Kita sering bertanya diri kita; apa
yang ingin kita capai dalam hidup ini? Sekalipun telah banyak kejayaan yang
telah kita kecapi, masih timbul persoalan; apakah kejayaan paling tinggi dan
paling kemuncak yang perlu kita capai? Dan apakah kita telah mencapainya atau
belum? Maka dalam tulisan ini, saya ingin membawa saudara/saudari sekelian
untuk membaca dan merenung apa yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam salah
satu kitabnya iaitu al-Iqtisad fi al-I’tiqad. Tulis beliau;
“Perkara terpenting bagi sekelian makhluk ialah untuk mencapai
kebahagiaan abadi (di akhirat) dan untuk menyelamatkan diri dari kebinasaan
yang berkekalan di sana. Untuk tujuan itulah para Nabi AS datang (membawa
perkhabaran) yang memberitahu (manusia bawa mereka sekeliannya adalah makhluk
ciptaan Allah) dan bagi Allah ada hak-hak dan tanggungjawab yang mesti mereka
tunaikan semasa hayat mereka di dunia ini (barulah mereka akan mencapai
kebahagian abadi di akhirat dan selamat dari kebinasaan di sana). Hak dan
tanggungjawab itu merangkumi perbuatan dan tindak-tanduk mereka, percakapan dan
tutur kata mereka serta aqidah atau pegangan hati mereka. Dalam erti lain hak
dan tanggungjawab manusia kepada Allah ada yang berkait dengan hati sanubari
(dhomir), ada yang berkait dengan lisan (lidah) dan ada yang berkait dengan anggota
tubuh. Maka sesiapa yang lidahnya tidak bertutur dengan yang perkataan yang
benar, dalam hati sanubarinya tidak tersimpan aqidah yang benar dan anggota
tubuhnya tidak dihias dengan amal soleh, dia sedang menuju ke neraka dan
kesudahannya ialah binasa” (cetakan Darul
Minhaj, tahun 2012, muka surat 71).
Imam
Ghazali dalam wasiat tersebut, memberi panduan kepada kita bagaimana untuk
hidup di atas muka dunia dengan kehidupan yang boleh membahagiakan kita di
kemudian hari nanti.
Tujuan hidup
Pertama; Beliau mengajar kita
tentang tujuan hidup; apa yang sebenarnya mesti kita capai dan perlu kita
bersungguh-sungguh mengejarnya semasa hayat kita di dunia ini, iaitu
kebahagiaan abadi di akhirat. Kebahagiaan abadi di akhirat tidak lain adalah syurga
Allah, iaitu kita mendapat tempat dalam syurga Allah, sekaligus kita bebas dari
dihumban ke dalam neraka. Apa yang disebut oleh imam al-Ghazali dalam tulisan
di atas sebenar merupakan mutiara hikmah yang ditimba dari al-Quran, antaranya
firman Allah SWT;
كُلُّ
نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pada
hari kiamat akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang
dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah
berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala
kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi
orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali Imran, ayat 185).

Jalan mencapai kebahagiaan abadi
Yang kedua; Imam
al-Ghazali juga mengajar kita bagaimana caranya untuk mencapai matlamat
kebahagiaan abadi tadi, iaitu dengan kita menunaikan hak dan tanggungjawab kita
kepada Allah. Kita perlu menyedari dengan sesungguh-sungguhnya bahawa kita
adalah hamba ciptaan Allah. Kita dihidupkan Allah di atas muka bumi dengan
mempunyai tujuan hidup yang telah ditentukan Allah, iaitu ‘ibadatullah
(beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah) sebagaimana firman Allah;
وَمَا
خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadat kepadaKu” (Surah az-Zariyat, ayat 56).
Sentiasa beribadat dan menghamba diri kepada Allah itulah hak Allah
yang mesti ditunaikan oleh manusia jika mereka ingin mencapai kebahagiaan abadi
di akhirat (yakni mendapat syurga Allah yang penuh nikmat). Lebih memahamkan
kita apabila kita membaca hadis yang diriwayatkan dari Mu’az bin Jabal RA yang
menceritakan; pada satu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabatnya bernama Mu’az
RA;
يَا مُعَاذُ، هَلْ تَدْرِي حَقَّ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ
“Wahai Mu’az, tahukah kamu apakah hak Allah yang mesti
ditunaikan oleh hamba-hambaNya?”.
Mu’az menjawab;
اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ
‘Allah dan RasulNya lebih mengetahui’.
Lalu baginda menjelaskan;
أَنْ
يَعْبُدُوهُ وَلاَ يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا
“Hak Allah yang mesti ditunaikan hamba ialah; mereka hendaklah menyembahnya
tanpa mensyirikkan sesuatupun denganNya”.
Baginda bertanya lagi;
وَمَا حَقُّ العِبَادِ عَلَى اللَّهِ؟
“Tahukah kamu apa dia hak hamba yang dijanjikan Allah?”.
Mu’az menjawab;
اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ
‘Allah dan RasulNya lebih mengetahui’.
Lalu Nabi SAW menjelaskan;
أَنْ
لاَ يُعَذِّبَ مَنْ لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا
“Iaitulah
Dia tidak akan mengazab sesiapa yang tidak mensyirikanNya dengan sesuatu apapun”
(Soheh al-Bukhari; 2856. Soheh Muslim; 30).
Jelaslah kepada kita bahawa kebahagiaan abadi di akhirat hanya akan
kita perolehi apabila setia mengabdikan diri kepada Allah. Kita menyembah Allah
tanpa jemu hinggalah tiba saat kematian kita. Hanya dengan itu sahaja kita akan
selamat dari azab Allah dan nerakaNya dan kita mendapat tempat dalam Syurga
Allah yang kekal abadi.
Ruang-lingkup ibadat
Untuk menghakikatkan perkara tersebut kita perlu menggabungkan segenap
yang ada pada diri kita untuk ibadat dan pengabdian kepada Allah;
1.
Dhomir (hati sanubari) kita kita isi dengan keimanan kepada Allah,
ikhlas kepadaNya, cinta dan kasih kepadanya, takutkan kemurkaanNya dan
mengharapkan redhaNya, sentiasa bertawakkal kepadanya, bertaubat dan kembali
kepadaNya.
1.
Lidah kita hendak mengucapkan syahadah, sentiasa berzikir, membaca
ayat-ayatNya tanpa jemu, berdoa dan memohon kepadaNya, mengajak manusia
kepadaNya, bercakap benar, tidak mengumpat, mengeji orang lain, tidak mengadu
domba dan sebagainya.
2.
Anggota kita hendaklah kita hiasi dengan amal soleh sentiasa; solat
fardhu dan solat-solat sunat, puasa fardhu dan puasa-puasa sunat, zakat/sedekah/wakaf/,
haji/umrah, jihad, dakwah, menolong orang susah dan sebagainya.
Demikianlah saudara/saudari pembaca, dengan ilmu dan makrifah kita dapat
memahami hakikat hidup dan dapat berjalan di atas jalan yang lurus. Natijahnya kita
akan mengecapi kebahagian abadi di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment