Imam Qatadah merupakan ulamak dalam generasi Tabiin (*sila baca tentang beliau dalam blog; ULAMA' 'AMILIN). Beliau pernah berkata;
اجْتَنِبُوا
الْمَعْصِيَةَ وَالْعُدْوَانَ، فَإِنَّ بِهِمَا أُهْلِكَ مَنْ أُهْلِكَ قَبْلَكُمْ
مِنَ النَّاسِ
“Jauhilah maksiat dan melampaui
batas, kerana dengan dua sebab tersebutlah Allah membinasakan orang-orang
sebelum kamu”.
Pesanan Imam Qatadah di atas dinaqalkan oleh
Imam at-Tabari dalam Tafsirnya ketika mentafsirkan ayat 112 dari surah Ali
Imran. Dalam ayat tersebut, Allah menyebutkan tiga (3) kebinasaan yang ditimpakan
Allah ke atas Bani Israel, iaitu;
1. Zillah (kehinaan),
2. Kemurkaan Allah,
3. Maskanah (kepapaan/kemiskinan).
Puncanya kerana mereka mengkufuri ayat-ayat
Allah dan membunuh para Nabi yang mengajak mereka kembali ke jalan Allah.
Bagaimana mereka tergamak mengkufuri ayat-ayat Allah dan sanggup memusuhi para NabiNya
hingga ke tahap membunuhnya? Allah menjelaskan sebabnya;
ذَلِكَ
بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ
“Demikian itu kerana mereka memaksiati (Allah
dan Rasul) dan mereka sentiasa melampaui batas” (Surah Ali Imran, ayat 112).
Menurut Imam Ibnu Kathir; kerana terlalu banyak
mereka menyanggahi arahan-arahan perintah Allah, bergelumang dengan maksiat dan
melampaui batasan Syariat Allah, itulah yang mendorong mereka mengkufuri
ayat-ayat Allah dan membunuh para Rasul mereka (Tafsir Ibnu Kathir).
Maka Imam Qatadah menyimpul kebinasaan umat
berpokok pangkal dari maksiat dan sikap melampaui batasan Syariat. Dari maksiat
dan melampau membawa manusia kepada penolakan kepada kitab Allah dan permusuhan
kepada para pendakwah, seterusnya menyebabkan masyarakat semakin jauh dari
agama Allah dan berakhir dengan pembalasan Allah iaitu kehinaan, kemurkaan dan
kepapaan yang menimpa masyarakat dan umat. Itulah nasib yang menimpa umat Islam
hari ini, berbeza dengan umat Islam dahulu (terutamanya zaman sahabat dan
salafus-soleh) di mana kehidupan mereka berada di puncak kegemilangan, diredhai
Allah dan kaya jiwa (tidak megharap atau melutut kepada sesiapa kecuali Allah).
Dari wasiat Imam Qatadah itu, kita mengetahui jalan pulang bagi umat ini kepada
kegemilangan mereka dahulu, iaitu dengan kembali bertakwa dan menjaga
batasan-batasan Syariat, kerana lawan maksiat ialah takwa dan lawan melampaui
batas (Syariat) ialah menjaga batasan Syariat.
Di antara kepincangan besar yang wajib
dikembalikan kepada batasan Syariat pada hari ini ialah dalam perhubungan
sesama kaum muslimin. Umat Islam ini saling keji mengeji, kutuk mengutuk, hina
menghina, malah saling berbunuhan sesama sendiri semata-mata kerana perbezaan
mazhab, ideologi politik dan sebagainya, walhal semua perlakuan itu amat
bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasul sehingga Nabi SAW sendiri
mengganggapnya sebagai fasik dan kufur sebagaimana sabda baginda;
سِبَابُ
الْمُؤْمِنِ فِسْقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencela seorang mukmin yang lain adalah fasik
dan memeranginya pula adalah kufur” (Soheh al-Bukhari; 48).
Maka umat Islam hari wajib di kembalikan untuk
berada dalam batasan ukhuwwah, mahabbah, rahmah, walak dan
mawaddah sebagaimana yang disarankan oleh al-Quran dan al-Hadith.
Sebelum kita membawa panji rahmat ke seluruh alam (rahmatan lil-‘alamin),
terlebih dahulu kita perlu memperbaiki rahmat (kasih-sayang) sesama kita. Jika
sesama kita tiada kasih-sayang, maka kasih sayang yang kita cuba jalin dengan
orang lain nampak sangat hanya lakonan dan kepura-puraan. Orang lain yang
melihat kita telah lama menyedari lakonan kita, maka mereka menerima kita
sekadar sebagai pelakon pembawa panji-panji rahmat, bukan pembawa rahmat yang
sebenarnya sebagaimana Rasul kita Nabi Muhammad SAW.
1 comment:
Kehancuran umat islam adalah di karenakan umat islam itu sendiri. terlalu mudah untuk digoyahkan. Semoga kita termasuk golongan orang-orang yang beruntung. Pelajari Hadits Nabi agar kita selalu istiqomah di jalan Islam. Amin
Post a Comment