Monday, September 19, 2016

DUA SEBAB KEBINASAAN UMAT; menurut IMAM QATADAH

Imam Qatadah merupakan ulamak dalam generasi Tabiin (*sila baca tentang beliau dalam blog; ULAMA' 'AMILIN). Beliau pernah berkata; 

اجْتَنِبُوا الْمَعْصِيَةَ وَالْعُدْوَانَ، فَإِنَّ بِهِمَا أُهْلِكَ مَنْ أُهْلِكَ قَبْلَكُمْ مِنَ النَّاسِ
“Jauhilah maksiat dan melampaui batas, kerana dengan dua sebab tersebutlah Allah membinasakan orang-orang sebelum kamu”.

Pesanan Imam Qatadah di atas dinaqalkan oleh Imam at-Tabari dalam Tafsirnya ketika mentafsirkan ayat 112 dari surah Ali Imran. Dalam ayat tersebut, Allah menyebutkan tiga (3) kebinasaan yang ditimpakan Allah ke atas Bani Israel, iaitu;
1.    Zillah (kehinaan),
2.    Kemurkaan Allah,
3.    Maskanah (kepapaan/kemiskinan).


Puncanya kerana mereka mengkufuri ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang mengajak mereka kembali ke jalan Allah. Bagaimana mereka tergamak mengkufuri ayat-ayat Allah dan sanggup memusuhi para NabiNya hingga ke tahap membunuhnya? Allah menjelaskan sebabnya;

ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ
“Demikian itu kerana mereka memaksiati (Allah dan Rasul) dan mereka sentiasa melampaui batas” (Surah Ali Imran, ayat 112).

Menurut Imam Ibnu Kathir; kerana terlalu banyak mereka menyanggahi arahan-arahan perintah Allah, bergelumang dengan maksiat dan melampaui batasan Syariat Allah, itulah yang mendorong mereka mengkufuri ayat-ayat Allah dan membunuh para Rasul mereka (Tafsir Ibnu Kathir).

Maka Imam Qatadah menyimpul kebinasaan umat berpokok pangkal dari maksiat dan sikap melampaui batasan Syariat. Dari maksiat dan melampau membawa manusia kepada penolakan kepada kitab Allah dan permusuhan kepada para pendakwah, seterusnya menyebabkan masyarakat semakin jauh dari agama Allah dan berakhir dengan pembalasan Allah iaitu kehinaan, kemurkaan dan kepapaan yang menimpa masyarakat dan umat. Itulah nasib yang menimpa umat Islam hari ini, berbeza dengan umat Islam dahulu (terutamanya zaman sahabat dan salafus-soleh) di mana kehidupan mereka berada di puncak kegemilangan, diredhai Allah dan kaya jiwa (tidak megharap atau melutut kepada sesiapa kecuali Allah). Dari wasiat Imam Qatadah itu, kita mengetahui jalan pulang bagi umat ini kepada kegemilangan mereka dahulu, iaitu dengan kembali bertakwa dan menjaga batasan-batasan Syariat, kerana lawan maksiat ialah takwa dan lawan melampaui batas (Syariat) ialah menjaga batasan Syariat.

Di antara kepincangan besar yang wajib dikembalikan kepada batasan Syariat pada hari ini ialah dalam perhubungan sesama kaum muslimin. Umat Islam ini saling keji mengeji, kutuk mengutuk, hina menghina, malah saling berbunuhan sesama sendiri semata-mata kerana perbezaan mazhab, ideologi politik dan sebagainya, walhal semua perlakuan itu amat bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasul sehingga Nabi SAW sendiri mengganggapnya sebagai fasik dan kufur sebagaimana sabda baginda;

سِبَابُ الْمُؤْمِنِ فِسْقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencela seorang mukmin yang lain adalah fasik dan memeranginya pula adalah kufur” (Soheh al-Bukhari; 48).


Maka umat Islam hari wajib di kembalikan untuk berada dalam batasan ukhuwwah, mahabbah, rahmah, walak dan mawaddah sebagaimana yang disarankan oleh al-Quran dan al-Hadith. Sebelum kita membawa panji rahmat ke seluruh alam (rahmatan lil-‘alamin), terlebih dahulu kita perlu memperbaiki rahmat (kasih-sayang) sesama kita. Jika sesama kita tiada kasih-sayang, maka kasih sayang yang kita cuba jalin dengan orang lain nampak sangat hanya lakonan dan kepura-puraan. Orang lain yang melihat kita telah lama menyedari lakonan kita, maka mereka menerima kita sekadar sebagai pelakon pembawa panji-panji rahmat, bukan pembawa rahmat yang sebenarnya sebagaimana Rasul kita Nabi Muhammad SAW.

No comments: