Kita sering bertanya diri kita; apa
yang ingin kita capai dalam hidup ini? Sekalipun telah banyak kejayaan yang
telah kita kecapi, masih timbul persoalan; apakah kejayaan paling tinggi dan
paling kemuncak yang perlu kita capai? Dan apakah kita telah mencapainya atau
belum? Maka dalam tulisan ini, saya ingin membawa saudara/saudari sekelian
untuk membaca dan merenung apa yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam salah
satu kitabnya iaitu al-Iqtisad fi al-I’tiqad. Tulis beliau;
“Perkara terpenting bagi sekelian makhluk ialah untuk mencapai
kebahagiaan abadi (di akhirat) dan untuk menyelamatkan diri dari kebinasaan
yang berkekalan di sana. Untuk tujuan itulah para Nabi AS datang (membawa
perkhabaran) yang memberitahu (manusia bawa mereka sekeliannya adalah makhluk
ciptaan Allah) dan bagi Allah ada hak-hak dan tanggungjawab yang mesti mereka
tunaikan semasa hayat mereka di dunia ini (barulah mereka akan mencapai
kebahagian abadi di akhirat dan selamat dari kebinasaan di sana). Hak dan
tanggungjawab itu merangkumi perbuatan dan tindak-tanduk mereka, percakapan dan
tutur kata mereka serta aqidah atau pegangan hati mereka. Dalam erti lain hak
dan tanggungjawab manusia kepada Allah ada yang berkait dengan hati sanubari
(dhomir), ada yang berkait dengan lisan (lidah) dan ada yang berkait dengan anggota
tubuh. Maka sesiapa yang lidahnya tidak bertutur dengan yang perkataan yang
benar, dalam hati sanubarinya tidak tersimpan aqidah yang benar dan anggota
tubuhnya tidak dihias dengan amal soleh, dia sedang menuju ke neraka dan
kesudahannya ialah binasa” (cetakan Darul
Minhaj, tahun 2012, muka surat 71).