunani yang sebenar dan agung dari kalangan orang Islam ….”. (Halaman 19).

Kenyataan bahawa golongan Islam Liberal telah dipengaruhi oleh Orientalis bukanlah suatu yang susah untuk diterima oleh sesiapapun memandangkan hampir keseluruhan mereka pernah mendapat didikan di Barat atau sekurang-kurangnya menjadi pengikut kepada tokoh yang pernah belajar di Barat.

Tipu daya Orientalis terhadap Islam

Gerakan Orientalis ialah gerakan tokoh-tokoh dunia Barat yang mengkaji tentang dunia timur (khususnya dunia Islam) meliputi peradaban, politik, ekonomi, keseniaan, keagamaan dan pelbagai lagi. Kebanyakan mereka mengkaji ilmu-ilmu Islam dan memaparkannya kepada umat Islam dalam bentuknya yang terpesong daripada yang tulen.

Tidaklah dapat diketahui dengan tepatnya bilakah gerakan Orientalis itu bermula. Namun yang pastinya ia semakin meningkat setelah kekalahan Kristian dalam peperangan Salib. Peningkatan Orientalisme ini adalah dalam rangka mereka untuk mencari segi-segi kelemahan umat Islam supaya dapat ditaklukinya dan mencari segi-segi kekuatan umat Islam untuk dilemahkan. Dapat disimpulkan bahawa gerakan Orientalis merupakan salah satu dari percubaan-percubaan dan cara-cara yang digunakan oleh Barat melalui pelbagai institusi dan cendekiawan mereka untuk menyerang Islam dengan melontarkan pelbagai pembohongan dan kebatilan ke atas Islam, pemikiran Islam, punca pengambilan Islam dan sejarah Islam dengan berselindung di bawah tabir ilmiah.

Sasaran serangan mereka ialah terhadap tiga perkara yang mereka kesani menjadi faktor kekuatan umat Islam sejak zaman berzaman, iaitu;
a) Al-Quran
b) As-Sunnah
c) Syari’at Islam dan Fiqh
(Sila baca; Nahwa Bina-I Manhaj al-Badail al-Islamiyah, tulisan Anuar al-Jundi, halaman 131-152).

Di antara serangan gerakan Orientalis ke atas al-Quran ialah dengan mendakwa al-Quran adalah dari khayalan Nabi Muhammad dan tidak ada hubungan dengan wahyu. Di antara serangan mereka ke atas as-Sunnah pula ialah dengan menyebarkan tuduhan bahawa as-Sunnah bertentangan dengan akal dan pengetahuan, juga meragu-ragukan ilmu Sunnah dan punca pengambilannya. Mereka juga menyerang peribadi Rasulullah s.a.w. sehingga ke tahap mencela kehormatan baginda. Terhadap Syari’at dan Fiqh Islam; mereka menuduhnya diceduk dari hukum Romawi.

Para Orientalis menyebarkan fikrah mereka dengan cara yang cukup teratur dan sistematik. Di antara cara-cara yang dilakukan oleh mereka ialah melalui penulisan buku-buku dengan cara penulisan ilmiah, menggunakan metodologi dan sistematika yang menarik tetapi di dalamnya penuh racun-racun berbisa yang menghina Islam dan umatnya. Di dalamnya penuh dengan penyelewengan-penyelewengan dari fakta-fakta sejarah dan ilmiah yang objektif. Oleh kerana itu banyaklah para intelek Islam secara tidak sedar mengagung-agungkan karya para Orientalis sehingga mereka secara tidak sedar pula menjadi mangsa dari penipuan kaum Orirntalis yang berselubungkan ilmiah itu. Malah ada universiti-universiti di dunia Islam telah menjadikan buku-buku karangan Orientalis tersebut sebagai sumber rujukan ilmiah yang penting untuk pelajar-pelajar mereka khususnya dalam subjek mengenai Islam dan kaum muslimin. Antara buku-buku tersebut ialah;

1. A Literary History of Arabs oleh Nicholson
2. The Short History of Arabs oleh Philip K. Hitti.
3. The History of Arab Literary oleh Carl Brocklemon
4. Introdection of Islamic Theology and Law oleh Golddziher
5. The Origins of Muhammadons Jurisprudence oleh Schacht.
6. Islam ini Moden History oleh W.C. Smith.
7. Wither of Islam oleh H.A.R. Gibb.

Umat Islam hari ini perlu diberi kesedaran secara seriuas supaya menghindari bahaya dari tipu-daya para Orientalisme yang cuba merusakkan keutuhan agama Islam, kebudayaan Islam dan umatnya. Di antara cara-cara untuk menghindari bahaya itu ialah;

1. Tidak menghantar anak-anak memasuki yayasan pengajian dan pendidikan yang diadakan oleh para Orientalis.

2. Berwaspada dan berhati-hati dalam menggunakan buku-buku karangan mereka sebagai bahan kajian, mengikuti tulisan-tulisan mereka dalam majalah-majalah dan mendengar ceramah-ceramah mereka tentang Islam.
(Beberapa Masalah Ummah, Dr. Abdul Halim Mat Diah, halaman 66).

Tokoh-tokoh Islam Liberal

Aliran Islam Liberal wujud hampir di setiap negara umat Islam hari ini. Nama mereka mungkin berbeza-beza dan mungkin tidak dikenali dengan nama tertentu, akan tetapi manhaj dan gaya mereka tetap sama iaitu meragui Syariat dan hukum-hakam agama, berprasangka buruk terhadap ulamak dan mentafsir agama dan al-Quran melalui akal secara bebas. Apabila menyebut tentang tokoh-tokoh Islam liberal, terdapat satu kesamaan antara mereka semua iaitu mereka pernah mendapat didikan di negara Barat atau pernah berkhidmat di mana-mana institusi Barat. Pengalaman ini menyebabkan mereka cenderung kepada apa sahaja yang berasal dari Barat tanpa memisahkan antara yang baik dan yang salah. Di antara tokoh-tokoh Islam Liberal di Timur Tengah ialah;
1. Rifa’ah at-Thahthawi
2. Thaha Husain
3. Mansur Fahmi
4. Amin al-Khuli
5. Ali Abdurr-Raziq
6. Mahmud Abu Rayya
7. Ahmad Amin
8. Hasan Hanafi
9. Faraj Fudah
10. Nasr Abu Zaid
11. Athief al-‘Iraqi
12. Nawal as-Saffawi

Di Indonesia, antara tokoh Islam Liberal yang dikenali ialah;
1. Harun Nasution
2. Nurcholis Majid

Sekarang ini di Indonesia kumpulan penganut fahaman Islam Liberal ini mempunyai laman web tersendiri iaitu JIL (Jaringan Islam Liberal).

Di Malaysia pula, antara tokoh-tokoh Islam Liberal yang dapat kita kenali melalui tulisan-tulisan mereka ialah;
1. Astora Jabat
2. Sisters in Islam
3. Kasim Ahmad
Beberapa pemimpin utama negara hari ini

Bentuk-bentuk pemikiran golongan Islam Liberal

Golongan Islam Liberal khususnya di Malaysia jarang mengakui mereka menganut fahaman liberal. Kerana itu kita perlu berhati-hati dengan setiap dakyah mereka. Bagaimana untuk kita mengenali mereka? Iaitu dengan kita mengenali fikrah atau pemikiran mereka, manhaj yang mereka bawa dan ciri-ciri yang ada pada mereka. Antara bentuk fikrah atau pemikiran golongan Islam Liberal ialah:

1. Mereka menganut fahaman Pluranisme.

Iaitulah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Absar Abdala dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Dis. 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.

Dengan fahaman inilah, maka lahirnya ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam Liberal di sana. Di Malaysia, penularan fahaman Pluranisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut;

a) Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan para ulamak dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam Liberal menolak pandangan Mufti dan ulamak-ulamak tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup. Sebagai contohnya; Astora Jabat dalam tulisannya di dalam Majalah Al-Islam (bulan Ogos 2006) telah melabelkan Mufti Dato’ Harussani dan ulamak-ulamak yang menghadiri Muzakarah tersebut sebagai merapu kerana mengeluarkan fatwa haramnya Kongsi-Raya tersebut. (lihat artikelnya dalam majalah tersebut di halaman 3 yang bertajuk “Ulama Jangan Merapu”).

b) Kerana terpengaruh dengan fahaman Pluranisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis/Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001. Kandungan memorandum tersebut ialah;

1. Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah. Ini adalah hak yang diberi Artikel 11 Perlembagaan. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah sivil.

2. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

3. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

4. Tidak perlu dicatat dalam kad pengenalan seseorang muslim bahawa ia beragama Islam.

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

7. Orang-orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

9. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

10. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

11. Sepatutnya Islam tidak tersebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
(Harakah, 1-15 Jun 2006, halaman 10).

2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia

Dalam isu murtad –seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani)-, golongan Islam Liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan mahkamah Syariah. Hak tersebut menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalahtafsirkan ayat Allah yang berbunyi;

“Tidak ada paksaan dalam ugama”. (al-Baqarah; 256)

Menurut tafsiran ulamak-ulamak tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara Aqidah dan Iman. Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar dari agama kan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya. Adapun hukuman di dunia ia akan dibunuh sebagaimana yang sabit dengan dalil as-Sunnah yang soheh iaitu sabda Nabi s.a.w.;

من بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ
“Sesiapa menukar agamanya (yakni murtad), maka hendaklah kamu membunuhnya”. (Riwayat Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain dari Ibnu Abbas)

Namun menurut tafsiran golongan Islam Liberal, ayat tersebut tidak hanya terpakai untuk orang-orang bukan Islam, malah juga untuk orang Islam yang hendak keluar Islam. Mereka menegaskan; orang Islam juga berhak keluar dari agama Islam dan tidak seharusnya dikenakan sebarang hukuman di dunia kerana telah ditetapkan hukumannya di akhirat. Mereka mengkiaskan perbuatan murtad dengan memakan riba yang tidak dikenakan sebarang hukuman di dunia. (Lihat kenyataan mereka ini dalam tulisan Naziree Md. Yusuf bertajuk “Toleransi Beragama dan Kesesuaian Hukuman Murtad di Malaysia”, Jurnal KANUN (Mac, 2006)).

Oleh kerana hadis Rasulullah di atas bertentangan dengan pendapat mereka, maka mereka menolaknya mentah-mentah dengan alasan ia bertentangan dengan al-Quran.

Menurut Dr. Muhammad Nur Manuty; Para pendokong Islam Liberal telah kehilangan izzah sebagai seorang muslim. Di kalangan mereka yang terdiri dari peguam-peguam dan ahli-ahli akademik tidak merasa gementar dengan fenomena mutakhir peningkatan jumlah orang-orang Islam yang telah menjadi murtad. Oleh kerana mereka beriman teguh dengan konsep HAM (Hak Asasi Manusia) tajaan Barat, atas nama kebebasan agama dan ekspresi, golongan Islam Liberal mengusahakan pelbagai ikhtiar untuk memudahkan mereka menukar agama dari segi bantuan guaman undang-undang. Hari ini mereka amat tidak bersetuju dengan kedudukan perlembagaan Malaysia yang masih menyukarkan penukaran agama seorang muslim dan prosedur di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pada satu ketika usaha mereka untuk meminggirkan identiti Islam dalam kad pengenalan hampir-hampir berjaya. Mujurlah masih ada pihak-pihak tertentu yang berwibawa di kalangan pegawai-pegawai muslim yang berjaya menghalangnya.
(Majalah I, Ogos 2006, hlm. 26).

3. Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman

Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran ulamak-ulamak terdahulu. Tafsiran ulamak-ulamak terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang. Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh wal mansukh, tafsiran Rasulullah, para sahabat dan ahli-ahli tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan rasional.

“Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman. Kepada umat Islam, kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik”. (Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, New Straits Times)

Jelasnya, golongan Islam Liberal mengajak umat Islam kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan ilmu-ilmu akal semata-mata. Kerana itu mereka awal-awal lagi telah menolak hadis Nabi yang bermaksud “Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal/fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka” dengan mendakwa hadis tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya berfikir, merenung dan menggunakan akal.

Menurut fahaman golongan Islam Liberal, al-Quran hanya menerangkan tujuan agama, manakala akal manusialah yang menselarikannya dengan konteks zaman. Tafsiran akallah yang muktamad sekalipun lari jauh dari konteks ayat yang sebenarnya. Contohnya, firman Allah mengenai hukuman ke atas orang mencuri:

38. Dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan Yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan Dengan sebab apa Yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Maidah)

Menurut mereka, tujuan sebenar yang dituntut oleh al-Quran ialah menjatuhkan hukuman ke atas pencuri. Bentuk hukuman boleh berubah-ubah selari dengan peradaban manusia; hukuman denda, penjara dan sebagainya. Di zaman Rasulullah hukuman yang sesuai ialah hukum potong tangan. Hukum ini tidak sesuai lagi di zaman ini.

Contoh yang lain ialah dalam masalah Faraid. Al-Quran telah menetapkan kaedah pembahagian antara lelaki dan wanita iaitu;

11. Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
(an-Nisa’)

Namun kaedah pembahagian tersebut menurut mereka hanya merujuk kepada fenomena masyarakat di zaman Nabi s.a.w.. Pada zaman Nabi Muhammad menurut mereka hanya orang lelaki yang bekerja untuk menyara keluarga. Oleh demikian, kaum lelaki perlu diberi bahagian yang lebih. Adapun di zaman hari ini, kaum wanita juga turut sama berkerja sebagaimana lelaki. Kerana itu, pembahagian harta pusaka sama rata antara lelaki dan wanita adalah perlu pada zaman hari ini. Kedah pembahagian 2:1 tidak lagi adil jika diamalkan pada zaman ini. (Lihat; Kassim Ahmad, Hadis; Jawapan Kepada Pengkritik, halaman 73).

4. Mempertikai Syari’at Allah dan hukum-hakam Fiqh dengan hujjah rasional

Antara sikap golongan Islam Liberal ialah suka mempertikai Syari’at Allah dan hukum-hakam Fiqh Islam dengan menggunakan lojik akal atau rasional semata-mata. Sebagai contohnya, kenyataan mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir; “Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita dari kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat”. (5 Sept. 1997, Perhimpunan Agung UMNO, pita rakaman).

