Tuesday, January 11, 2011

SIKAP KITA TERHADAP ORANG BUKAN ISLAM (Siri 1)

Siri 1: Masalah Aqidah
(*Artikel ini telah disiarkan oleh surat kabar "KABAR" keluaran terbaru (1-15hb Januari). Siri-siri berikutnya hanya akan dimuatkan ke laman ini setelah disiarkan oleh surat kabar tersebut).

Satu perkara yang saya tidak percaya Islam menyuruhnya ialah memerangi orang bukan Islam, maksud saya orang bukan Islam yang tidak pernah memusuhi Islam dan kaum muslimin. Begitu juga saya tidak percaya Islam melarang orang Islam berpakat dengan orang bukan Islam dalam hal-hal keduniaan yang melibatkan kemaslahatan bersama sama ada dalam politik, perekonomian dan sebagainya. Saya sebutkan "saya tidak percaya" kerana di sana ada orang yang percaya sebaliknya. Ketika kecil dulu ada kawan-kawan mencuri di kedai orang Cina. Bila dipersoalkan, mereka berkata; "Tak pa curi barang cina, tak berdosa kerana mereka orang kafir". Ketika itu hati saya berkata; "Mungkin ada benarnya". Namun sejak saya belajar tentang Islam secara serius sehinggalah ke hari ini (dan saya masih membaca dan mengkaji tentang Islam) tidak pula saya yang menemui keharusan itu sama ada dari nas atau dari mana-mana pandangan ulamak. Yang ditemui (dalam al-Quran dan as-Sunnah) ialah ayat demi ayat yang menyuruh orang Islam berbuat baik, berlaku adil dan tidak menzalimi hatta kepada orang lain yang tidak seagama dengan mereka.

Apabila kita bercakap tentang bagaimana sepatutnya sikap kita (orang Islam) terhadap orang bukan Islam sama ada dari sudut hubungan individu atau hubungan antara komuniti, kita tidak bermaksud untuk merujuk kepada siyasah (polisi/pendekatan) masa kini mengikut kepentingan atau kecenderungan mana-mana pihak. Begitu juga, kita tidak mahu membaca hubungan itu dengan melihat kepada sejarah kerana apa yang berlaku dalam sejarah juga tidak terlepas dari siyasah atau kecenderungan ketika itu. Kita bermaksud melihat apa yang disebut oleh nas dari al-Quran dan as-Sunnah. Siyasah dan kecenderungan boleh berubah dan boleh berbeza antara seorang dengan seorang lain, antara satu parti dan parti lain, begitu juga antara satu zaman dengan sstu zaman lain. Adapun nas, ia tidak berubah. Mungkin tafsiran terhadap nas berbeza dari seorang ulamak dengan ulamak yang lain. Namun kita yang hidup di zaman ini -terutamannya ulamak dan ilmuan- dapat menilai mana tafsiran yang menjurus kepada maksud ayat dan mana yang menjurus kepada keadaan/penilaian semasa.

Ajaran Islam merangkumi dua cabang utama iaitu Aqidah dan Syariah. Aqidah adalah keyakinan. Adapun Syariah adalah amalan, perlakuan dan tindakan. Dalam Aqidah, kita dituntut beriman bahawa Allah sahaja Tuhan, agama yang benar hanya satu iaitu Islam dan Nabi Muhammad adalah Nabi terakhir untuk semua manusia. Kenyataan ini cukup jelas di dalam al-Quran dan penganut Islam tidak boleh beriktikad lain dari itu. Di antara dalilnya ialah firman Allah (bermaksud); "Allah, tiada Tuhan melainkan Dia" (Surah al-Baqarah, ayat 255), "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam" (Surah Ali Imran, ayat 19) dan "Sesiapa mencari agama selain Islam, tidak akan diterima darinya dan di akhirat dia tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi" (Surah Ali Imran, ayat 85).