Pada pandangan mereka hukum syari’at Islam adalah ciptaan ulamak dan fuqahak. Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah hukum-hakam Syari’at yang Qat’ie. Antara hukum-hakam Syari’at yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah;

a) Hukum faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita
b) Keharusan poligami bagi lelaki
c) Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita
d) Hukuman bunuh ke atas orang murtad
e) Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah.
f) Larangan wanita dari menjadi pemimpin termasuklah dalam solat.
g) Hak mutlak suami untuk mencerai isteri
h) Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam
i) Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.

Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada pembaharuan Fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada ulamak dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam Liberal menolak autoriti ulamak dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat dan sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama.

Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS) pernah menegaskan; “Islam bukanlah milik individu atau mana-mana golongan yang mendakwa mereka sebagai ulamak…Oleh itu sebarang penafsiran terhadap sumber-sumber Islam seperti al-Quran bukanlah milik para ulamak semata-mata”. (Utusan Malaysia, 26 September, 2000).

5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama

Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.

Sebagai contohnya, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain. Mereka telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia.

Malah dalam satu kenyataannya SIS meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara. Malahan pertubuhan itu juga tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang muslim. Ini kerana persoalan yang berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan.

6. Mendokong gerakan pembebasan wanita dan feminisme

Gerakan pembebasan wanita mula wujud di Barat, kemudian telah menular ke nagara-negara Islam seperti Turki, Mesir, Maghribi, Lubnan, Iran dan lain-lain. Gerakan ini menjadi semakin meluas apabila ia mendapat sokongan daripada modenis-modenis seperti Mustafa Kamal Attartuk, Kamal Pasha, Kasim Amin, Zia Gokalp dan lain-lain. Rata-ratanya gerakan pembebasan wanita di negara-negara umat Islam telah dipengaruhi oleh Barat. Antara yang dituntut oleh mereka ialah;

1. Persamaan dalam harta pusaka
2. Hak poligami lelaki perlu ditarik balik.
3. Persamaan hak dalam penceraian.
4. Menentang pemakaian yang menutup aurat yang didakwa sebagai kuno dan merampas hak kebebasan wanita.
5. Menyeru wanita-wanita Islam agar mencontohi wanita-wanita Barat.

Mustafa Kamal Attartuk umpamanya telah menggubal undang-undang perkahwinan yang berdasarkan undang-undang Barat pada 17 Februari 1926 dan menggalakkan wanita membuka aurat.

Kasim Amin dalam bukunya yang bertajuk Al-Marah Al-Jadidah menentang pemakaian purdah di kalangan wanita Islam, menentang poligami dan penceraian yang dianggap sebagai penghinaan terhadap wanita. Wanita Islam mesti berpendidikan Barat dan mesti dilepaskan dari kongkongan lelaki, adat resam dan tradisi. Beliau menyebutkan; “Semua pihak sepakat bahawa hijab wanita adalah sebab kemunduran dunia Timur dan tidak berhijab adalah rahsia kemajuan barat”. (al-Marah al-Jadidah).

Di Mesir, Dr. Nawal El-Sadawy seorang pakar perubatan telah menghasilkan sebuah buku mengenai perjuangan wanita menjelaskan bahawa wanita intelek memang tidak sesuai mematuhi peraturan agama, seks dan politik yang mengongkong.
(Lihat; Dakwah Islam dan Ideologi Barat, Ghazali Darussalam, hlm. 52).

Di Malaysia, gerakan feminisme dijuarai oleh Sisters In Islam (SIS) dan juga Astora Jabat. Dalam isu Rang Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan (Pindaan 2005) Sisters In Islam (SIS) bersama beberapa kumpulan wanita yang lain telah menentang kuat Rang Undang-Undang tersebut atas dakwaan kononnya ia akan menzalimi wanita. Sebelum itu, mereka juga menentang kuat Rang Undang-Undang Jenayah Syariah Trengganu (Hudud) dengan membangkitkan polemik kononnya ia menzalimi wanita yang dirogol. Namun setelah diselidiki, terdedahlah bahawa dakwaan mereka itu sebenarnya berpunca dari prasangka buruk mereka terhadap undang-undang Syariah dan juga kejahilan mereka dalam memahami peruntukan yang ada di dalam rang undang-undang tersebut. SIS juga terkenal sebagai kumpulan yang menentang amalan poligami secara keseluruhannya.

Astora Jabat pula dalam tulisannya di dalam majalah Al-Islam (yang mana beliau menjadi ketua editornya) telah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita tidak wajib bertudung dan menyokong keharusan wanita menjadi imam dalam kes Aminah Wadud dan menganggap ulamak-ulamak yang menentang keharusan tersebut sebagai jumud kerana terikat dengan adat dalam kitab-kitab fiqh lama. (Al-Islam, Mei 2005)

7. Meragui kesahihan sebahagian teks al-Quran dan penyusunannya

Di Timur Tengah keraguan tentang kesahihan al-Quran pernah disuarakan oleh Thaha Husain, Mansur Fahmi dan Nasr Abu Zaid dalam tulisan-tulisan mereka. Dalam bukunya “Sya’ir Jahiliyyah”, Thaha Husain telah menulis; “Taurat telah menyebut kepada kita mengenai Ibrahim dan Ismail serta al-Quran juga telah memperkatakannya, akan tetapi terdapatnya kedua-dua nama ini di dalam Taurat dan al-Quran belum mencukupi untuk menetapkan kewujudan keduanya dari segi sejarah”. (Halaman 26).

Di Indonesia, kumpulan Islam Liberal telah merancang untuk menerbitkan al-Quran edisi Kritis kerana al-Quran yang kita miliki sekarang iaitu Mushaf Utsmani mereka anggap diragui kesesuaiannya dengan perkembangan zaman ini. Seorang tokoh gerakan Islam Liberal Indonesia, Taufik Adnan Amal, pensyarah Kuliah Ulumul Quran di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Alaudin Makasar, telah menulis satu makalah bertajuk Edisi Kritis al-Quran menyatakan peri pentingnya menilai semula beberapa ayat atau bahagian daripada ajaran al-Quran yang mereka anggap tidak sesuai dengan perkembangan atau kemajuan zaman hari ini.

Di Malaysia, Kasim Ahmad dalam tulisannya telah meragui ayat terakhir dari surah at-Taubah di mana beliau mendakwa; “Tiap-tiap surah dalam Quran dibuka dengan kenyataan “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih”, dikenali sebagai Basmalah, kecuali surah 9 (yakni at-Taubah). Ketiadaan Basmalah dari surah 9 menimbulkan kehairanan kepada ahli-ahli tafsir selama 14 abad. Banyak teori telah dikemukakan untuk menghuraikan fenomena ini. Sekarang kita tahu bahawa ketiadaan Basmalah memainkan peranan penting sebagai suatu ciri dalam mukjizat matematik Quran dan juga satu tanda daripada Allah bahawa surah 9 (at-Taubah) telah dicemar dan perlu dibersihkan”. (Lihat bukunya; Hadis; Jawapan Kepada Pengkritik, Kassim Ahmad, halaman 61).

Dua ayat terakhir surah at-Taubah yang didakwa oleh Kassim sebagai mencemari al-Quran (yakni menurut beliau ayat tersebut sebenarnya bukan ayat al-Quran, tetapi ditambah oleh para sahabat) berbunyi;

128. Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan Yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman.
129. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar."

Kassim sebenarnya mempunyai niat buruk tersendiri di sebalik kritikannya terhadap ayat tersebut. Ayat-ayat di atas memuji Rasulullah s.a.w.. Sikap Kassim yang anti hadis dan anti Rasulullah s.a.w. sudah tentu menjadikannya ibarat cacing kepanasan apabila membaca ayat seumpama itu yang menyanjung baginda.

8. Menolak dan mempertikai hadis Nabi s.a.w. dengan mendakwa ia bercanggah dengan al-Quran

Harun Nasution tokoh Islam Liberal Indonesia pernah menyebutkan; “Bagiku, rukun iman itu tinggal lima, seperti disebut dalam al-Quran. Di dalam al-Quran tak disebutkan rukun iman ke enam iaitu Qada’ dan Qadar…”. (Kenyataan Harun Nasution ini boleh dilihat dalam buku bertajuk Refleksi Pembaharuan Pemikiran Islam 70 Tahun Nasution, tahun 1989. Buku telah diharamkan oleh JAKIM. Lihat; Jurnal Penyelidikan Islam JAKIM, Bil. 11, tahun 1998, halaman 113). Kenyataannya tersebut menunjukkan bahawa Harun Nasution menolak hadis kerana rukun Iman keenam (yakni Qadha’ dan Qadar) sabit melalui hadis soheh yang diterima oleh sekelian ulamak muktabar.

Di Malaysia kritikan terhadap hadis dilakukan dengan hebat oleh kumpulan anti hadis yang jika diselidiki merupakan nadi utama di belakang golongan Islam Liberal di negara ini. Dalam dakwaan mereka, hadis-hadis banyak yang bertentangan dengan al-Quran, oleh demikian ia perlu ditolak. A. Ghani Ismail (teman Kasim Ahmad dalam kumpulan anti-hadis) pernah menulis; “Kenyataan percanggahan di antara hadis dan al-Quran bukannya faktor yang diciptakan oleh musuh-musuh Islam melainkan ia akan ditemui sesiapa sahaja yang meneliti al-Quran dan membaca hadis-hadis yang kini dapat diperoleh terjemahan-terjemahannya dengan mudah. Sedang al-Quran menetapkan hukum sebat untuk zina, hadis menetapkan hukum rejam yang menjadi hukum yang dipusakai Arab Jahiliyah……Sedang al-Quran menyuruh manusia menimbangkan ayat-ayatnya dengan fikiran sendiri, hadis melarang perbuatan itu dan menjadikannya kewajipan ulama semata-mata….Sedang al-Quran menegaskan tiada siapa dapat memberi syafaat pada hari kiamat, hadis mengatakan ulamak dan syuhada boleh (memberi syafaat)”. (Ikuti tulisan penuh beliau bertajuk “Konflik Ulama-Umara Perlu Diselesaikan” dalam buku tulisan Dr. Mahmood Zuhdi, bertajuk “Beberapa Pemikiran Tentang Tajdid, Islah dan Tajdid”, terbitan DBP, tahun 1994).

Kassim Ahmad dalam bukunya “Hadis; Jawapan Kepada Pengkritik” telah menyenaraikan lebih dari sepuluh perkara yang menurut beliau hadis memberi kenyataan yang bercanggah dengan al-Quran;

1. Menurut beliau; Al-Quran menegaskan bahawa rujukan kaum muslimin hanya satu sahaja ialah Kitab al-Quran. Namun hadis menegaskan ada dua iaitu al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadis).

2. Al-Quran menyebutkan lima sahaja rukun iman, sedangkan hadis menyebut enam iaitu dengan menambah Qadha dan Qadar.

3. Al-Quran mengajar syahadah hanya Lailaha-Illallah, tetapi hadis menambah Muhammadur-Rasulullah. Tambahan tersebut menurut Kassim bercanggah dengan ayat yang memerintahkan agar jangan menyengutukan Allah dengan sesiapapun.

4. Al-Quran melarang mendewa-dewakan manusia. Namun hadis memerintahkan agar mendewakan Rasulullah (Nabi Muhammad) iaitu dengan berselawat kepadanya ketika membuka dan menutup doa dan juga apabila mendengar namanya disebut.

5. Al-Quran menerangkan bahawa Nabi Muhammad atau mana-mana Nabi tidak memiliki kuasa syafaat, namun hadis menjelaskan bahawa Nabi Muhammad mempunyai kuasa syafaat.

6. Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Muhammad tidak diberi mukjizat melainkan al-Quran. Namun hadis menceritakan bermacam-macam mukjizat Nabi Muhammad selain al-Quran itu.

7. Menurut al-Quran, Nabi Isa telah wafat. Namun hadis menjelaskan bahawa beliau tidak mati dan akan turun di akhir zaman untuk membunuh Dajjal.

8. Al-Quran tidak menetapkan sebarang hukuman bagi orang murtad. Namnun hadis menetapkan bahawa orang yang murtad hendaklah dibunuh.

9. Al-Quran menetapkan hukuman ke atas orang berzina hanya seatan sahaja, namun hadis menambah satu lagi hukuman iaitu rejam.

10. Al-Quran memerintahkan manusia menggunakan akal dan fikiran. Namun hadis pula melarangnya di mana Rasulullah s.a.w. pernah berkata; “Sesiapa mentafsir al-Quran mengikut fikirannya, biarlah ia menghuni neraka”.

11. Al-Quran mengajar kebebasan beragama di mana terdapat ayat menyebutkan “Tiada paksaan di dalam agama”. Namun hadis menetapkan orang yang murtad dihukum bunuh. Hukum ini menurut Kassim berasal dari Taurat.
(Lihat; halaman 139-151).

Astora Jabat dalam tulisannya pernah membuat kenyataan yang menolak adanya azab dan nikmat kubur walaupun berita tentangnya sabit dalam banyak hadis soheh. Begitu juga, beliau menolak pemakaian tudung oleh wanita Islam walaupun terang-terang terdapat hadis soheh yang menjelaskan kewajipan wanita bertudung.

9. Meragui peribadi Rasulullah s.a.w.

Tidak cukup dengan mempertikai hadis-hadis Nabi, mereka turut meragui peribadi Nabi s.a.w.. Sikap mereka sama sebagaimana guru-guru mereka di kalangan Orientalis yang menyimpan niat jahat kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Bagi golongan Islam Liberal –kerana terpengaruh dengan Orientalis- Nabi Muhammad (Rasulullah) s.a.w. tidak lain hanyalah manusia biasa yang boleh silap dan boleh benar, boleh dipuji dan boleh dikritik. Contoh yang dapat kita bawa di sini mewakili pandangan mereka ialah ulasan Farish A. Noor yang telah menggemparkan umat Islam di Malaysia suatu ketika dulu dengan kenyataannya;

“Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik yang bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti sifat kemanusiaan nabi”. (NST, 4 Nov. 2000).

“Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin suku dan oleh itu ketaatan awal kepada baginda diberi kerana baginda adalah pemimpin suku lebih dari pemimpin agama”. (NST, 1 Dis. 2001).

Penghinaan yang sama pernah dikeluarkan puluhan tahun sebelumnya oleh tokoh Islam Liberal dari Mesir iaitu Mansur Fahmi yang menulis dalam bukunya bertajuk “Keadaan Wanita Dalam Istiadat Islam dan Perkembangannya”; “Muhammad telah mensyariatkan untuk semua orang dan mengecualikan dirinya, sedangkan ia adalah pembuat syariat yang semestinya tunduk kepada apa yang ia menuntut orang lain melakukannya, tetapi oleh kerana ia mempunyai kelemahannya maka dikhususkan untuk dirinya dengan beberapa keistimewaan”. Di tempat lain di dalam buku itu beliau menulis; “Begitulah kita dapati beliau selepas tidur dengan nyenyak kemudian bangun untuk menunaikan sembahyangnya tanpa membaharui penyucian dan wudhuknya sedang orang-orang mukmin yang lain menjadi kemestian ke atas mereka memulakan wudhuk dan penyucian semula. Untuk mencari alasan kepada pengecualian yang dilakukan untuk kepentingannya, memadai dengan beliau mengatakan; “Sesungguhnya kedua mataku tidur tetapi hatiku tidak pernah tidur”. (Rujuk; Fathi Yakan, Dunia Islam Dan Tipu Daya Antarabangsa, halaman 57-58)

Golongan Islam Liberal telah tersesat jauh dari jalan kebenaran

Melihat kepada cara berfikir mereka dan juga pandangan-pandangan mereka sebagaimana yang telah kita bentang di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa golongan Islam Liberal berada jauh dari landasan Islam yang benar. Ada di antara pendapat dan buah fikiran mereka amat jelas bertentangan dengan akidah Islam dan boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam seperti mengiktikadkan bahawa agama lain juga benar, mendakwa al-Quran terdapat penyelewengan, menolak hadis atau as-Sunnah secara mutlaknya, menghina Syariat dan undang-undang Allah dan meragui peribadi Rasulullah s.a.w..

Dalam fatwa berkenaan perkara-perkara yang membatalkan keislaman yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Arab Saudi yang lalu (yakni Syeikh Abdul Aziz Bin Bazz), antara yang disenaraikan ialah;

(Keempat); Berkeyakinan bahawa selain tuntutan Nabi Muhammad itu lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa selain ketentuan hukum beliau itu lebih baik, sebagaimana mereka yang mengutamakan aturan-aturan manusia yang melampaui batas lagi menyimpang dari hukum Allah (aturan-aturan Taghut) dan mengkesampingkan hukum Rasulullah. Maka orang yang berkeyakinan seperti ini adalah kafir. Sebagai contoh;

a) Berkeyakinan bahawa aturan-aturan dan perundangan yang diciptakan manusia lebih utama dari Syariat Islam atau berkeyakinan bahawa aturan Islam tidak tepat untuk diterapkan pada abad ke 20 ini, atau berkeyakinan bahawa Islam adalah sebab kemunduran kaum muslimin, atau berkeyakinan bahawa Islam itu terbatas dalam mengatur hubungan manusia dan Tuhannya sahaja, tidak mengatur urusan segi kehidupan lain.

b) Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah dalam memotong tangan pencuri atau merejam pelaku zina yang telah berkahwin tidak sesuai lagi di masa kini.

c) Berkeyakinan dengan dibolehkan menggunakan selain hukum Allah dalam segi muamalat Syari’ah atau dalam menentukan hukum pidana atau lainnya, sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hukum tersebut lebih utama dari Syariat Islam. Kerana dengan demikian ia telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah menurut kesepakatan ulamak (Ijmak). Sedangkan setiap orang yang menghalalkan apa yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah dalam agama seperti zina, arak, riba dan penggunaan perundang-undangan selain Syariat Allah, maka ia adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam (Ijmak).

(Kelima); Membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah sebagai Syariat walaupun ia (yakni orang yang membenci itu) mengamalkannya.

(Keenam); Memperolok-olok terhadap sesuatu dari ajaran Rasulullah ataupun pahala maupun siksaan yang telah menjadi ketetapan agama, maka ia menjadi kafir.

(Kesembilan); Berkeyakinan bahawa sebahagian manusia diperbolehkan tidak mengikut Syariat Nabi Muhammad s.a.w., maka orang yang berkeyakinan sedemikian adalah kafir.

(Kesepuluh); Berpaling secara keseluruhan dari agama Allah atau dari hal-hal yang menjadi syarat mutlak sebagai muslim tanpa mempelajarinya dan tanpa melaksanakan ajarannya.
(Rujuk; Dalil al-Haj wa al-Mu’tamir, diterbitkan oleh Kementerian Hal-Ehwal Islam, Wakaf dan Dakwah Kerajaan Arab Saudi, 1420H).

Pluranisme bertentangan dengan al-Quran

Menganggap semua agama adalah benar dan betul amat bercanggah dengan aqidah Islam. Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa agama yang benar di sisi Allah hanya satu iaitu Islam. Firman Allah;

“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”.(Ali Imran: 19)

Agama yang lain adalah batil dan sesat. Kerana itu Allah mengancam orang-orang yang mencari agama yang lain dari Islam bahawa mereka di akhirat kelak akan menempa kerugian kerana akan dihumban ke dalam api neraka;

“Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi”. (Ali Imran; 85)

Malah secara terang dan jelas Allah menghukum penganut agama Kristian yang mengiktikadkan Tuhan itu tiga sebagai kafir dan akan diazab di akhirat jika mereka tidak bertaubat.

“Demi Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang Yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. dan jika mereka tidak berhenti dari apa Yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang Yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya”. (al-Maidah: 73)

Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadisnya pernah menegaskan;

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلاَ نَصْرَانِيٌّ، ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ، إِلاَّ كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ
“Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di dalam kekuasaanNya. Tidak mendengar tentangku seorangpun dari kalangan umat ini sama ada ia seorang Yahudi atau Nasrani, kemudian ia mati dalam keadaan tidak beriman dengan risalah yang aku diutuskan membawanya melainkan ia akan tergolong dari penghuni neraka”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Maka bagaimana golongan Islam Liberal boleh mendakwa semua agama adalah benar dan betul, pada hal Allah dan Rasulnya telah menegaskan bahawa agama yang benar hanya satu iaitu Islam dan agama-agama yang lain semuanya batil dan penganut-penganutnya diancam dengan api neraka di akhirat kelak jika mereka tidak beriman dan memeluk Islam. Apakah kitab yang menjadi panduan mereka dalam mengeluarkan kenyataan sedemikian yang amat bertentangan dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya.

Kongsi raya tidak harus bagi seorang muslim

Tidak harus seorang muslim menghadiri perayaan agama orang bukan Islam. Hukum ini menurut Imam Ibnul-Qayyim -dalam kitabnya Ahkam Ahlil-Zimmah- disepakati oleh sekelian ulamak. (Ahkam ahlil-Zimmah, juz. 2, hlm. 156). Firman Allah;

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara Yang dilarang, dan apabila mereka bertembung Dengan sesuatu Yang sia-sia, mereka melaluinya Dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (al-Furqan; 72)

Menurut Imam Ibnu ‘Abbas, Abu al-‘Aliyah, Thawus, Ibnu Sirin, ad-Dhahhak, Said bin Jubair dan ar-Rabi’ bin Anas; maksud (لا يشهدون الزور) dalam ayat di atas ialah “mereka tidak menghadiri perayaan-perayaan orang-orang musyrikin (أعياد المشركين). (Tafsir Ibnu Kathir dan Ahkam Ahlil-Zimmah)

‘Atha’ bin Dinar telah menceritakan bahawa Saidina Umar r.a. berkata;

لا تعلموا رطانة الأعاجم ولا تدخلوا على المشركين في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم
“Janganlah kamu mempelajari mentera-mentera orang asing dan janganlah kamu bersama-sama orang musyrikin dalam gereja-gereja/tempat-tempat ibadat mereka pada hari raya mereka, kerana sesungguhnya kemurkaan (Allah) akan turun menimpa ke atas mereka”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang soheh. Lihat hadis ini dalam Ahkam Ahlil-Zimmah)

Berkata Abul-Qasim Hibatullah bin al-Hasan at-Thabari (faqih mazhab Syafi’ie); Tidak harus bagi kaum muslimin menghadiri hari-hari raya orang kafir kerana mereka berada di atas munkar dan zur (agama palsu). Jika ahli-ahli makruf bergaul dengan ahli-ahli munkar tanpa mengingkari perbuatan mereka, mereka (yakni ahli-ahli makruf) seolah-olah seperti orang-orang yang meredhai munkar dan melebihkannya. Maka kita khuatiri apabila turunnya kemurkaan Allah ke atas kumpulan mereka nescaya akan menimpa keseluruhan manusia (termasuk ahli makruf). Kita berlindung dengan Allah dari kemurkaanNya”. (Ahkam Ahlil-Zimmah)

Imam Abul-Hasan al-Amidi juga ada berkata; “Tidak harus menghadiri hari-hari raya penganut Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Hukum ini menjadi pegangan Imam Ahmad dan beliau berhujjah dengan ayat di atas.

Dalam hadis yang kita kemukakan di bahagian muqadimah tadi, Rasulullah s.a.w. bersabda (setelah melihat kaum Ansar menyambut dua hari perayaan yang mereka warisi dari zaman jahiliyah);

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh. Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solaul-Idaian)[1]

Berkata Imam as-Shon’ani; berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak telah menyimpulkan hukum bahawa dilarang kaum muslimin bergembira/bersuka-ria di dalam perayaan-perayaan orang musyrikin dan meniru-niru mereka. Malah Syeikh Abu Hafs al-Musti (dari mazhab Hanafi) amat tegas dalam hal ini sehingga ia berkata; “Sesiapa memberi hadiah kepada seorang musyrik sekalipun dengan sebiji telur sebagai membesarkan hari mereka, maka sesungguhnya ia kufur dengan Allah”. (Subulus-Salam, bab Solatil-Idain)

Imam al-Minawi ketika mensyarahkan hadis yang serupa telah menaqal pandangan al-Muzhir (المظهر) yang berkata; hadis ini menjadi dalil bahawa membesarkan hari an-Niruz dan al-Mahrajan dan seumpamanya adalah dilarang oleh agama. (Al-Faidhul-Qadier, hadis no. 6106). (*Hari an-Niruz dan al-Mahrajan ialah dua hari yang disambut oleh Ansar yang ditegah oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas).

Bagaimana seharusnya seorang muslim berfikir?

Sebagaiman yang dijelas di awal tadi bahawa golongan Islam Liberal cara berfikir mereka telah dipengaruhi oleh cara berfikir barat yang mengutamakan akal dan rasional dan sangsi terhadap ilmu berteraskan wahyu. Dari segi sejarah pemikiran Islam, cara berfikir mereka sinonim dengan cara berfikir Muktazilah yang telah ditentang sekeras-kerasnya oleh ulamak-ulamak Islam Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah. Kesalahan berfikir Muktazilah menurut ulamak ialah kerana mereka mengutamakan pandangan akal sekalipun bertentangan dengan nas (al-Quran dan al-Hadis). Sikap sedemikian menyebabkan mereka terkeluar dari manhaj Ahlus-Sunnah. Ahlus-Sunnah meletakkan al-Quran sebagai sumber pertama yang mesti menjadi rujukan oleh setiap orang yang mengkaji tentang Islam. Kemudian, mereka merujuk kepada as-Sunnah (yakni hadis Nabi s.a.w.). Mereka tidak akan merujuk sumber lain jika suatu kenyataan telah ada di dalam al-Quran atau as-Sunnah. Namun Muktazilah telah melanggari manhaj ini di mana mereka menghukum berdasarkan akal dalam semua hal dan menjadikan akal dan rasional sebagai asas atau sumber teras bagi pengkajian mereka. (Lihat; al-Muamarat ‘Ala al-Islam, Anuar al-Jundi, halaman 20).

Untuk selamat dari dakyah dan tipu-daya golongan Islam Liberal, umat Islam perlu didedahkan secara menyeluruh dan mendalam tentang cara berfikir Islam yang sebenarnya. Mereka perlu difahamkan tentang sumber-sumber ilmu dan makrifah di dalam Islam yang dijadikan landasan oleh ulamak-ulamak Ahlus-Sunnah sejak dahulu hingga sekarang dalam menimba ilmu yang soheh dan diredhai oleh Allah. Bagi memenuhi tuntutan ini, kita akan kemukakan secara ringkas beberapa pandangan ulamak Islam yang muktabar berkenaan sumber ilmu dan makrifah di dalam Islam yang membentuk cara berfikir Islam yang seharusnya menjadi pegangan setiap orang Islam.

Menurut Imam al-Ghazali; sumber-sumber makrifah di dalam Islam –secara amnya- ada tiga, iaitu;
1. Pancaindera
2. Aqal
3. Wahyu
(Lihat, Imam al-Ghazali, al-Munqiz minal-Dhalal)

Menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, ilmu-ilmu ada tiga jenis;
1. Yang tidak diketahui melainkan dengan akal
2. Yang tidak diketahui melainkan dengan wahyu
3. Yang dapat diketahui dengan akal dan juga wahyu.
(Lihat; Tariqul wushul ila al-Ilmi al-Makmul, Syeikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’adiyy, hlm. 46)

Secara amnya, persoalan-persolaan yang menjadi bidang wahyu ialah perkara-perkara pokok yang merangkumi;
1. Dalam perkara yang di luar tabii iaitu yang menyangkut persoalan akidah kepercayaan tentang Allah, para Rasul, hari Akhirat dan hal-hal alam ghaib.
2. Dalam persoalan akhlak; iaitu yang bersangkutan dengan kebaikan dan kemuliaan serta persoalan tingkah laku seseorang dalam usaha untuk menjadi seorang yang salih.
3. Dalam persoalan yang akan mengatur perjalanan masyarakat dan menjamin kebahagian manusia.
4. Dalam persoalan ibadah.

Dalam persoalan-persoalan pokok seperti di atas, wahyu mestilah menjadi jurutunjuk kepada akal kerana pada hakikatnya akal bilamana dibiarkan membuat kajian secara bebas terhadap persoalan-persoalan tersebut, maka suatu keputusan muktamad yang akan diterima umum selamanya tidak akan tercapai. Dalam pengertian lain, bila manusia bersama akal mereka dibiarkan tanpa sebarang panduan untuk memikirkan persoalan-persoalan pokok seperti di atas, maka mereka nantinya akan berselisih pandangan dan akan melahirkan pelbagai puak yang saling bercakaran dan akan menggugat keamanan.
(Lihat; Spektrum Falsafah Islam, diselenggara oleh Ibrahim Abu Bakar, hlm. 5, Difa’ ‘anil ‘Aqidah wa asy-Syari’ah, Syeikh Muhammad al-Ghazali, hlm 151)

Adapun aspek-aspek yang berada dalam medan akal, maka menurut Syeikh Muhammad al-Ghazali (seorang ulamak al-Azhar yang masyhur);
1. Pengkajian tentang alam semulajadi; iaitu ilmu kimia, fizik, biologi, astronomi, geografi dan sebagainya.
2. Urusan-urusan keduniaan; pertanian, perniagaan, perubatan, perindustrian dan sebagainya.
3. Hubungan-hubungan kemanusiaan

Medan-medan di atas menurut beliau dapat diputuskan oleh aqal secara bersendirian selama tidak ada ajaran agama yang menyentuhnya. Adapun jika terdapat ajaran agama yang menyentuhnya, maka kata pemutus adalah pada ajaran agama.
(Lihat: Difa’ ‘anil ‘Aqidah wa asy-Syari’ah, Syeikh Muhammad al-Ghazali, hlm 150)

Kedudukan akal dan rasional dalam cara berfikir Islam

Dari penjelasan tadi tentang sumber-sumber ilmu dan makrifah di dalam Islam kita dapat melihat bahawa para ulamak Islam menerima akal sebagai salah satu sumber ilmu yang diakui di dalam Islam. Namun akal mempunyai batasan-batasan kemampuannya sebagaimana kata Imam as-Syafi’ie; “Sesungguhnya akal mempunyai batasan yang menjadi penghujung kemampuannya sebagaimana penglihatan mempunyai batasan yang menjadi penghujung pandangannya”. Kerana itu, ia tidak dapat berdiri sendiri dan perlu bersandar kepada wahyu.

Tidak ada pertentangan antara wahyu dan akal pada pandangan ulamak Islam sejak dulu hingga sekarang. Kedua-duanya saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam mencari kebenaran yang hakiki. Berkata Syeikh Mahmud Syaltut; “Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa dalil-dalil akli jika benar premise-premisenya (yakni benar/betul kenyataan atau dasar yang dijadikan asas penaakulannya) dan berakhir kepada keputusan yang bersifat hissi (yakni yang dapat diinderai) atau yang daruri (yakni yang lazim diterima oleh semua akal manusia sama ada orang biasa atau terpelajar tanpa perlu mencarinya melalui pengalaman dan pengamatan terlebih dahulu), maka ia memberi ilmu yang yakin dan dapat mencapai iman yang dituntut”. (Lihat; al-Islam; aqidah wa syari’ah, hlm. 54)

Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah menjelaskan di dalam bukunya “Tradisi Falsafah Ilmu”; “Menurut ajaran al-Quran, baik sumber rasional mahupun sumber empirical tetap dipandang penting. Tentang sumber rasional misalnya, berulang-ulang al-Quran menuntut agar dipergunakan akal, sehingga kata-kata yang berasal dari ‘aqala sendiri terdapat lebih dari 45 ayat. Sedang gesaan agar menggunakan fikiran (tafakkara) disebut sebanyak 16 kali dalam ayat-ayat al-Quran. Tetapi al-Quran bukan hanya menggunakan perkataan akal atau fikiran, bahkan juga memakai perkataan-perkataan lain yang mempunyai makna yang sama. Antaranya ialah perkataan “faqiha” yang juga disebut sebanyak 16 kali dalam al-Quran. Juga digunakan perkataan-perkataan lain seperti fahima, nazara, tadabbara, di samping sebutan-sebutan ulu al-albab, ulu al-ilm, ulu al-absar, ulu al-nuha, dan sebagainya.

Adapun tentang sumber empirical, ia juga banyak disebut dalam al-Quran bersama-sama dengan sumber rasional. Antaranya ialah surah an-Nahl: 78, surah al-A’raf: 179, surah al-Isra’: 36, surah al-Mulk: 10-11, surah al-Ahqaf: 26 dan lain-lain lagi. Begitu pentingnya sumber empirical ini sehingga dalam hukum jenayah Islam terutama dalam hukum hudud seperti kesalahan zina dan liwat, diperlukan kesaksian mata dan telinga yang melihat dan mendengar sendiri kesalahan itu dilakukan. Jadi bukan setakat cakap-cakap orang atau pengakuan pihak-pihak tertentu sahaja.

Sungguhpun sumber-sumber rasional dan empirical ini sangat penting, namun tarafnya tetaplah di bawah sumber wahyu yang merupakan autoriti yang tertinggi. Dalam sistem klasifikasi ilmu…terdapat konsep hirarki ilmu (maratib al-‘ulum) di dalam Islam, di mana ilmu-ilmu yang berteraskan wahyu itu berada pada martabat lebih utama dari ilmu-ilmu akal. Namun suatu perkara yang harus menjadi perhatian di sini ialah bahawa dari segi ontologinya,[2] doktrin Islam mewajibkan agar merujuk kepada sumber wahyu atau nas-nas al-Quran dan Hadis/Sunnah dalam persoalan Aqidah, Ibadah, Akhlak dan hukum-hukum yang mempunyai dalil-dalil qat’ie atau tegas dan jelas. Sedangkan dalam urusan hukum-hukum yang hanya mempunyai dalil-dalil zanni atau kurang jelas, serta urusan kehidupan lainnya, dibolehkan menggunakan akal atau pengalaman indera untuk menyelesaikannya. Inilah pendapat muktamad dalam tradisi pemikiran Islam.
(Tradisi Falsafah Ilmu; Pengantar Sejarah Dan Falsafah Sains, hlm. 158-159).

Ilmu Islam mesti dirujuk kepada ulamak

Kesilapan golongan Islam Liberal berpunca dari kesalahan mereka dalam mengambil sumber ilmu tentang Islam. Mereka mempelajari Islam dari ilmuan Barat dan Orientalis. Mereka berguru dengan orang bukan Islam dan menolak ulamak-ulamak Islam. Mereka lebih mempercayai buku-buku tulisan Orientalis dan mengenepikan kitab-kitab karangan para ulamak. Walhal ilmu tentang Islam tidak boleh dipelajari melainkan dari orang yang meyakininya dan benar-benar mengetahuinya dari sumbernya yang soheh iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Imam Ibnu Sirin pernah menyebutkan;

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ
“Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Oleh itu, hendaklah kamu perhatikan dari siapa kamu mengambil agama kamu”. (Riwayat Imam Muslim)

Ilmu agama tidak boleh sewenang-wenangnya di ambil dari sesiapa saja. Ia mesti diambil dari para ulamak kerana mereka adalah orang yang berkeahlian dalam bidang agama dan merupakan pewaris para Nabi. Jika dalam bidang guaman kita boleh mengiktiraf para peguam sebagai rujukan kita, jika dalam bidang perubatan kita mengiktiraf para doktor, jika dalam bidang ekonomi kita mengiktiraf para ahli ekonomi dan begitu juga dalam bidang-bidang yang lain, maka kenapakah dalam bidang agama kita keberatan untuk mengiktiraf para ulamak dan menjadikan mereka sebagai tempat rujukan untuk memperolehi maklumat yang sah dan diperakui tentang agama dan Syari’at Allah.

Ilmuan Barat dan Orientalis walau bagaimana hebat sekalipun pengkajian mereka tentang Islam mereka tetap tidak dapat menyelami hakikat Islam yang sebenarnya kerana mereka tidak meyakininya di samping pemikiran mereka masih dibelenggu oleh dogma kristian dan sekular. Amat benarlah apa yang diulas oleh Adian Husaini dalam bukunya “Wajah Peradaban Barat”; “Sikap simpatik para Orientalis terhadap Islam tidak serta merta menjadikan pemikiran mereka menjadi benar. Sebab, asumsi dan juga konsekuansi dari framework di atas adalah pengingkaran terhadap tradisi intelektual Islam yang berbasis pada wahyu. Transmisi ilmu pengetahuan melalui sumber yang disebut kabar mutawatir tidak diakui oleh mereka sebagai valid. Jadi, sekalipun pengetahuan mereka tentang sejarah pemikiran keislaman mendalam, namun kajian mereka tetap fragmentatif. Mereka tidak menghubungkan kajian mereka tentang Islam yang spesifik dengan prinsip yang umum dan universal. Kajian mereka tentang hal-hal yang spesifik seperti tentang sejarah al-Quran, etika dalam Islam, politik dalam Islam dan lain-lain tidak dikaitkan dengan makna Islam sebagai suatu agama dan pandangan hidup yang memiliki prinsip dan tradisinya sendiri. Prinsip bahawa ilmu mendorong kepada iman, misalnya, tidak tercermin dalam tulisan-tulisan mereka. Ilmu-ilmu keislaman yang mereka miliki tidak mendorong pembacanya untuk beriman kepada Allah. Tidak juga membuat mereka sendiri yakin dengan kebenaran Islam. Yang jelas mereka tidak bisa disebut sebagai ulama”. (Bah. Pengantar Penulis, xxxii).

Penutup
(Islam Liberal; bid’ah yang wajib ditentang)


Islam wajib dipertahankan keasliannya kerana ia adalah agama dan wahyu terakhir dari Allah. Jika ia terseleweng, tidak akan ada lagi nabi yang akan turun untuk membentulkannya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ulama’ dan pendokong Islam untuk mempertahankan keaslian Islam dari dinodai oleh kelompok Islam liberal atau muktazilah moden. Jika dulu ulama’-ulama’ ahli Sunnah telah berjaya menyelamatkan Islam dari dinodai oleh fahaman Muktazilah, Jabariah, Murjiah dan sebagainya maka kita hari ini mesti berusaha menyelamatkan Islam dari pendokong-pendokong ideologi Barat yang bertentangan dengan fikrah Islam.

Pemikiran Islam Liberal adalah suatu bentuk bid’ah yang besar dalam agama yang boleh menggugat akidah umat Islam hari ini dan generasi akan datang. Bid’ah bukan hanya berlaku dalam amalan, tetapi juga dalam akidah dan pemikiran. Malah bid’ah dalam aqidah dan pemikiran lebih berbahaya dari bid’ah dalam amalan kerana ia boleh merosakkan iman dan mengeluarkan seseorang dari agama. Jika zaman dahulu pelopor kepada bid’ah akidah dan pemikiran ialah golongan muktazilah, jabariyyah, murjiah dan sebagainya itu, maka pada zaman hari ini ia dipelopori oleh golongan liberal yang membawa masuk pelbagai ideologi asing ke dalam masyarakat umat Islam seperti ideologi sekular, rasionalisme, sosialisme, komunisme, nationalisme dan sebagainya lagi.

Untuk selamat dari segala bentuk bid’ah akidah dan pemikiran tersebut, umat Islam hendaklah berpegang-teguh dengan ajaran Islam kerana ia adalah satu-satunya jalan Allah yang lurus yang dapat menyelamatkan manusia dari kesesatan dan penyelewengan. Firman Allah;

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa”. (al-An’am: 153)

Tatkala mentafsirkan ayat ini, Rasulullah di hadapan sahabat-sahabat baginda telah melakarkan di atas padang pasir satu garisan lurus dan pelbagai garis bersimpang siur di sisi garis lurus itu. Rasulullah menegaskan bahawa garis lurus itu ialah Islam dan semua garis bersimpang siur itu ialah jalan-jalan kesesatan yang membawa kepada penyimpangan dari jalan sebenarnya.

Di samping umat Islam hendaklah diajak supaya membina kehidupan berteraskan Sunnah Nabi dan Khulafa’ Rasyidin kerana ia menjadi benteng apabila berdepan dengan pelbagai kecelaruan pemikiran dalam dunia akhir zaman sebagaiman sabda Nabi s.a.w.;

وَإنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافاً كَثِيراً، فَعَليْكُم بسُنَّتِي وَسُنَّةِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدينَ المَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْها بالنَّواجِذِ، وَإيَّاكُمْ وَمُحْدَثاتِ الأُمُورِ، فإنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ
“Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di antara kamu nescaya ia akan menyaksikan pertikaian yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khalifah-Khalifah Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku. Gigitlah sunnah itu dengan gigi-gigi gerham kamu. Hendaklah kamu menjauhi dari perkara-perkara baru (yang menyalahi agama). Sesungguh setiap bid’ah adalah sesat”. (al-Hadis).

***والله أعلم بالصواب***

Bacaan dan Rujukan

1. Al-Muamarat ‘Ala al-Islam, Anuar al-Jundi, ter. Dar al-I’tisam, Mesir (tanpa tahun).
2. Nahwa Manhaj al-Badail al-Islamiyyah, Anuar al-Jundi, Dar al-I’tisam, Mesir (1989).
3. Difa’ ‘An al-‘Aqidah wa as-Syari’ah Dhiddu Mata’in al-Mustasyriqin, Syeikh Muhammad al-Ghazali, ter. Dar al-Kutub al-Hadisah, Mesir (1963).
4. Tradisi Falsafah Ilmu, Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, Pustaka Ilmi, Selangor (2002).
5. Islam, al-Quran dan Ideologi Masa Kini, Penyelenggara Sulaiman Nordin, DBP (1995).
6. Gugatan Pemikiran Islam, Zulkarnain b. Yusuf, ITM Cawangan Pahang (1996).
7. Dakwah Islam dan Ideologi Barat, Ghazali Darusalam, ter. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (1998).
8. Wajah Peradaban Barat, Adian Husaini, ter. Gema Insani, Jakarta (2005).
9. Beberapa Masalah Ummah, Dr. Abdul Halim Hj. Mat Diah, ter. ABIM Wilayah Persekutuan (1989).
10. Dalil al-Haj wa al-Mu’tamir, ter. Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah wa al-Auqaf, Arab Saudi (1420H).
11. Jurnal Penyelidikan Islam, bil. 11 (1998), ter. JAKIM.
12. KANUN (Jurnal Undang-Undang Malaysia), Mac 2006, ter. DBP.
13. Akhbar Harakah
14. Majalah I, ter. Karangkraf.
15. Majalah Al-Islam, ter. Utusan Karya Sdn. Bhd.
[1]
[2]Ontologi; cabang ilmu falsafah atau metafizik yang berkaitan dengan fitrah makhluk (manusia) – Kamus Dewan.