Hanya Islam agama yang benar

Jelas dari sudut Aqidah orang Islam wajib percaya hanya kepada Islam. Tidak harus mempercayai semua agama adalah betul atau mencampur adukkan antara agama-agama. Dalam kata lain, Islam menolak fahaman Pluralisme. Namun dalam pada itu, Islam tidak membenarkan mana-mana penganutnya memaksa orang lain yang tidak Islam untuk mempercayai sebagaimana kepercayaan mereka. Ini cukup jelas dalam firman Allah (bermaksud) "Tidak ada paksaan dalam agama" (Surah al-Baqarah, ayat 256). Diceritakan; Pada zaman Nabi, ada seorang bapa menggunakan kuasanya memaksa dua anaknya yang telah baligh supaya memeluk Islam sepertinya, namun mereka enggan. Apabila kes dibawa kepada Nabi, turunlah ayat tersebut melarang tindakan si bapa itu (Tafsir al-Munir, Dr Wahbah az-Zuhaili). Dalam hal ini al-Quran mengajar orang Islam supaya berpegang dengan konsep kebebasan beraqidah di dunia, walaupun di akhirat hanya Islam sahaja yang diterima Allah. Kepelbagaian agama di terima di dalam
negara Islam di mana orang bukan Islam boleh menjadi warganegara tanpa perlu menukar agama dan aqidah/keyakinan mereka. Ini diamalkan sendiri oleh Rasulullah pada zamannya di mana negara Madinah yang dipimpin baginda separuh dari warganegaranya adalah bukan Islam. Nabi tidak pernah mengiktiraf agama dan anutan mereka, namun baginda memberi kebebasan beragama kepada mereka dan mengakui kewarganegaraan mereka melalui perjanjian yang baginda lakukan dengan mereka.

Menghidupkan perbincangan ilmiah

Apabila umat Islam tinggal berjiran dengan orang bukan Islam dalam satu negara, mereka perlu mengambil peluang menghidupkan dialog/perbincangan ilmiah dalam hal-hal berkait dengan aqidah dan keyakinan agama. Islam melarang pemaksaan agama, sebaliknya menggalakkan dialog dan perbincangan ilmiah. Inilah yang kita dapat fahami dari saranan Allah kepada kita supaya bermujadalah (berbincang dan berdebat) secara baik dengan orang-orang bukan Islam (rujuk; Surah an-Nahl, ayat 125 dan Surah al-Ankabut, ayat 46). Namun inilah yang gagal dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia yang menyebabkan Islam tidak berkembang kepada bangs-bangsa lain selain Melayu. Sejak sebelum merdeka, kita disibukkan dengan ketuanan Melayu seolah-olah Melayulah segala-galanya di dunia. Kita lupa bahawa di sisi Allah kemuliaan terletak kepada agama dan takwa. Maka apa yang sepatutnya ialah kita memperjuangkan kedaulatan Islam. Bayangkanlah bagaimana suasana di Malaysia hari ini jika 53
tahun yang lalu (tahun pertama merdeka) pejuang-pejuang Melayu menukar slogan dari kedaulatan Melayu kepada kedaulatan Islam. Dari saat itu mereka mengajak masyarakat Tanah Melayu berbincang tentang Islam, membuka dialog antara Islam dan agama lain dan antara Islam dan fahaman atau ideologi lain. Islam adalah agama yang univesal sifatnya. Sesiapa sahaja dapat menjadi muslim apabila ia memahami Islam dan bersedia menganutnya. Jika ia tidak menganut Islam, kita boleh memadai dengan ia mengetahui bahawa Islam tidak akan merugikan dirinya dan bangsanya. Adapun Melayu, ia hanya sesuai untuk bangsa yang namanya Melayu. Tidak ada bangsa lain yang rela bertukar menjadi Melayu. Kerana itu, memperjuangkan kedaulatan Melayu hanya akan menimbulkan perasaan iri-hati bangsa lain yang tidak akan ada kesudahannnya.

Penggunaan nama ALLAH

Apabila timbul keinginan orang bukan Islam (khususnya Kristian) untuk turut menggunakan kalimah Allah, kita sekadar bertikai sesama sendiri. Ada yang membantah dengan cukup keras dan ada yang berpandangan tidak mengapa kalimah itu digunakan asalkan pada tempat yang elok. Kenapa kita tidak mengambil peluang dari keinginan itu untuk mencetuskan dialog aqidah? Kita berkata kepada mereka; "Kerana kamu beria-ia hendak menggunakan Kalimah Allah, mari kita berbincang tentang Allah? Siapa Allah yang sebenar? Aqidah mana yang benar tentang Allah; Islam atau Kristian?". Namun apakan daya, minda orang-orang Islam Melayu hari ini -termasuklah ulamak-ulamak mereka- didominasi oleh minda Fiqh; minda halal atau haram, harus atau tidak? Amat lemah minda dakwah dalam kepala mereka menyebabkan semua masalah di hadapan mereka hanya dilihat/diukur dari satu sudut sahaja iaitu sudut hukum (halal atau haram, harus atau tidak?), tidak dilihat dari sudut lain yang tidak kurang pentingnya iaitu sudut dakwah dan tabligh.

Bila kita membaca Sirah Nabi, kita melihat tidak semua masalah dihadapi oleh Nabi dengan pendekatan hukum (wajib, sunat, haram, makruh.....) walaupun dalam Islam semua persoalam ada hukumnya. Di dalam kitab-kitab hadis ada diceritakan semasa Rasulullah sedang mengajar di dalam masjidnya, tiba-tiba seorang A'rabi (Arab dari pedalaman) bangun dan kencing di satu penjuru masjid. Perbuatan A'rabi ini dari segi hukumnya adalah haram kerana mengotorkan masjid. Kalau A'rabi itu hidup pada hari ini dan peristiwa itu berlaku di Malaysia, pasti ia akan dihalau keluar oleh orang-orang masjid sebagaimana kanak-kanak dihalau keluar atas alasan berbuat bising dan berlari-lari dalam masjid. Namun, apa tindakan Rasulullah? Hadis menceritakan; Ada sahabat-sahabat yang bangun dan ingin menggertak A'rabi itu, namun Nabi melarangnya. Nabi membiarkannya menyudahkan kencingnya, kemudian baginda berkata kepada beberapa sahabatnya; "Pergilah kamu mengambil sebaldi air dan curahlah ke tanah tempat ia kencing tadi" (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Wudhu', hadis dari Abu Hurairah). Kita tidak dapat menghurai panjang fiqh hadis ini dalam ruangan terhad ini, tetapi dengan sedikit renungan pembaca sudah dapat melihat bentuk kebijaksaan dalam sikap dan tindakan yang ingin diasuh oleh Nabi kepada umatnya.

Kebijaksanaan Nabi

Sikap dan tindakan Nabi dalam berdepan orang-orang bukan Islam juga menunjukkan kebijaksanan yang amat tinggi. Nabi mengambil sikap yang berbeza dalam situasi yang berbeza mengikut keputusan yang paling bermanfaat untuk dakwahnya. Ada orang kafir yang diisytihar Nabi; "Hendaklah ia dibunuh dalam apa keadaan sekalipun walaupun ia bergantung di tirai Kaabah". Namun dengan bapa saudaranya Abu Talib, Nabi tidak pernah memeranginya, malah tetap tinggal bersamanya dan tidak pernah putus mendakwahinya hingga akhir hayatnya. Nabi mengusir Kabilah Yahudi dari Bani Qainuqa', Nadhir dan Quraidzah kerana mereka mencabul perjanjian dan mengkhianati banginda. Namun ada orang-orang Yahudi yang Nabi bermuamalah dengan mereka; berjual-beli dengan mereka, menerima hadiah dari mereka, meminjam wang dari mereka, menziarahi mereka di rumah dan menghormati jenazah mereka. Ketika umat Islam ditindas di Mekah, Nabi pernah menyuruh golongan mustadhafin berhijrah ke Habsyah dan
bernaung di bawah Raja Kristian yang adil ketika itu iaitulah Najasyi. Semua yang kita sebut ini telah sabit dalam hadis-hadis soheh termasuk kitab Imam al-Bukahri dan Muslim. Kebijaksaan sikap Nabi itulah yang menjadi factor cepatnya dakwah Islam diterima di tanah Arab dan seterusnya menakluki dunia dalam tempoh tidak sampai 100 tahun. Sikap tegas Nabi adalah kebijaksanaan. Sikap lembut dan toleransi baginda juga kebijaksanaan. Kedua-duanya ditentukan oleh maslahah dakwah. Tetapi kita, keras kita kerana ego. Lembut kita pula kerana kelalaian. Puncanya tidak lain kerana tujuan kita bukan dakwah, tetapi ingin menonjolkan kehebatan diri masing-masing.

Ikuti siri berikutnya;
Siri 2; Masalah Ibadah
Siri 3; Masalah Muamalah

No comments: